1. Orang yang membuat rayuan (perayu) hendaklah mengemukakan empat (4) salinan Borang Q bagi setiap tahun taksiran dan perlu memastikan sekurang-kurangnya satu (1) salinan Borang Q adalah salinan asal manakala tiga (3) salinan lagi adalah salinan fotokopi.

  2. Borang Q dan lampiran (jika ada) yang dikemukakan oleh perayu tidak boleh disertakan bersama-sama dengan dokumen lain. Borang Q yang lengkap berserta dengan alasan rayuan hendaklah dikemukakan ke jabatan/pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan perayu atau yang membangkitkan taksiran berkenaan. Borang Q boleh dimuat turun dan dicetak daripada pautan berikut:
  3. Borang Q yang lengkap hendaklah mengandungi maklumat berikut:
    1. tarikh dan amaun cukai yang kena dibayar (amaun cukai yang kena dibayar adalah merujuk kepada notis taksiran yang dipertikaikan);
    2. alasan rayuan secara terperinci dan mengandungi maklumat lain yang diperlukan oleh borang itu; DAN
    3. Borang Q mesti ditandatangani oleh perayu iaitu orang yang ditaksir dan dikenakan cukai. Bagi kes syarikat dan perkongsian liabiliti terhad, Borang Q hendaklah ditandatangani oleh orang yang diberi kuasa di bawah seksyen 75 dan 75B ACP masing-masing.

  4. Borang Q tidak boleh ditandatangani oleh ejen cukai atau peguam.

  5. Borang Q yang tidak lengkap akan dikembalikan kepada perayu.

  1. Bagi rayuan yang tidak dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan, permohonan lanjutan masa untuk merayu boleh dibuat melalui Borang N.

  2. Perayu perlu mengemukakan alasan yang kukuh bagi permohonan lanjutan masa. Salah satu alasan yang boleh dipertimbangkan adalah keadaan di luar kawalan perayu contohnya: perayu dimasukkan ke hospital bagi suatu tempoh yang panjang, berada di luar negara, terlibat dengan bencana alam atau sebab-sebab lain yang munasabah dan sah.

  3. Borang N hendaklah dihantar ke pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan perayu. Perayu hendaklah mengemukakan dua (2) salinan Borang N bagi setiap tahun taksiran iaitu satu (1) salinan Borang N asal manakala satu (1) salinan lagi adalah salinan fotokopi. Borang N boleh dimuat turun dan dicetak daripada pautan berikut.

  4. Jika permohonan lanjutan masa diluluskan, HASiL akan mengeluarkan Borang CP15A untuk memaklumkan kepada perayu tarikh lanjutan penyerahan Borang Q, iaitu tiga puluh (30) hari dari tarikh CP15A.

  5. Sekiranya lanjutan masa tidak dibenarkan, Borang N bersama-sama dengan kenyataan alasan penolakan oleh KPHDN (Borang CP15B) akan dikemukakan kepada PKCP. Apabila Borang N dan kenyataan alasan tersebut dikemukakan kepada PKCP, KPHDN akan memaklumkan kepada perayu secara bertulis dan akan mengemukakan sekali sesalinan kenyataan alasan tersebut.

  6. Dalam tempoh dua puluh satu (21) hari selepas menerima pemberitahuan, perayu boleh mengemukakan kepada PKCP ulasan atau hujahnya secara bertulis berhubung dengan permohonannya dan kenyataan alasan KPHDN.

  7. Sekiranya PKCP bersetuju membenarkan lanjutan masa, PKCP akan memaklumkan perayu dan menyatakan tarikh Borang Q perlu dikemukakan.

  8. Sekiranya permohonan ditolak, perayu akan dimaklumkan oleh PKCP dan perayu tidak berhak membuat rayuan selanjutnya. Keputusan PKCP adalah muktamad.