SIJIL TARAF MASTAUTIN

Malaysia mempunyai rangkaian Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (PPPDK) yang luas. Sijil Taraf Mastautin (STM) dikeluarkan untuk mengesahkan pembayar cukai adalah bermastautin di Malaysia dan membolehkan pembayar cukai menuntut manfaat di bawah PPPDK serta mengelakkan pencukaian dua kali ke atas pendapatan yang sama. Oleh itu, STM hanya akan dikeluarkan bagi tujuan tersebut dan dengan rakan pejanji Malaysia sahaja.

Penentuan Taraf Mastautin

Penentuan taraf mastautin adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (ACAPL) iaitu:

  1. Individu - Seksyen 7 ACP
  2. Syarikat - Seksyen 8 ACP
  3. Badan Amanah - Seksyen 61 (3) ACP
  4. Entiti Labuan - Seksyen 3B ACAPL

Permohonan STM

Permohonan STM perlu dibuat melalui sistem e-Residence bermula 1 Februari 2023.

Sila klik e-Residence atau imbas kod QR di bawah:

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai permohonan STM, sila kemukakan pertanyaan anda melalui emel kepada cor@hasil.gov.my atau rujuk:

Permohonan STM hanya akan diproses sekiranya semua dokumen telah dikemukakan dengan lengkap dan teratur, termasuklah pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang lengkap dan terkini.

Pengesahan Taraf Mastautin Pada Borang Khas Yang Dikeluarkan Oleh Pentadbir Cukai Asing

Pengesahan taraf mastautin pada borang khas yang dikeluarkan oleh pentadbir cukai asing telah diberhentikan. Sijil Taraf Mastautin yang dikeluarkan melalui sistem e-Residence adalah memadai sebagai pengesahan.

Pemohon
Kategori pemohon STM adalah seperti berikut:-

Bil Pemohon Dokumen Sokongan Yang Perlu Dimuatnaik
1. Individu
  1. Salinan pasport lengkap (semua mukasurat).

Rekod pergerakan keluar/masuk Malaysia daripada Jabatan Imigresen Malaysia perlu dikemukakan bagi situasi berikut:

  1. Sekiranya maklumat dalam pasport tidak lengkap; atau
  2. Pemegang pasport yang layak menggunakan kemudahan auto-gate untuk pemeriksaan imigresen di pintu masuk Malaysia.
2. Syarikat dan Kumpulan Orang

Syarikat

  1. Salinan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah atau surat pengesahan pengarah berkenaan pengurusan dan kawalan syarikat dilakukan di Malaysia.

  2. Petikan terkini maklumat Pengarah / Pegawai syarikat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kelab, Persatuan atau Institusi Serupa

  1. Salinan Minit Mesyuarat Lembaga Pengurusan / Minit Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau surat pengesahan berkenaan pengurusan dan kawalan dilakukan di Malaysia, dan

  2. Petikan terkini maklumat Lembaga Pengarah/Lembaga Pengurusan Kelab, Persatuan atau Institusi Serupa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
3. Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
  1. Salinan Perjanjian Perkongsian Liabiliti Terhad; dan

  2. Salinan minit mesyuarat pekongsi PLT atau surat pengesahan berkenaan pengurusan dan kawalan dilakukan di Malaysia.
4. Perkongsian
  1. Dokumen sokongan adalah mengikut kategori ahli kongsi. Contoh: jika pekongsi adalah individu maka dokumen sokongan diperlukan adalah seperti kategori pemohon individu).

  2. Petikan maklumat senarai pekongsi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
5. Badan Amanah
  1. Salinan surat ikatan penubuhan Badan Amanah.

  2. Dokumen sokongan adalah mengikut kategori pemegang amanah (Contoh:- jika pemegang amanah adalah individu maka dokumen sokongan diperlukan adalah seperti kategori pemohon individu).
6. Amanah Perniagaan (BT)
  1. Salinan surat ikatan penubuhan Amanah Perniagaan

  2. Surat pengesahan oleh Trustee Manager (TM) :

       (i) TM di dalam kapasitinya telah menjalankan perniagaan BT tersebut di Malaysia, dan

       (ii)Pengurusan dan kawalan bagi perniagaan BT tersebut dilakukan di Malaysia
7. Entiti Labuan
  1. Salinan passport sekiranya pengarah bukan warganegara Malaysia dan Helaian keluar/masuk Malaysia

  2. Salinan minit mesyuarat Lembaga Pengarah

  3. Surat pengesahan berkenaan pengurusan dan pengawalan syarikat dilakukan di Malaysia

  4. Maklumat Pengarah (Borang 25)

  5. Borang Maklumat Tahunan (Borang 27)

Pemprosesan dan Tempoh Pengeluaran STM

Pemohon akan menerima slip pengesahan setelah permohonan dikemukakan.

STM akan diproses dalam tempoh 10 hari bekerja, sekiranya semua maklumat telah diisi dan dokumen telah dimuatnaik ke dalam sistem e-Residence dengan lengkap.

Pemohon akan menerima makluman melalui emel apabila STM telah diluluskan dan akan diberikan satu nombor PIN. Nombor PIN tersebut perlu digunakan untuk mencetak sendiri Sijil Taraf Mastautin pemohon daripada sistem e-Residence.

Bayaran
Tiada bayaran dikenakan bagi STM yang dikeluarkan.