Bayaran Baki Cukai

  1. Pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan

Perbandingan hendaklah dibuat antara jumlah Potongan Cukai Bulanan (PCB) yang telah dipotong dan cukai yang sepatutnya dibayar. Jika amaun PCB yang dipotong dari gaji tidak mencukupi, maka amaun perbezaan (iaitu antara jumlah PCB telah dipotong dengan cukai kena dibayar) hendaklah dibayar kepada LHDNM selewat-lewatnya pada tahun berikutan tahun taksiran seperti berikut.

      • 30 April jika pengemukaan Borang Nyata secara manual (borang kertas)
      • 15 Mei jika pengemukaan Borang Nyata melalui e-Filing

  1. Pembayar cukai yang menjalankan perniagaan

    Bagi pembayar cukai yang mempunyai pendapatan perniagaan, perbandingan hendaklah dibuat dengan bayaran ansuran CP500 dengan cukai yang sepatutnya dibayar. Jika amaun ansuran CP500 tidak mencukupi, maka amaun perbezaan (iaitu jumlah CP500 telah dibayar dengan cukai kena bayar) hendaklah dibayar kepada LHDNM selewat-lewatnya pada tahun berikutan tahun taksiran seperti berikut:

      • 30 Jun jika pengemukaan Borang Nyata secara manual (borang kertas)
      • 15 Julai jika pengemukaan Borang Nyata melalui e-Filing

Ansuran Bulanan

Sekiranya sehingga tarikh ditetapkan bagi suatu tahun taksiran cukai gagal menyelesaikan baki cukai yang sepatutnya dibayar bagi Tahun Taksiran berkenaan, pembayar cukai boleh memohon untuk menyesaikan bayaran baki cukai berkenaan secara ansuran. Prosedur permohonan adalah dengan mengemukakan satu surat rayuan kepada unit pungutan di Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka. Surat berkenaan hendaklah diterima oleh unit pungutan sebelum 30 April atau 30 Jun tahun berkenaan. Adalah diingatkan bahawa, meskipun rayuan untuk membayar baki cukai secara ansuran diluluskan, kenaikan cukai atas kelewatan untuk menjelaskan cukai tetap akan dikenakan.

Pembayar cukai boleh memohon penyelesaian tunggakan cukai dibuat melalui potongan gaji bulanan mereka. Arahan CP38 akan dikeluarkan oleh LHDNM yang mengkehendaki majikan membuat potongan tambahan secara ansuran bulanan (selain daripada potongan cukai bulanan atau PCB) bagi menyelesaikan tunggakan cukai pendapatan. Sekiranya pekerja yang menerima arahan CP38 ini juga tertakluk kepada PCB, mereka akan mempunyai dua (2) potongan gaji serentak mengikut tempoh yang dinyatakan dalam arahan tersebut.

Tarikh akhir bayaran arahan CP38 adalah sama seperti PCB iaitu pada atau sebelum 15hb bulan berikutnya.

Bagi pembayar cukai yang menjalankan perniagaan dan mempunyai tunggakan cukai, mereka boleh memohon penyelesaian bayaran dibuat secara ansuran. Permohonan ansuran boleh dipohon di cawangan yang mengendalikan fail cukai mereka.

Senarai Dokumen Permohonan Ansuran Menyelesaikan Tunggakan

Pembayar cukai dikehendaki menyediakan surat permohonan rayuan ansuran bersama-sama dokumen sokongan yang bersesuaian seperti penyata pendapatan, penyata bank, anggaran perbelanjaan bulanan dan sebagainya. Pembayar cukai dinasihatkan untuk merujuk kepada Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka bagi penerangan lanjut.

Cukai Bagi Kes Taksiran Bersama

Sekiranya pendapatan suami atau isteri telah ditaksir bersama atas nama salah seorang daripadanya maka pihak yang berkenaan adalah bertanggungjawab membayar cukai tersebut. Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu, cukai yang kena dibayar atas pendapatan isteri atau suami boleh dipungut daripada salah seorang mengikut nisbah jumlah pendapatan masing-masing.