Sepintas Lalu

Berkaitan Kelulusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) Dibawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 Kepada Institusi/Organisasi/Tabung

  1. Nota ini bertujuan memberikan kefahaman berkenaan dengan institusi/organisasi/tabung yang mendapat pengecualian cukai kerana kelulusan KPHDN dibawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Semoga nota ini dapat membantu memberikan pemahaman kepada institusi/organisasi/tabung, pembayar cukai, ejen cukai, pegawai LHDNM dan rakyat umum berkaitan kelulusan KPHDN ini kepada institusi/organisasi/tabung.
  2. Subseksyen 44(6) ialah satu insentif pengecualian cukai yang diberikan kepada institusi/organisasi/tabung kerana menepati syarat-syarat kelulusan di dalam peruntukan undang-undang dan peraturan yang KPHDN ditetapkan. Insentif ini diberikan berdasarkan permohonan dan bukan secara automatik. Panduan berkaitan prosedur permohonan, syarat dan kriteria kelulusan ini boleh didapati di dalam garispanduan. Garispanduan yang telah dikeluarkan pada 20 Januari 2020 tersebut boleh diakses daripada laman sesawang rasmi LHDNM www.hasil.gov.my.
  3. Untuk menentusahkan sesebuah institusi/organisasi/tabung itu diluluskan oleh KPHDN dibawah subseksyen 44(6) ACP 1967 , adalah penting sekali untuk memastikan bahawa institusi/organisasi/tabung yang ditubuhkan itu bukan keutamaannya mencari keuntungan. Takrifan dan aktiviti institusi/organisasi/tabungyang layak adalah yang menepati aktiviti-aktiviti spesifik dinyatakan dibawah subseksyen 44(7). Senarai nama institusi/organisasi/tabung yang telah diluluskan boleh disemak menerusi laman sesawang rasmi LHDNM.
  4. Jika institusi/organisasi/tabung mematuhi peruntukan undang-undang dan peraturan tersebut, maka permohonan boleh dibuat kepada KPHDN. Kelulusan akan diberikan oleh KPHDN berdasarkan permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat yang ditetapkan.
  5. Sekiranya institusi/organisasi/tabung tersebut tidak mendapat kelulusan KPHDN , maka institusi/organisasi/tabung akan tertakluk kepada cukai pendapatan. Institusi/organisasi/tabung bertanggungjawab mengira , membayar dan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) masing-masing . Untuk itu , institusi/organisasi/tabung boleh merujuk kepada panduan pengisian BNCP yang boleh diakses melalui laman sesawang rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my Pengenaan cukai ke atas pendapatan institusi/organisasi/tabung adalah terpakai selagi kelulusan belum/tidak diperolehi daripada KHPDN.
  6. Permohonan institusi/organisasi/tabung yang bukan keutamaannya mencari keuntungan dan melaksanakan aktiviti kebajikan/amal, tidak semestinya boleh diluluskan oleh KPHDN dibawah subseksyen 44(6) ACP 1967 bagi tujuan pengecualian cukai. Ini kerana, institusi/organisasi/tabung perlu menepati dan memenuhi syarat-syarat keperluan lain bagi tujuan kelulusan KPHDN. Syarat dan kriteria kelulusan juga boleh diakses melalui garispanduan permohonan kelulusan KPHDN bertarikh 20 Januari 2020 yang boleh didapati daripada laman web rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my.
  7. Institusi/organisasi/tabung yang telah diluluskan oleh KPHDN dibawah peruntukan ini mendapat 2 manfaat iaitu pengecualian cukai pendapatan atas semua pendapatan yang diterima olehnya (dibawah Perenggan 13(1) Jadual 6) dan penderma layak mendapat potongan cukai dalam pengiraan cukai terhad kepada 10% [dibawah subseksyen 44(6)] daripada pendapatan agreggat(kecuali derma/sumbangan kepada kerajaan/kerajaan negeri,kerajaan tempatan dan seumpamanya).
  8. Surat kelulusan KPHDN akan dikeluarkan sekiranya permohonan institusi/oganisasi/tabung menepati syarat dan kriteria kelulusan. Surat kelulusan akan mengandungi tempoh kelulusan berkuatkuasa, syarat dan keperluan , format resit yang perlu diikuti dan tanggungjawab institusi/organisasi/tabung yang telah diluluskan dibawah subseksyen 44(6).