Pengenalan

Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 memberi peluang kepada pembayar cukai untuk tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan LHDNM yang sedang berkuat kuasa serta menggalakkan pembayar cukai membayar cukai dalam tempoh yang ditetapkan.

Tempoh pelaksanaan PKPS 2.0 adalah mulai 06 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024.

Pembayar cukai yang layak untuk menyertai PKPS 2.0 adalah seperti berikut:

BIL.

PEMBAYAR CUKAI YANG LAYAK

TAHUN TAKSIRAN YANG LAYAK

KAEDAH

1

Pembayar cukai baharu

Tahun Taksiran 2022 dan ke belakang

  1. Semakan nombor pengenalan cukai (TIN) secara dalam talian melalui perkhidmatan e-Daftar di Portal MyTax.

  2. Sekiranya belum mempunyai TIN, buat pendaftaran melalui perkhidmatan e-Daftar di Portal MyTax atau dimana-mana kaunter perkhidmatan LHDNM yang berhampiran.

  3. Kemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) / Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) sama ada secara e-Filing / e-CKHT atau BNCP / BNCKHT manual.

Sila klik: Portal MyTax

2

Pembayar cukai sedia ada yang pernah melaporkan pendapatan kepada LHDNM tetapi terdapat BNCP / BNCKHT yang tidak dikemukakan bagi mana-mana tahun taksiran yang lain.

BNCP - Tahun Taksiran 2021 dan ke belakang

BNCKHT - Tahun Taksiran 2022 dan ke belakang

Kemukakan BNCP / BNCKHT sama ada secara e-Filing / e-CKHT atau BNCP / BNCKHT manual.

Sila klik: Portal MyTax

3

Pembayar cukai sedia ada yang pernah melaporkan pendapatan kepada LHDNM tetapi mempunyai pendapatan tambahan yang tidak dilaporkan.

Tahun Taksiran 2021 dan ke belakang

  1. Kemukakan pengakuan sukarela melalui pautan PKPS 2.0 di Portal Rasmi LHDNM / MyTax berkaitan pendapatan yang belum dilaporkan berserta Lampiran Borang Pelaporan Pertambahan Pendapatan PKPS 2.0 dan pengiraan cukai.

  2. Pengiraan cukai hanya perlu dikemukakan oleh pembayar cukai kategori fail syarikat, perniagaan dan perkongsian.

  3. Bagi pembayar cukai yang membuat pengakuan sukarela untuk isu-isu harga pindahan dalam tempoh PKPS 2.0, perlu mengisi Borang Pengakuan Sukarela Bagi Kes Harga Pindahan.

4

Pembayar duti yang tidak membuat penyeteman dokumen / perjanjian dalam tempoh penyeteman yang dibenarkan.

Dokumen / perjanjian yang telah disempurnakan (ditandatangani) pada atau sebelum 01 Mei 2023 untuk penyeteman mulai 06 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.

  1. Pembayar duti perlu mengemukakan dokumen / perjanjian untuk disetemkan melalui Stamp Assessment And Payment System (STAMPS) https://stamps.hasil.gov.my/.

  2. Selepas mendapat Notis Taksiran, permohonan rayuan penalti perlu dikemukakan melalui STAMPS bagi melayakkan tawaran penalti di bawah PKPS 2.0.

Susulan daripada tarikh kuat kuasa baharu bagi PKPS 2.0 iaitu pada 6 Jun 2023, sebarang permohonan taklimat mahupun undangan penceramah/ahli panel berkaitan PKPS 2.0 ini boleh dibuat melalui e-mel taxeducation@hasil.gov.my.

Hanya taklimat dan permohonan penceramah/ahli panel bagi seminar yang berlangsung pada tarikh 12 Jun 2023 dan seterusnya akan dipertimbangkan.