Subseksyen 44(6) - Umum

Kompilasi Soalan-Soalan Berkenaan Permohonan Untuk Kelulusan Di Bawah Subseksyen 44(6), Subseksyen 44(11D), ACP 1967 Dan P.U. (A) 139/2020

BIL. SOALAN JAWAPAN
1 Apakah maklumat yang diperlukan untuk permohonan beli aset (bangunan) setelah mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967?
  1. Maklumat lengkap harga belian bangunan dan dokumen penilaian dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta bagi mengesahkan harga atau nilai aset yang ingin dibeli;
  2. Salinan geran hak milik bangunan dan maklumat lengkap berkaitan bangunan seperti alamat, jenis bangunan, pemilik lot dan lain-lain yang berkaitan;
  3. Punca kewangan dan maklumat pembiayaan untuk membeli aset tersebut;
  4. Tujuan atau kegunaan aset/ bangunan yang hendak dibeli.
2 Adakah kelulusan Menteri Kewangan diperlukan sekiranya institusi/organisasi/tabung ‘menerima sumbangan daripada Luar Negara’? Tidak. Syarat tersebut hanya terpakai jika institusi /organisasi/tabung sendiri yang hendak mengadakan aktiviti di luar negara atau melibatkan pemberian manfaat kepada warga asing.
3 Sekiranya institusi/organisasi/tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 menerima sumbangan daripada luar negara, adakah sumbangan itu dikecualikan cukai? Sumbangan yang diterima oleh institusi/organisasi/tabung yang mendapat pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 adalah dikecualikan cukai tidak kira diterima dari mana.
4 Bagi penyumbang luar negara yang menyumbang kepada institusi/organisasi/tabung, adakah akan mendapat potongan cukai? Jika mereka tertakluk kepada cukai di Malaysia, sumbangan yang diberikan layak mendapat tolakan cukai di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967.
5 Apakah yang dimaksudkan dengan syarat dari segi komposisi keahlian berdaftar iaitu lebih 50% Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Ahli Lembaga Pengarah/ahli jawatankuasa mestilah terdiri daripada orang luar?

Syarat yang perlu dipatuhi bagi semua yang berdaftar di bawah ROS/SSM/BHEUU adalah lebih 50% Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Ahli Lembaga Pengarah/ahli jawatankuasa mestilah terdiri daripada orang luar yang tidak mempunyai perkaitan dengan institusi atau organisasi atau pengasas, hubungan kekeluargaan seperti ibu-bapa, anak, adik beradik termasuk lain-lain hubungan kekeluargaan yang rapat, hubungan majikan dan pekerja atau pengarah atau pekerja di dalam syarikat atau kumpulan syarikat yang sama. Bagi institusi/organisasi/tabung yang berdaftar seperti berikut :

ROS
Syarat yang perlu dipatuhi adalah semua ahli jawatankuasa (AJK) mestilah Ahli dan ada kuasa mengundi.

SSM
Syarat keahlian Ahli Lembaga Pengarah (ALP) di dalam yayasan juga diambilkira dalam menentukan peratusan orang luar (lebih 50% daripada senarai ALP mestilah bukan ahli berdaftar kepada yayasan). Ahli yang dimaksudkan adalah ahli yang membayar yuran kepada Yayasan. Bukan ahli pula bermaksud tidak membayar yuran kepada Yayasan. Setiap yayasan boleh rujuk kepada perlembagaan masing-masing sekiranya keliru berkenaan dengan ahli/bukan ahli yang perlu diisi dalam senarai ALP.

Bagi yayasan yang mempunyai ahli dan bukan ahli, syarat yang perlu dipatuhi adalah lebih 50% daripada senarai ALP mestilah bukan ahli berdaftar kepada yayasan. Sekiranya semua adalah bukan ahli, maka syarat ini telah dipatuhi.

BHEUU
Di bawah Surat Ikatan Amanah/Trust Deed tiada isu keahlian. Semua adalah bukan ahli yang perlu diisi dalam senarai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA). Berdasarkan undang-undang baru daripada BHEUU, lantikan ALPA mestilah bilangan ganjil iaitu tiga orang atau tujuh orang dan perlu mencari menteri untuk mendapatkan kelulusan. Minimun bagi ALPA adalah tiga orang, bagi commitee (ahli jawatankuasa) tiada masalah untuk lantik ramai.


Sila rujuk syarat-syarat Ahli Lembaga Pengarah/Ahli Lembaga Pemgenag Amanh/ Ahli Jawatankuasa di perenggan Garis Panduan KPHDN 3.3.

6 Bolehkah institusi/organisasi/tabung mengutip derma daripada orang awam sebelum mendapat kelulusan subseksyen 44(6) ACP 1967? Sesebuah institusi/organisasi/tabung boleh mengutip derma. Namun, tidak boleh mengeluarkan resit di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 kepada penderma. Institusi/Organisasi/Tabung juga akan tertakluk kepada cukai pendapatan.
7 Apakah dokumen yang perlukan sekiranya institusi/organisasi/tabung yang diluluskan ingin membeli aset seperti kenderaan?

Institusi/organisasi/tabung yang diluluskan oleh KPHDN dikehendaki untuk mengemukakan permohonan pembelian aset/kenderaan dengan menyatakan tujuan/kegunaannya bersama-sama dengan salinan sebut harga kenderaan. Turut diperlukan ialah penjelasan dimana punca kewangan pembelian kenderaan tersebut. Pembelian kenderaan secara tunai/one-off dan secara sewa beli dibenarkan.

Setelah permohonan pembelian kenderaan diluluskan, institusi/organisasi/tabung dikehendaki mematuhi syarat seperti berikut:

  1. Mengemukakan salinan geran kenderaan dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan ke LHDNM untuk simpanan;
  2. Pembelian kenderaan tersebut tidak boleh diambil kira dalam pengiraan 50% perbelanjaan tahun semasa.
  3. Pembelian ini tidak menghalang yayasan untuk terus menjalankan aktiviti-aktiviti terasnya.
8 Adakah kelulusan KPHDNM diperlukan sekiranya pihak institusi/organisasi/tabung membuat bayaran kepada penceramah daripada luar negara? Tidak perlu mendapatkan kelulusan KPDHNM. Namun, aktiviti ini mestilah mengikut berdasarkan objektif selari dengan yang sedia ada.
9 Salah satu objektif institusi/organisasi/tabung yang diluluskan adalah untuk memberikan perkhidmatan kebajikan & pendidikan khusus kepada orang awam. Adakah yuran yang dibayar bagi pendaftaran kursus dikecualikan cukai? Yuran pendaftaran kursus adalah pendapatan kepada institusi/organisasi/tabung. Yuran pendaftran kursus tidak layak mendapat pengecualian cukai di bawah derma subseksyen 44(6) ACP 1967. Sebarang aktiviti diluar objektif penubuhan semasa kelulusan KPHDN diberikan, perlu mendapat kelulusan KPHDN.
10 Adakah resit derma kelulusan KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 boleh dikeluarkan kepada penderma yang tidak memberikan butiran yang lengkap? Institusi/organisasi/tabung tidak perlu mengeluarkan resit rasmi pengecualian cukai jika butiran penderma tidak lengkap.
11 Sekiranya pihak institusi/organisasi/tabung menganjurkan aktiviti/acara kutipan dana, bagaimanakah urusan rekod penerimaan derma dan perbelanjaannya dibuat? Sila simpan penyata akaun terperinci bagi setiap aktiviti yang dijalankan, termasuk pendapatan dan perbelanjaan. Institusi/organisasi/tabung boleh disatukan kemudian, tetapi setiap aktiviti mesti mempunyai penyata pendapatan dan perbelanjaan terperinci sendiri.
12 Bolehkah institusi/organisasi/tabung yang diluluskan oleh KPHDN menerima derma/sumbangan daripada luar negara? Institusi/organisasi/tabung boleh menerima sumbangan dari negara asing untuk tujuan melaksanakan objektif yang diluluskan. Semua derma/sumbangan perlu mematuhi sebarang peraturan semasa kewangan negara ini. Sila simpan rekod sumbangan derma.
13 Apakah yang perlu dilakukan oleh institusi/organisasi/tabung yang diluluskan oleh KPHDN dibawah subseksyen 44(6) ACP 1967 lakukan sekiranya merancang untuk membeli harta tanah? Institusi/organisasi/tabung perlu menulis surat kepada Pengarah Bahagian Kelulusan dan Pemantauan, Jabatan Dasar Percukaian, untuk meminta kelulusan untuk membeli tanah atau hartanah. Surat perlu mengandungi maklumat berkaitan tujuan pembelian dan butiran lain yang berkaitan dengan pembelian yang dimaksudkan.
14 Salah satu syarat keperluan permohonan kelulusan KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 ialah melampirkan surat sokongan. Apakah maksud surat sokongan dan daripada manakah ianya perlu diperolehi?

Surat sokongan yang perlu dikemukakan ialah surat sokongan yang berkait dengan perlembagaan dan aktiviti institusi/organisasi/tabung tersebut. Surat sokongan mestilah menyatakan sokongan dan pengesahan ke atas objektif dan aktiviti institusi/organisasi/tabung. Surat sokongan perlu diperolehi daripada Kementerian/Jabatan/Agensi yang releven dengan objektif/aktviti institusi/organisasi/tabung yang berkaitan. Tarikh surat sokongan mestilah yang terkini dan terbaharu.

Contohnya bagi yayasan yang menjalankan kerja amal untuk membantu orang miskin dan gelandangan, surat sokongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah relevan.

15 Apakah aktiviti yang perlu dijalankan oleh iantitusi/organisasi/tabung yang telah diluluskan oleh KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967? Aktiviti yang perlu dijalankan ialah yang selaras dengan objektif institusi/organisasi/tabung dan selari dengan subsekyen 44(7) ACP 1967.
16 Adakah institusi/organisasi/tabung yang telah diluluskan oleh KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 boleh menjalankan perniagaan? Secara umumnya institusi/organisasi/tabung tidak boleh menjalankan aktiviti perniagaan sebagai aktiviti utama bagi tujuan mendapatkan pendapatan. Walau bagaimanapuan, institusi/organisasi/tabung dibenarkan melibatkan diri dalam perniagaan dengan syarat hanya menggunakan 25% daripada dana yang terkumpul pada hari pertama dalam sesuatu tahun taksiran itu. Semua pendapatan yang diperolehi hendaklah dimasukkan semula ke dalam dana berkenaan untuk digunakan bagi mencapai objektif kebajikannya.
Sekiranya institusi/organisasi/tabung ingin menjalankan aktiviti perniagaan, permohonan secara bertulis perlu dibuat kepada Pengarah Bahagian Kelulusan dan Pemantauan, Jabatan Dasar Percukaian terlebih dahulu bagi memastikan tujuan aktiviti tersebut dilaksanakan dan sama ada ianya selaras di bawah kelulusan subseksyen 44(6) ACP 1967.
17 Adakah bagi institusi/organisasi yang berdaftar di bawah SSM, ALP perlu 50% orang luar? Apakah rasionalnya syarat ini diletakkan? Ya. Rasionalnya syarat ini ditetapkan ialah bagi memastikan tiada kawalan oleh satu-satu pihak kepada pihak yang lain dalam membuat keputusan. Penepatan ini juga untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan kerana ia melibatkan dana awam.
18 Adakah penerima manfaat dalam aktiviti institusi/organisasi/tabung hanya kepada warganegara Malaysia sahaja? Ya, manfaat hanya boleh diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.
19 Bilakah institusi/organisasi/tabung perlu memohon untuk lanjutan tempoh kelulusan sekiranya tempoh akan berakhir? Dalam tempoh 6 bulan sebelum tempoh kelulusan sedia ada berakhir.
20 Sekiranya institusi/organisasi memilih untuk kekal menggunakan no fail C, adakah institusi/organisasi boleh menghantar penyata kewangan beraudit 7 bulan setelah menutup akaun? Bagi institusi/organisasi yang kekal menggunakan no fail C, yayasan boleh memohon untuk lanjutan tempoh bagi menghantar penyata kewangan beraudit iaitu 7 bulan setelah menutup akaun.
21 Bagi syarikat berhad menurut jaminan (CLBG), adakah wajib menggugurkan perkataan “Berhad” kerana tiada dinyatakan di dalam garis panduan? Ya, bagi CLBG yang mempunyai perkataan “Berhad”, ianya adalah wajib digugurkan terlebih dahulu sebelum permohonan dikemukakan. Tidak dinyatakan di dalam garis panduan tetapi dokumen yang berkaitan perlu dikemukakan seperti yang dinyatakan di dalam senarai semak (lampiran kepada garis panduan).
22 Apakah hasrat dibawah subseksyen 44(6) ACP 1967 ke atas institusi/organisasi/tabung dari segi pengumpulan dana? Institusi/organisasi/tabung digalakkan menjalankan kutipan dana awam memandangkan salah satu hasrat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 adalah agar penderma boleh menikmati tolakan cukai bagi sumbangan yang dilakukannya.
23 Adakah institusi/organisasi/tabung perlu beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum boleh memohon untuk kelulusan? Ya, institusi/organisasi/tabung perlu beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum boleh dipertimbangkan untuk kelulusan. Ini bagi membolehkan track record dilihat dan penyata kewangan boleh dikemukakan.
24 Adakah format resit derma perlu mendapat kelulusan LHDNM terlebih dahulu? Ya, deraf format resit derma perlu dikemukakan kepada Bahagian Kelulusan dan Pemantauan terlebih dahulu untuk kelulusan sebelum boleh digunapakai.
25 Adakah sumbangan berupa barangan yang diterima boleh diberikan resit tolakan cukai di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967? Hanya sumbangan berbentuk tunai sahaja dibenarkan untuk tolakan cukai di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967. Institusi/organisasi/tabung boleh menerima sumbangan barangan tersebut tetapi resit tolakan cukai tidak boleh diberikan.
26 Bolehkah penyata akaun beraudit dikemukakan selepas 30 April? Permohonan perlu dibuat secara rasmi dengan menyatakan tarikh lanjutan masa yang diperlukan dan alasan yang jelas. Surat permohonan perlu dikemukakan kepada Pengarah Bahagian Kelulusan dan Pemantauan, Jabatan Dasar Percukaian pada atau sebelum 31 Mac.
27 Bagi institusi/organisasi/tabung yang ada laksanakan akvititi meningkatkan kutipan dana dengan menjual produk, adakah resit derma subseksyen 44(6) ACP 1967 boleh dikeluarkan kepada pembeli dan digunakan bagi tujuan potongan cukai di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967? Resit dibawah kelulusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 tidak boleh dikeluarkan kepada pembeli produk dan pembeli tidak boleh menggunakannya bagi tujuan potongan cukai di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 semasa pengiraan cukai. Resit hanya boleh dikeluarkan kepada derma/sumbangan tunai tanpa balasan sahaja.
28 Bolehkah institusi/organisasi/tabung yang telah diluluskan oleh KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 menggunakan resit digital/elektronik/berkomputer semasa menerima derma/sumbangan?

Pihak institusi /organisasi/ tabung yang telah diluluskan oleh KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 dan berhasrat ingin mengeluarkan resit derma/sumbangan secara digital/elektronik/berkomputer hendaklah membuat permohonan secara bertulis kepada Pengarah, Bahagian Kelulusan dan Pemantauan, Jabatan Dasar Percukaian. Pertimbangan akan dibuat mengikut kes-kes tertentu sahaja mengikut keperluan. Antara maklumat yang diperlukan ialah:

  • Bilangan resit derma yang telah dikeluarkan pada tahun lalu.
  • Bilangan pegawai yang diberikan kebenaran dalam pengeluaran resit tahun lalu dan semasa.
  • Jangkaan bilangan pengeluaran resit derma pada tahun semasa.
  • Alasan dan halangan pihak institusi/organisasi/tabung untuk mengeluarkan resit secara manual.
  • Nama sistem, manual dan kaedah kawalan dalaman pengeluaran resit secara digital/elektronik/berkomputer.
  • Kos yang terlibat dalam pemerolehan/membangunkan system resit secara digital/elektronik/berkomputer.

Kelulusan yang diberikan adalah bertempoh dan akan disemak dari semasa ke semasa oleh pegawai audit.

29 Apakah tindakan yang perlu dibuat sekiranya sesebuah institusi/organisasi/tabung yang mendapat kelulusan KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 membuat penukaran nama institusi/organisasi/tabung? Sesebuah institusi/organisasi/tabung yang membuat penukaran nama hendaklah mengemukakan pemakluman secara bertulis kepada Pengarah, Bahagian Kelulusan dan Pemantauan, Jabatan Dasar Percukaian dengan mengemukakan dokumen kelulusan penukaran nama yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia/Jabatan Pendaftar Pertubuhan. Pegawai proses akan memproses permohonan tersebut dan surat pemakluman kelulusan penukaran nama akan dikeluarkan kepada institusi/organisasi/tabung serta tindakan kemas kini maklumat nama institusi/organisasi/tabung akan dibuat dalam laman web HASiL.
30 Salah satu syarat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 adalah 50% daripada pendapatan tahun sebelum hendaklah dibelanjakan pada tahun semasa. Sekiranya sesebuah institusi/organisasi/tabung tersebut tidak dapat mematuhi syarat tersebut adakah ianya menjejaskan kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 dan apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh sesebuah institusi/organisasi/tabung tersebut? Sesebuah institusi/organisasi/tabung yang tidak dapat mematuhi syarat 50% daripada pendapatan tahun sebelum hendaklah dibelanjakan pada tahun semasa hendaklah mengemukakan permohonan secara bertulis kepada Pengarah, Bahagian Kelulusan dan Pemantauan, Jabatan Dasar dengan mengemukakan justifikasi-justifikasi ketidakpatuhan syarat tersebut mengikut tahun yang terlibat. Pertimbangan akan dibuat ke atas permohonan tersebut secara merit.
31 Adakah belanja-belanja berikut boleh diambil kira dalam penentuan syarat 50% perbelanjaan amal?
  1. Pembelian aset/hartanah
  2. Belanja susut nilai
  3. Belanja Hutang Ragu
  4. Belanja gaji dan upah pekerja

Perbelanjaan bagi menjalankan aktiviti amal/khairat sahaja yang boleh diambil kira dalam pengiraan 50% perbelanjaan amal seperti berikut:

  1. Pembelian aset/hartanah - Tidak boleh (perbelanjaan modal)
  2. Belanja susut nilai - Tidak boleh (perbenjaan modal)
  3. Belanja Hutang Ragu - Tidak boleh (perbelanjaan modal)
  4. Belanja gaji pekerja - Boleh (berkait dengan aktiviti amal/khairat)
32 Bolehkah pembayaran gaji dibuat kepada Pengasas/Ahli Lembaga Pengarah/Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Ahli Jawatankuasa institusi /organisasi/tabung yang telah diluluskan oleh KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967? Merujuk kepada Perenggan 3.3 (ii) Garis Panduan Kelulusan KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 bertarikh 30 Januari 2020, Pengasas/Ahli Lembaga Pengarah/Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Ahli Jawatankuasa tidak boleh menerima manfaat/saraan /emolumen tetap. Hanya tuntutan balik berkaitan dengan tugas rasmi yang disokong dengan dokumen berkaitan sahaja dibenarkan.
33 Merujuk kepada Garis Panduan Kelulusan KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 bertarikh 30 Januari 2020, institusi/organisasi/tabung yang telah mendapat kelulusan KPHDN dibenarkan untuk melibatkan diri dalam perniagaan dengan syarat hanya menggunakan 25% daripada dana terkumpul semasa hari pertama dalam sesuatu tahun taksiran. Apakah yang dimaksudkan dengan "hari pertama dalam sesuatu taksiran" tersebut dan apakah jenis perniagaan yang boleh dijalankan oleh institusi/ organisasi/ tabung? Maksud "hari pertama dalam sesuatu taksiran" adalah merujuk kepada pengiraan 25% modal terkumpul institusi/organisasi/tabung pada hari pertama taksiran semasa permohonan untuk menjalankan perniagaan dibuat kepada LHDNM. Semua pendapatan yang diperolehi daripada perniagaan ini hendaklah dimasukkan ke dalam dana berkenaan untuk mencapai objektif institusi/organisasi/fund dan /atau kerja-kerja amal yang diluluskan oleh KPHDN. Perniagaan yang boleh dijalankan adalah yang berkait dengan objektif dan /atau kerja-kerja amal yang diluluskan oleh KPHDN.
34 Adakah Garis Panduan Bagi Kelulusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Di Bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang telah dikeluarkan pada tahun 2019 masih terpakai? Garis panduan terkini yang terpakai ialah bertarikh 30 Januari 2020. Oleh itu, garis panduan yang dikeluarkan pada tahun 2019 adalah tidak terpakai lagi.
35 Sekiranya sesuatu kementerian/ agensi kerajaan telah mendapat kelulusan potongan cukai dari LHDNM bagi para penderma yang memberi derma atau sumbangan kepada tabung amanah yang ditubuhkan di kementerian/ agensi kerajaan tersebut, adakah penderma tersebut perlu mengemukakan sekali lagi permohonan kepada LHDNM untuk kebenaran potongan cukai di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 dengan membawa resit Kew.38 atau memadai dengan mengisytiharkan sahaja derma/sumbangan tersebut semasa mengemukakan e-filing setiap tahun dan menyimpan resit Kew.38 sebagai bukti sokongan? Memadai dengan mengisytiharkan sahaja derma/sumbangan tersebut semasa mengemukakan e-filing setiap tahun dan menyimpan resit Kew.38 atau resit dari institusi/organisasi/tabung yang mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 sebagai bukti sokongan sekiranya diperlukan untuk pembuktian jika diaudit.
36 Adakah terdapat panduan permohonan untuk penderma yang menderma kepada tabung amanah yang ditubuhkan di sesebuah kementerian/ agensi kerajaan? Bagi penderma yang menderma, pembuktian adalah melalui resit potongan cukai yang dikeluarkan oleh pihak institusi/organisasi/tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 atau pun resit Kew-38. Bagi penderma yang menderma kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan tiada panduan bagi permohonan berkaitan. Penderma boleh terus mendapat potongan dengan syarat resit Kew-38 disimpan sebagai bukti sekiranya diperlukan.
37 Sekiranya sekolah ingin membina surau untuk kegunaan pelajar/guru (melibatkan aktiviti pendidikan dan pembelajaran [PDP]) & surau di dalam kawasan sekolah, adakah perlu memohon dibawah tabung pembinaan sekolah atau tabung pembinaan rumah ibadat?

Surau bukan sebahagian daripada aktiviti melibatkan pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana aktiviti pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan secara praktikal di dalam kelas yang disediakan. Surau adalah kemudahan dan keperluan mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis Agama lslam Negeri (MAIN) bagi tujuan pembinaan, pengoperasian dan pemantauan.
Oleh yang demikian, pembinaan surau di dalam kawasan sekolah ataupun di luar kawasan, adalah bukan sebahagian daripada sekolah.

Bagi tujuan subseksyen 44(6) ACP 1967, sewajarnya permohonan melalui Tabung Pembinaan Rumah Ibadat (surau) ataupun Tabung Wang Awam Sekolah (TSUWAS) kerana ianya sebahagian projek atau projek sekolah dengan kelulusan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

38

Jika penyata kewangan institusi/organisasi/tabung yang diluluskan menunjukkan maklumat berikut:

Pendapatan Tahun 2020 = RM800k
Perbelanjaan tahun 2021 adalah RM800k/2 = RM400k

Bagaimanakah syarat 50% perbelanjaan harus dibelanjakan dikira?

Secara dasarnya setiap perbelanjaan adalah daripada pendapatan yang diterima. Dalam mengira syarat perbelanjaan yang ditetapkan, sekurang-kurangnya 50% daripada pendapatan tahun sebelum mestilah dibelanjakan pada tahun berikutnya dan perbelanjaan hendaklah bagi menjalankan aktiviti yang selaras dengan objektif institusi/organisasi/tabung.

Pengiraannya adalah seperti berikut:

Pendapatan Tahun 2020 = RM800k
Perbelanjaan tahun 2021 adalah RM800k/2 = 400k.

Oleh itu untuk memenuhi syarat-syarat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) Acp 1967, institusi/organisasi/tabung hendaklah membelanjakan sekurang-kurangnya RM400k dalam tahun 2021 dan perbelanjaan tersebut mestilah selaras dengan objektif penubuhan institusi/ organisasi/tabung.

39 Bolehkah ahli keluarga kakitangan institusi/organisasi/tabung yang telah mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 layak menerima bantuan? Sebagai contoh, ahli keluarga kakitangan adalah daripada golongan B40 yang ditimpa masalah kesihatan.

Berdasarkan syarat-syarat terkini dalam garis panduan kelulusan subseksyen 44(6) ACP 1967, telah dijelaskan bahawa khidmat atau manfaat tidak boleh dinikmati oleh ahli keluarga Pemegang Amanah atau mana-mana pihak yang berkepentingan kepada pengasas/Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Ahli Lembaga Pengarah/ahli jawatankuasa/mana-mana pihak yang mengendalikan yayasan.

Bagi ahli keluarga kakitangan, ianya adalah dibenarkan jika memenuhi syarat ditetapkan iaitu untuk membantu golongan B40 yang ditimpa masalah kesihatan dengan mengemukakan borang yang ditandatangani oleh doktor di hospital kerajaan. Namun demikian, sekiranya kakitangan tersebut adalah orang yang sama seperti yang dinyatakan dalam perenggan di atas, maka manfaat tidak boleh dinikmati oleh ahli keluarga.