Rayuan

  1. Seksyen 99 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak berpuas hati dengan sesuatu taksiran yang telah dibuat untuk mana-mana tahun taksiran ke atasnya oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) berhak merayu terhadap taksiran itu.

  2. Hak merayu di bawah seksyen 99 ACP ini tidak terpakai kepada kes-kes berikut:
    1. taksiran disifatkan di bawah subseksyen 90(1) ACP; ATAU
    2. taksiran disifatkan untuk Borang Nyata Terpinda (BNT) di bawah seksyen 91A ACP.

  3. Walau bagaimanapun di bawah subseksyen 99(4) ACP, jika pembayar cukai tidak bersetuju dengan layanan di dalam Ketetapan Umum atau pendirian, ketetapan dan amalan KPHDN yang terdapat pada masa taksiran itu dibuat, pembayar cukai berhak untuk membuat rayuan. Contoh pendirian, ketetapan dan amalan adalah seperti berikut:
    1. surat ketetapan persendirian atau ketetapan awal;
    2. garis panduan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL);
    3. keputusan kes undang-undang di peringkat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) dan mahkamah; ATAU
    4. kenyataan bertulis lain.

  4. Oleh itu, seksyen 99 ACP hanya terpakai untuk :
    1. rayuan terhadap notis taksiran yang dibuat untuk mana-mana tahun taksiran bagi kes-kes seperti di bawah:
      1. taksiran/taksiran tambahan/taksiran pendahuluan yang dibuat oleh KPHDN hasil daripada penemuan audit atau siasatan;
      2. taksiran anggaran di bawah subseksyen 90(3) ACP yang dibuat tanpa BNCP atau BNCP lewat dikemukakan iaitu di luar tempoh yang ditetapkan atau taksiran anggaran di bawah subseksyen 91(1) ACP ;
    2. rayuan di bawah subseksyen 99(4) ACP apabila pembayar cukai tidak bersetuju dengan layanan di dalam Ketetapan Umum atau pendirian, ketetapan dan amalan KPHDN yang terdapat semasa taksiran itu dibuat.
    3. rayuan terhadap suatu Notis Pemberitahuan Tidak Kena Cukai (NPTKC) yang dikeluarkan KPHDN di bawah
      seksyen 97A hasil daripada penemuan audit atau siasatan.

  5. Rayuan hendaklah dibuat dengan mengemukakan Borang Q tidak lewat dari tiga puluh (30) hari selepas notis taksiran diserahkan seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 99(1) ACP.

  6. Mulai Tahun Taksiran 2019, jika taksiran anggaran di bawah subseksyen 90(3) ACP dibuat terhadap suatu syarikat, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah atau koperasi kerana kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), rayuan melalui Borang Q terhadap taksiran itu hendaklah dikemukakan bersama-sama Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang berkenaan.

Bagi penjelasan dan maklumat lanjut berkaitan hak rayuan dan masa untuk membuat rayuan, sila rujuk kepada Ketetapan Umum No.7/2020 (Rayuan Terhadap Sesuatu Taksiran Dan Permohonan Relif).

  1. Orang yang membuat rayuan (perayu) hendaklah mengemukakan empat (4) salinan Borang Q bagi setiap tahun taksiran dan perlu memastikan sekurang-kurangnya satu (1) salinan Borang Q adalah salinan asal manakala tiga (3) salinan lagi adalah salinan fotokopi.

  2. Borang Q dan lampiran (jika ada) yang dikemukakan oleh perayu tidak boleh disertakan bersama-sama dengan dokumen lain. Borang Q yang lengkap berserta dengan alasan rayuan hendaklah dikemukakan ke jabatan/LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan perayu atau yang membangkitkan taksiran berkenaan. Borang Q boleh dimuat turun dan dicetak daripada pautan berikut:
  3. Borang Q yang lengkap hendaklah mengandungi maklumat berikut:
    1. tarikh dan amaun cukai yang kena dibayar (amaun cukai yang kena dibayar adalah merujuk kepada notis taksiran yang dipertikaikan);
    2. alasan rayuan secara terperinci dan mengandungi maklumat lain yang diperlukan oleh borang itu; DAN
    3. Borang Q mesti ditandatangani oleh perayu iaitu orang yang ditaksir dan dikenakan cukai.
    4. bagi kes syarikat dan perkongsian liabiliti terhad, Borang Q hendaklah ditandatangani oleh orang yang diberi kuasa di bawah seksyen 75 dan 75B ACP masing-masing.
    5. mulai Tahun Taksiran 2019, jika taksiran anggaran di bawah subseksyen 90(3) ACP dibuat terhadap suatu syarikat, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah atau koperasi kerana kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), rayuan melalui Borang Q terhadap taksiran itu hendaklah dikemukakan bersama-sama Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang berkenaan.

  4. Penghantaran Borang Q melalui e-mel atau medium elektronik adalah TIDAK DITERIMA.

  5. Borang Q tidak boleh ditandatangani oleh ejen cukai atau peguam.

  6. Borang Q yang tidak lengkap akan dikembalikan kepada perayu.

Bagi penjelasan dan maklumat lanjut berkaitan prosedur rayuan, sila rujuk kepada Ketetapan Umum No.7/2020 (Rayuan Terhadap Sesuatu Taksiran Dan Permohonan Relif).

  1. Bagi rayuan yang tidak dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan, permohonan lanjutan masa untuk merayu boleh dibuat melalui Borang N.

  2. Mulai Tahun Taksiran 2020, permohonan lanjutan masa untuk merayu (Borang N) hendaklah dikemukakan di dalam tempoh 7 tahun selepas berakhirnya tempoh untuk membuat rayuan melalui Borang Q di bawah subseksyen 99(1) ACP.

  3. Perayu perlu mengemukakan alasan yang kukuh bagi permohonan lanjutan masa. Salah satu alasan yang boleh dipertimbangkan adalah keadaan di luar kawalan perayu contohnya: perayu dimasukkan ke hospital bagi suatu tempoh yang panjang, berada di luar negara, terlibat dengan bencana alam atau sebab-sebab lain yang munasabah dan sah.

  4. Borang N hendaklah dihantar ke jabatan/Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan perayu. Perayu hendaklah mengemukakan dua (2) salinan Borang N bagi setiap tahun taksiran iaitu satu (1) salinan Borang N asal manakala satu (1) salinan lagi adalah salinan fotokopi. Borang N boleh dimuat turun dan dicetak daripada pautan berikut:
  5. Jika permohonan lanjutan masa diluluskan, HASiL akan mengeluarkan Borang CP15A untuk memaklumkan kepada perayu tarikh lanjutan penyerahan Borang Q, iaitu tiga puluh (30) hari dari tarikh CP15A.

  6. Sekiranya lanjutan masa tidak dibenarkan, Borang N bersama-sama dengan kenyataan alasan penolakan oleh KPHDN (Borang CP15B) akan dikemukakan kepada PKCP. Apabila Borang N dan kenyataan alasan tersebut dikemukakan kepada PKCP, KPHDN akan memaklumkan kepada perayu secara bertulis dan akan mengemukakan sekali sesalinan kenyataan alasan tersebut.

  7. Dalam tempoh dua puluh satu (21) hari selepas menerima pemberitahuan, perayu boleh mengemukakan kepada PKCP ulasan atau hujahnya secara bertulis berhubung dengan
    permohonannya dan kenyataan alasan KPHDN.

  8. Sekiranya PKCP bersetuju membenarkan lanjutan masa, PKCP akan memaklumkan perayu dan menyatakan tarikh Borang Q perlu dikemukakan.

  9. Sekiranya permohonan ditolak, perayu akan dimaklumkan oleh PKCP dan perayu tidak berhak membuat rayuan selanjutnya. Keputusan PKCP adalah muktamad.

  10. Penghantaran Borang N melalui e-mel atau medium elektronik adalah TIDAK DITERIMA.

Bagi penjelasan dan maklumat lanjut berkaitan prosedur rayuan lewat, sila rujuk kepada Ketetapan Umum No.7/2020 (Rayuan Terhadap Sesuatu Taksiran Dan Permohonan Relif).