1. Di bawah subseksyen 153(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, seorang individu hanya dibenarkan menjalankan profesion sebagai ejen cukai, konsultan cukai atau penasihat cukai (atau apa jua perihal lain yang serupa) untuk mewakili mana-mana orang (pembayar cukai) di Malaysia bagi mana-mana tujuan di bawah Akta ini sekiranya orang tersebut adalah seorang ejen cukai sepertimana yang ditakrifkan di bawah subseksyen 153(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu mana-mana akauntan profesional atau orang yang diluluskan oleh Menteri Kewangan.

  2. Permohonan kelulusan sebagai ejen cukai di bawah subseksyen 153(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 boleh dibuat kepada Kementerian Kewangan Malaysia melalui Portal MyCukai. Syarat kelayakan dan prosedur bagi permohonan baharu dan permohonan pembaharuan kelulusan ejen cukai adalah seperti di pautan berikut: PANDUAN BAGI PERMOHONAN KELULUSAN EJEN CUKAI

  3. Seorang ejen cukai mempunyai tanggungjawab sosial terhadap negara secara keseluruhannya. Ejen cukai perlu memberikan nasihat terbaik kepada pelanggannya serta menegaskan kepada pelanggannya tentang kewajipan membayar cukai seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

  4. Ejen cukai yang telah mendapat kelulusan hendaklah mematuhi KOD ETIKA EJEN CUKAI yang dikeluarkan oleh HASiL. Kegagalan ejen cukai mematuhi Kod Etika Ejen Cukai boleh mengakibatkan kelulusan ejen cukai ditarik balik atau ditamatkan atau tidak diperbaharui.