Pembetulan kesilapan melibatkan cukai tambahan
1. Borang Nyata Terpinda
Peruntukan baharu Seksyen 13A ACKHT 1976 membenarkan pelupus membuat pindaan berkenaan taksiran disifatkan ke atas BNCKHT bagi pelupusan mulai 01 Januari 2025 yang telah dikemukakan kepada KPHDN melalui BNT CKHT sekiranya memenuhi kriteria kelayakan seperti yang dinyatakan di bawah:
- Pindaan taksiran boleh dibuat oleh pelupus dengan mengemukakan BNT CKHT kepada KPHDN dalam tempoh enam (6) bulan selepas tarikh yang ditetapkan bagi pengemukaan BNCKHT (dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pelupusan aset).
- Pelupus yang telah mengemukakan BNCKHT dalam tempoh ditetapkan adalah dibenarkan membuat pindaan taksiran disifatkan dan ia hanya boleh dibuat sekali sahaja.
- Jika KPHDN telah membuat taksiran bagi tahun taksiran itu dalam tempoh enam (6) bulan selepas tarikh pengemukaan BNCKHT, pelupus tidak layak mengemukakan BNT CKHT kepada KPHDN untuk meminda taksiran disifatkan.
- Pelupus hendaklah melaporkan maklumat tambahan dan meminda taksiran bagi membetulkan kesilapan dalam BNCKHT melalui BNT CKHT berhubung dengan:
- keuntungan terkurang atau tidak lapor;
- kos sampingan / perbelanjaan lain terlebih tuntut; atau
- perubahan tarikh pelupusan atau tarikh pemerolehan yang melibatkan perubahan kadar cukai.
- BNT boleh dikemukakan sekiranya pindaan melibatkan satu tarikh pemerolehan sahaja dan pengenaan adalah dari kena cukai kepada cukai tambahan (Tiada Borang CKHT 3 dikemukakan). Pindaan boleh dibuat melalui Pengakuan Sukarela bagi kriteria selain daripada dinyatakan di atas.
- Taksiran tambahan yang kena dibayar dibangkitkan di bawah peruntukan subseksyen 13A(1) ACKHT 1976 adalah tertakluk kepada kenaikan cukai (Subseksyen 13A(4) ACKHT 1976). Pelupus akan mengisi sendiri ruang pengiraan cukai yang terdapat pada BNT CKHT.
- Bagi pelupus yang mengemukakan BNCKHT dalam tempoh lanjutan masa yang dibenarkan oleh KPHDN, BNCKHT tersebut dianggap diterima di dalam tempoh yang ditetapkan di bawah ACKHT 1976 dan pembayar cukai adalah layak untuk mengemukakan BNT CKHT. Walau bagaimanapun, pengiraan tempoh enam (6) bulan yang dibenarkan bagi pengemukaan BNT CKHT adalah diambil kira mulai selepas tarikh akhir pengemukaan BNCKHT yang ditetapkan berdasarkan peruntukan seksyen 13A ACKHT 1976.
- KPHDN disifatkan telah membangkitkan taksiran pada tarikh BNT CKHT dikemukakan oleh pelupus menurut seksyen 13 ACKHT 1976. Keuntungan yang boleh dikenakan cukai dan cukai kena dibayar adalah amaun sebagaimana yang dinyatakan dalam BNT CKHT itu.