PEMBAYAR CUKAI JASAMU DIKENANG
Cyberjaya, 10 Mac 2025 – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) sekali lagi mencatat detik bersejarah apabila acara kemuncak Majlis Sambutan Hari Hasil ke-29 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Malaysia. Majlis tahunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ini merupakan satu manifestasi kepada pencapaian HASiL dalam konteks percukaian langsung negara sejak tahun 1996.
Penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik (APCT) Tahun 2024
Seiring dengan tradisi, majlis ini disemarakkan dengan pelbagai pengisian berteraskan nilai percukaian, kerohanian dan kesukanan yang menerapkan elemen perpaduan dan patriotisme. Menariknya, LHDNM kekal konsisten dalam menghargai dan mengiktiraf jasa para pembayar cukai menerusi penyampaian anugerah kepada 10 pembayar cukai terbaik untuk tahun 2024 . Anugerah ini diberikan kepada para pembayar cukai yang layak sebagai tanda penghargaan atas inisiatif pematuhan cukai yang tidak berbelah bahagi sepanjang tahun 2024.
Penentuan pemilihan senarai penerima anugerah ini telah dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria selain dari jumlah bayaran cukai tertinggi yang telah dibayar dalam tahun 2024. Secara kronologinya, senarai 5000 Pembayar Cukai Korporat (Fail Syarikat) tertinggi (Top 5000) dari segi jumlah bayaran cukai bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2024 dijadikan asas pemilihan pada peringkat awal. Senarai ini dipilih mengikut kriteria-kriteria yang berikut:
-
- Membayar cukai tertinggi bagi tempoh yang ditetapkan;
- Pembayar cukai mengikut jenis fail C (Syarikat); dan
- Tiada kes audit/siasatan untuk tempoh empat (4) Tahun Taksiran (T/T) kebelakang (T/T 2020, T/T 2021, T/T 2022, T/T 2023). Sekiranya wujud, status audit/siasatan tersebut telah dikategorikan sebagai SL (Selesai).
Daripada senarai awal tersebut, 70 calon disenarai pendek telah dikemukakan kepada jabatan-jabatan utama HASiL yang berkaitan untuk pengesahan lanjut berdasarkan aspek berikut:
-
- Amaun Cukai yang dibayar adalah signifikan;
- Tiada tunggakan cukai sehingga tahun 2024;
- Pematuhan kepada bayaran ansuran CP204 tahun semasa;
- Pembayar cukai bukan sedang diaudit/dalam siasatan; dan
- Pembayar cukai bukan dalam tindakan guaman sivil/pendakwaan.
Hasil daripada saringan tersebut,15 calon yang melepasi saringan bagi semua kriteria yang ditetapkan seperti di atas telah dikemukakan kepada Pengurusan Tertinggi HASiL untuk dipilih sebagai penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik 2024 dan 10 pembayar cukai terbaik yang telah dipilih adalah seperti berikut:
SENARAI ANUGERAH PEMBAYAR CUKAI TERBAIK TAHUN 2024
-
- OCBC BANK (MALAYSIA) BHD.
- BANK PEMBANGUNAN MALAYSIA BERHAD
- RHB ISLAMIC BANK BERHAD
- BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD
- PELANGI SDN. BHD.
- FUTURE GOLDEN DEVELOPMENT SDN. BHD.
- R & F DEVELOPMENT SDN. BHD.
- PETRONAS LNG SDN. BHD.
- GRABCAR SDN. BHD.
- RENESAS ELECTRONICS (PENANG) SDN. BHD.
HASiL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar cukai korporat tersebut atas inisiatif pematuhan cukai yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan dan mengharapkan inisiatif tersebut diteruskan pada masa-masa hadapan demi kelestarian dan kemakmuran negara tercinta dalam konteks cukai pendapatan. Adalah diharapkan juga anugerah ini menjadi inspirasi kepada para pembayar cukai lain untuk terus menyokong sistem percukaian negara yang adil dan progresif.
Terima Kasih Para Pembayar Cukai, Andalah Wira Negara!