🌐 BM | ENG

Pengenaan Penalti Dan Kenaikan Atas Taksiran Cukai

Pelupus
  1. Penalti di bawah subseksyen 29(3) ACKHT 1976

    Penalti di bawah subseksyen 29(3) ACKHT 1976 boleh dikenakan sekiranya:
    1. Borang CKHT 1A / CKHT 1B gagal dikemukakan dengan lengkap dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pelupusan aset;
    2. Borang CKHT 1A / CKHT 1B dikemukakan selepas tarikh lanjutan masa yang dibenarkan; atau
    3. Pelupus gagal mengisytiharkan pelupusan aset yang boleh dikenakan cukai.


    Penalti boleh dikenakan sehingga 3 kali ganda jumlah cukai dikenakan.

  2. Penalti di bawah subseksyen 30(2) ACKHT 1976
    1. Jika seseorang membuat suatu penyata yang tidak betul berkenaan suatu pelupusan aset atau memberikan maklumat yang tidak betul, KPHDN boleh mengenakan penalti di bawah subseksyen 30(2) ACKHT 1976.
    2. Penalti yang boleh dikenakan adalah bersamaan dengan amaun cukai terkurang lapor (maksimum sebanyak 100%).
  3. Pengenaan di bawah subseksyen 14(5) ACKHT 1976
    1. Pelupus akan dikenakan suatu pengenaan di bawah peruntukan ini jika membuat suatu penyata yang tidak betul di bawah subseksyen 13(6) ACKHT 1976 iaitu kesilapan mengisi Borang CKHT 3 yang menyebabkan pemeroleh gagal meremit bayaran di bawah subseksyen 21B(1) atau (1A) ACKHT 1976.
    2. Pengenaan adalah sebanyak 10% atas jumlah cukai dikenakan.
Pemeroleh
  1. Pengenaan kenaikan di bawah subseksyen 21B(2) ACKHT 1976 dan tindakan guaman sivil
    1. Pemeroleh boleh dikenakan suatu kenaikan cukai di bawah subseksyen 21B(2) ACKHT 1976 sekiranya gagal memegang simpan dan membuat bayaran suatu amaun di bawah seksyen 21B ACKHT 1976 dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pelupusan aset. Kenaikan yang boleh dikenakan adalah bersamaan dengan 10% amaun yang gagal dibayar tersebut.
    2. Tindakan guaman sivil di bawah Seksyen 23 ACKHT 1976 boleh diambil terhadap  pemeroleh ke atas tunggakan hasil yang gagal dibayar dalam tempoh masa yang telah ditetapkan dan ia menjadi hutang kepada kerajaan.