PEGANGAN DAN REMITAN WANG OLEH PEMEROLEH

Dalam transaksi pelupusan aset yang melibatkan balasan dalam bentuk wang atau sebahagian wang, pemeroleh hendaklah memegang simpan dan meremitkan sebahagian daripada jumlah nilai balasan atau kesemua balasan wang, yang mana lebih rendah seperti berikut:

Kategori Pelupus (Jadual 5)

Kadar remitan oleh pemeroleh

Bahagian I

3%

Bahagian II (Dalam tempoh 3 tahun)

5%

Bahagian II (Tahun ke-4 dan seterusnya)

3%

Bahagian III

7%

Mulai pelupusan Tahun Taksiran 2026, pilihan tambahan diberi kepada pemeroleh untuk memegang dan meremit amaun yang bersamaan dengan amaun taksiran yang disifatkan kepada KPHDN sekiranya pemberitahuan amaun cukai disifatkan dimaklumkan oleh pelupus kepada pemeroleh sebelum remitan dibuat. Pemeroleh perlu membuat pilihan amaun yang perlu diremitkan iaitu:

  • Kesemua balasan;
  • 3% / 5% / 7% seperti di jadual di atas; atau
  • Bersamaan dengan amaun taksiran disifatkan sekiranya pemberitahuan amaun cukai disifatkan dimaklumkan oleh pelupus kepada pemeroleh sebelum remitan dibuat yang mana rendah

Pemeroleh dikehendaki meremitkan amaun tersebut kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pelupusan. Amaun wang yang diremitkan akan digunakan untuk membayar keseluruhan atau sebahagian cukai yang dikenakan atas pelupus.

Jika pemeroleh gagal membayar amaun berkenaan, kenaikan 10% daripada amaun yang gagal dibayar akan dikenakan terhadap pemeroleh. Amaun yang sepatutnya dibayar dan kenaikan tersebut adalah merupakan hutang pemeroleh kepada Kerajaan dan hendaklah dibayar kepada KPHDN.

Di lawati :
Kemaskini : :