Saya telah menghantar borang e-Be 2021 pada 01 Mac 2022. Walaubagaimanapun saya dapati terdapat kesilapan pengisian maklumat pendapatan. Bagaimana cara saya membuat pindaan borang e-Be yang telah dihantar?
Jawapan:
Pindaan borang BE boleh dibuat menerusi salah satu cara yang berikut:-
1) Secara manual
Pembetulan bagi sebarang kesilapan dalam pengisian borang yang telah dihantar secara manual mahupun online boleh dibuat dengan menghantar surat makluman terperinci tentang kesilapan yang berlaku dengan menyertakan dokumen sokongan (resit pembelian, invois dan sebagainya) bagi mengukuhkan permohonan anda.
Surat dan dokumen tersebut perlu dikemukakan ke Cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan anda atau melalui sistem maklumbalas pelanggan LHDNM.
2) E-Permohonan Pindaan BE
Pindaan boleh dilakukan melalui platform e-Filing dan pembayar cukai boleh mengemukakan pindaan secara online hanya bagi kes-kes berikut sahaja:
• Terlebih lapor pendapatan
• Terkurang tuntut pelepasan cukai atau rebat cukai
E-Permohonan Pindaan BE boleh diakses mulai 1/4/2022.
3) Borang Nyata Terpinda (BNT)
- Pindaan yang dikemukakan sebelum tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata
Pembetulan bagi sebarang kesilapan dalam pengisian borang yang telah dihantar secara manual mahupun online boleh dibuat dengan menghantar surat makluman terperinci tentang kesilapan yang berlaku dengan menyertakan dokumen sokongan (resit pembelian, invois dan sebagainya) bagi mengukuhkan permohonan anda.
Surat dan dokumen tersebut perlu dikemukakan ke Cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan anda.
- Pindaan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh akhir pengemukaan borang
Pembayar cukai dibenarkan membuat pindaan sendiri ke atas maklumat atau taksiran dalam Borang Nyata yang telah dikemukakan kepada LHDNM dalam tempoh ditetapkan dengan mengemukakan Borang Nyata Terpinda (BNT) dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata.
BNT boleh dicetak dari laman web LHDNM. BNT yang telah dilengkapkan perlu dikemukakan ke Cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan Pembayar cukai. Hanya pembayar cukai yang telah mengemukakan Borang Nyata dalam tempoh ditetapkan dibenarkan membuat pindaan sendiri dan pindaan sendiri hanya boleh dilakukan sekali.
Pembayar cukai dibenarkan untuk membuat pindaan sendiri ke atas maklumat atau taksiran bagi membetulkan kesilapan dalam Borang Nyata berhubung dengan :
• pendapatan terkurang / tidak lapor;
• perbelanjaan / tuntutan lain terlebih tuntut; atau
• elaun modal / insentif / pelepasan yang terlebih tuntut.
Pindaan sendiri melalui pengemukaan BNT boleh menyebabkan perubahan berikut :
• Dari tidak kena cukai kepada kena cukai notis taksiran asal;
• Dari kena cukai kepada cukai kepada cukai tambahan notis taksiran tambahan; atau
• Dari bayaran balik kepada mengurangkan bayaran balik notis taksiran asal
Bagi pindaan yang dibuat selain daripada keadaan-keadaan yang dinyatakan di dalam perenggan di atas pembayar cukai tidak perlu mengemukakan BNT sebaliknya boleh terus mengemukakan pindaan berkenaan melalui surat makluman terperinci tentang kesilapan yang berlaku serta melampirkan dokumen sokongan (resit pembelian, invois dan sebagainya) bagi mengukuhkan permohonan anda. Surat dan dokumen tersebut perlu dikemukakan ke Cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan anda.
Jika ketua pengarah membuat pindaan dan mengemukakan taksiran pindaan dalam tempoh 6 bulan selepas tarikh pengemukaan Borang Nyata, pembayar cukai tidak lagi layak mengemukakan BNT kepada Ketua Pengarah. Pembayar cukai yang ingin membuat pindaan (pengakuan sukarela) ke atas taksiran yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah hendaklah mengemukakan surat kepada LHDNM.