Pengenalan
Halaman ini menyediakan maklumat berkaitan permohonan, syarat kelulusan, manfaat pengecualian cukai serta semakan institusi/organisasi/tabung yang diluluskan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 merupakan insentif pengecualian cukai yang diberikan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) kepada institusi, organisasi atau tabung yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan. Kelulusan ini adalah berdasarkan permohonan dan bukan secara automatik. Institusi atau organisasi yang layak mestilah bukan berorientasikan keuntungan serta menjalankan aktiviti yang menepati peruntukan di bawah subseksyen 44(7) ACP 1967. Maklumat lanjut berkaitan syarat, kriteria dan prosedur permohonan boleh dirujuk melalui garis panduan di laman rasmi LHDNM.
Institusi/organisasi/tabung yang mendapat kelulusan KPHDN akan menikmati pengecualian cukai pendapatan, manakala penderma layak menerima potongan cukai sehingga 10% daripada pendapatan agregat. Sekiranya tidak mendapat kelulusan, institusi/organisasi/tabung masih tertakluk kepada cukai pendapatan dan perlu mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) seperti ditetapkan. Surat kelulusan yang dikeluarkan oleh KPHDN turut mengandungi tempoh kuat kuasa, syarat kelulusan, format resit dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi.