Urusan Bersama HASiL

  1. Mulai tahun 2015, hanya ejen cukai yang mempunyai kelulusan yang sah dari Kementerian Kewangan Malaysia sahaja dibenarkan untuk berunding dengan pegawai HASiL berkaitan hal ehwal percukaian pelanggannya selaras dengan subseksyen 153(3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

  2. Staf atau kakitangan firma yang bekerja di bawah seliaan ejen cukai tidak dibenarkan untuk berunding bersama pegawai HASiL bagi pihak ejen cukai kecuali dengan kehadiran pembayar cukai.

  3. Bagi urusan pentadbiran selain percukaian, staf atau kakitangan firma hendaklah mempunyai surat kebenaran atau pengesahan dari ejen cukai apabila berurusan dengan pegawai HASiL (sama ada secara bersemuka atau secara dalam talian) dan mengemukakannya kepada pegawai HASiL (jika diminta) bagi tujuan semakan.

  4. Ejen cukai hendaklah mencatatkan nama penuh, nombor kelulusan dan tempoh sah kelulusan di dalam semua surat-menyurat atau e-mel kepada pihak HASiL.

  5. Sebagai usaha ke arah memberi perkhidmatan yang lebih efisien, ejen cukai digalakkan menggunakan Sistem TAeF (Tax Agent e-Filing) untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi pihak pelanggannya (bagi Borang Nyata yang telah disediakan secara dalam talian) yang boleh diakses melalui gerbang perkhidmatan MyTax.

  6. Ejen cukai perlu memastikan pelanggannya melengkapkan Borang CP55 (Kuasa Pemfailan Penyata Secara Elektronik) yang merupakan akuan daripada pembayar cukai dalam antaranya, memberi kuasa kepada ejen cukai tersebut untuk memfailkan sebarang borang yang ditetapkan.

  7. Ejen cukai hendaklah memaklumkan kepada HASiL sekiranya telah berhenti menjadi wakil seseorang pelanggan. Segala surat atau dokumen percukaian yang berkaitan hendaklah dikembalikan kepada pelanggan berkenaan dengan catatan yang sesuai.