1. Sistem Taksir Sendiri adalah satu konsep BayarTaksir Sendiri dan Fail.

    Taksiran sendiri bermaksud pembayar cukai dikehendaki oleh undang-undang untuk menentukan pendapatan yang dikenakan cukai, mengira cukai pendapatan yang dikenakan dan menghantar borang cukai pendapatan serta membuat bayaran cukai bagi tahun taksiran yang berkenaan.
    Tiada notis taksiran akan dikeluarkan di bawah sistem ini. Borang cukai pendapatan yang dihantar oleh pembayar cukai merupakan notis taksiran

    Borang berikut digunakan bagi melaporkan pendapatan

    1. Borang BE : borang pelaporan cukai bagi individu pemastautin dengan punca pendapatan penggajian dan pendapatan lain (tidak termasuk perniagaan)
    2. Borang B : borang pelaporan cukai bagi individu pemastautin dengan punca pendapatan perniagaan, penggajian dan pendapatan lain
    3. Borang M : borang pelaporan cukai bagi individu bukan pemastautin dengan punca pendapatan perniagaan, penggajian dan pendapatan lain

Taraf mastautin merujuk kepada status individu seperti tertakluk kepada Seksyen 7, ACP 1967

Pembayar cukai yang mempunyai pendapatan penggajian dan Potongan Cukai Bulanan (PCB) boleh memilih untuk tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada LHDNM. Jika pilihan telah dibuat, iaitu tidak mengemukakan BNCP, maka PCB yang telah dipotong oleh majikan adalah dianggap sebagai Cukai Muktamad. Layanan Cukai Muktamad ini berkuatkuasa mulai Tahun Taksiran 2014.

Kelayakan Pembayar Cukai:

  • Bekerja hanya dengan satu majikan.
  • Suami atau isteri tidak membuat pilihan untuk ditaksir bersama di bawah seksyen 45 ACP.
  • PCB dipotong mengikut Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994 (KKCP) atau tiada PCB dipotong kerana pendapatan di bawah tahap dikenakan potongan (PCB kosong). Majikan diwajibkan membuat PCB atas MBB dan NTK.
  • Berkhidmat dengan majikan yang sama untuk tempoh kurang daripada 12 bulan.
  • Pekerja yang baru memulakan penggajian dan kurang 12 bulan dalam tahun taksiran berkenaan
  • Semua pendapatan penggajian yang diterima bagi tempoh tertentu dalam tahun semasa termasuk apa-apa pendapatan penggajian tahun kebelakangan yang dikenakan cukai dalam tahun ianya diterima sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 25(1) ACP. seperti :
    1. gaji,
    2. upah,
    3. tip,
    4. elaun,
    5. komisen,
    6. kerja lebih masa,
    7. bonus/insentif,
    8. perkuisit,
    9. skim opsyen saham pekerja,
    10. cukai yang ditanggung oleh majikan,
    11. yuran pengarah,
    12. ganjaran termasuk bayaran tertunda di atas pemberhentian penggajian (tidak mendapat pengecualian di bawah mana-mana peruntukan akta),
    13. gaji cuti yang diterima sebagai pendahuluan dalam kes pemberhentian,
    14. saraan lain berkaitan penggajian.
  • Seseorang individu berhenti kerja dan meninggalkan Malaysia yang mana beliau bukan pemastautin pada tahun berikutnya, pendapatan penggajian yang boleh diterima dalam tahun berikutnya sama ada telah diterima atau tidak, akan dicukai dalam tahun di mana individu tersebut meninggalkan Malaysia selama-lamanya sebagaimana yang diperuntukan di bawah subseksyen 25(6) ACP.

  • Kriteria Individu :
    1. Berhenti kerja
    2. Meninggalkan Malaysia
    3. Bukan pemastautin pada tahun yang berikutnya, boleh membuat pilihan:
      • Peruntukan di bawah subseksyen 25(6) ACP pendapatan penggajian yang boleh diterima dalam tahun berikutnya sama ada telah diterima atau tidak, akan dicukai dalam tahun di mana individu meninggalkan Malaysia
      • Peruntukan di bawah subseksyen 25(1) ACP
      • pendapatan penggajian akan dikenakan cukai dalam tahun ianya diterima.