Pindaan Selepas Penghantaran Borang (Mulai Tahun Taksiran 2009)

Pembetulan bagi sebarang kesilapan dalam pengisian borang yang telah dihantar secara manual mahupun online boleh dibuat dengan menghantar surat makluman terperinci tentang kesilapan yang berlaku dengan menyertakan dokumen sokongan (resit pembelian, invois dan sebagainya) bagi mengukuhkan permohonan anda.

Surat dan dokumen tersebut perlu dikemukakan ke Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan anda.

Pembayar cukai dibenarkan membuat pindaan sendiri ke atas maklumat atau taksiran dalam Borang Nyata yang telah dikemukakan kepada HASiL dalam tempoh ditetapkan dengan mengemukakan Borang Nyata Terpinda (BNT) dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata.

BNT boleh dicetak dari laman web HASiL. BNT yang telah dilengkapkan perlu dikemukakan ke Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan Pembayar cukai.
Hanya pembayar cukai yang telah mengemukakan Borang Nyata dalam tempoh ditetapkan dibenarkan membuat pindaan sendiri dan pindaan sendiri hanya boleh dilakukan sekali.

Pembayar cukai dibenarkan untuk membuat pindaan sendiri ke atas maklumat atau taksiran bagi membetulkan kesilapan dalam Borang Nyata berhubung dengan :

  • pendapatan terkurang / tidak lapor;
  • perbelanjaan / tuntutan lain terlebih tuntut; atau
  • elaun modal / insentif / pelepasan yang terlebih tuntut.

Pindaan sendiri melalui pengemukaan BNT boleh menyebabkan perubahan berikut :

  • Dari tidak kena cukai kepada kena cukai notis taksiran asal;
  • Dari kena cukai kepada cukai kepada cukai tambahan notis taksiran tambahan; atau
  • Dari bayaran balik kepada mengurangkan bayaran balik notis taksiran asal

Bagi pindaan yang dibuat selain daripada keadaan-keadaan yang dinyatakan di dalam perenggan di atas pembayar cukai tidak perlu mengemukakan BNT sebaliknya boleh terus mengemukakan pindaan berkenaan melalui surat makluman terperinci tentang kesilapan yang berlaku serta melampirkan dokumen sokongan (resit pembelian, invois dan sebagainya) bagi mengukuhkan permohonan anda. Surat dan dokumen tersebut perlu dikemukakan ke Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan anda.

Jika ketua pengarah membuat pindaan dan mengemukakan taksiran pindaan dalam tempoh 6 bulan selepas tarikh pengemukaan Borang Nyata, pembayar cukai tidak lagi layak mengemukakan BNT kepada Ketua Pengarah. Pembayar cukai yang ingin membuat pindaan (pengakuan sukarela) ke atas taksiran yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah hendaklah mengemukakan surat kepada HASiL.

Taksiran asal atau taksiran tambahan yang dibangkitkan sendiri oleh pembayar cukai adalah tertakluk kepada kenaikan cukai. Pembayar cukai perlu mengisi sendiri ruang pengiraan kenaikan cukai yang terdapat pada BNT.

Sekiranya Borang Nyata Terpinda dikemukakan :

  • Dalam tempoh 60 hari dari tarikh akhir pengemukaan borang, amaun kenaikan cukai yang dikenakan adalah 10% daripada amaun cukai atau cukai tambahan.
  • Selepas tempoh 60 hari tetapi tidak lewat daripada 6 bulan dari tarikh akhir pengemukaan, amaun kenaikan cukai yang dikenakan adalah berdasarkan formula berikut :

B + [(A + B) x 5% ]
Di mana :
A = amaun cukai atau cukai tambahan; dan
B = 10% daripada amaun cukai atau cukai tambahan ( A X 10%)