Kemaskini Maklumat Syarikat

Bilakah kemaskini perlu dilakukan?

Syarikat dinasihatkan memaklumkan pihak HASiL dengan kadar segera apabila terdapat perubahan ke atas sebarang maklumat syarikat. Diantara maklumat yang perlu dikemaskini sekiranya terdapat perubahan adalah :

  1. Alamat surat menyurat / alamat premis perniagaan

  2. Nombor telefon untuk dihubungi

  3. Pertukaran nama syarikat

  4. Maklumat ejen cukai (jika berkenaan)

Bagaimana melakukan kemaskini maklumat anda?

Bagi tujuan mengemaskini alamat surat menyurat, sila gunapakai Borang Permohonan Pertukaran Alamat iaitu CP600B bagi tujuan tersebut. Sila cetak borang tersebut bagi membolehkan anda mengisi secara manual. Majikan juga dibenarkan memaklumkan berhubung pertukaran alamat surat menyurat melalui surat rasmi.

Bagi tujuan mengemaskini maklumat-maklumat yang lain, pemberitahuan perlu dikemukakan secara bertulis beserta dokumen-dokumen yang berkaitan. Bagi syarikat yang menukar nama sila kemukakan salinan Borang 13.

Sebarang makluman berhubung tujuan tersebut boleh dikemukakan ke Pejabat HASiL di mana fail anda berada.

Membuat Semakan Butiran Syarikat

Semakan boleh dibuat melalui hadir ke Pejabat HASiL yang berdekatan, atau menghubungi mana-mana Pejabat HASiL atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan. Sila nyatakan nombor rujukan syarikat bagi membolehkan semakan dibuat.

Semakan Butiran Syarikat Melalui Wakil

Semakan juga dibenarkan dibuat melalui wakil dalam keadaan di mana pengarah syarikat tidak dapat berbuat demikian. Surat kuasa membenarkan wakil anda membuat semakan adalah diperlukan bagi mengesahkan kebenaran yang telah diberikan. Semakan hanya boleh dibuat dengan cara wakil tersebut hadir sendiri ke mana-mana Pejabat HASiL yang berdekatan. Semakan melalui panggilan telefon adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Walaubagaimanapun, semakan dibuat oleh wakil cukai yang sah adalah dibenarkan dengan syarat maklumat berkaitan perlantikan wakil cukai telah dikemaskini di dalam sistem HASiL.