Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas rahmat serta kasih sayang-Nya, kita dapat bersama-sama mengecapi Tahun Baharu Masihi 2023.

Saya dan seluruh Team HASiL mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023 kepada seluruh pembayar cukai yang budiman di mana jua anda berada.

Suntikan kewangan menerusi instrumen cukai merupakan pendekatan fiskal yang penting bagi membolehkan negara kita kembali bangkit daripada kemelut sosio-politik dan ekonomi, begitu juga daripada krisis kesihatan global sekali gus memacu Malaysia menuju ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Justeru, peranan para pembayar cukai dalam memberikan sokongan dan kerjasama berterusan kepada semua inisiatif yang dilaksanakan oleh HASiL sepanjang tahun 2022 bagi memastikan rantaian ekosistem percukaian negara sentiasa berada dalam keadaan sempurna amat kami hargai. Komitmen yang diberikan oleh pembayar cukai menerusi pematuhan kepada perundangan percukaian telah memungkinkan negara dan rakyat bersedia mendepani segala cabaran yang mendatang.

Atas kerjasama, sokongan dan komitmen tersebut, saya mewakili seluruh Team HASiL merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar cukai dan berharap sinergi positif yang dibentuk, disemai dan dipupuk pada tahun 2022 akan berterusan pada tahun ini demi kelestarian dan kemakmuran negara.

Pembayar Cukai Yang Budiman,

Stigma dan persepsi negatif terhadap HASiL yang sering digambarkan sebagai sebuah agensi penguat kuasa cukai yang menggerunkan dan tidak bertimbang rasa sudah tidak lagi relevan. Kini, wajah HASiL telah dipotretkan sebagai sebuah agensi yang mesra mendekati rakyat bagi memberikan kefahaman yang baik berkenaan tanggungjawab percukaian terhadap negara. Selaku Ketua Agensi, saya cukup optimis bahawa pendekatan murni sebegini amat signifikan dalam meningkatkan kesedaran cukai dan pengetahuan bagaimana instrumen cukai memberikan manfaatnya semula kepada rakyat.

Atas kesedaran bahawa aktiviti penguatkuasaan semata-mata tidak mampu secara lestari untuk meningkatkan kadar pematuhan cukai secara sukarela, melangkah ke lembaran tahun baharu ini HASiL akan terus memperkasakan pelaksanaan elemen AES iaitu kesedaran (awareness), pendidikan (education) dan perkhidmatan percukaian profesional (services) dalam setiap fungsi dan aktiviti terasnya.

Selaras dengan hasrat untuk terus memberikan perkhidmatan percukaian yang terbaik, pada tahun 2023 ini HASiL melakukan penstrukturan semula organisasi (restructuring) dengan pelaksanaan Front Office Back Office (FOBO), manakala dari aspek Transformasi HASiL, perekayasaan proses kerja (reengineering) secara besar-besaran menerusi pelaksanaan HASiL Intergrated Tax System atau ringkasnya HiTS telah diberikan keutamaan.

Mendepani arus perubahan semasa ini, HASiL terus beriltizam mentadbir dan mengurus sistem percukaian langsung negara secara cekap, adil, telus dan penuh berintegriti bagi membina kepercayaan dan keyakinan pembayar cukai dari semasa ke semasa.

Memandang ke hadapan, sebagai sebuah agensi yang sentiasa menitikberatkan perihal kecekapan penyampaian perkhidmatan, saya menzahirkan komitmen HASiL dan menyeru anda semua sebagai pembayar cukai untuk bersama-sama kami mencipta sejarah negara yang lebih gemilang dengan menggalas amanah selaku rakyat yang baik yakni mengisytihar dan membayar cukai yang sepatutnya pada tahun ini dan pada tahun-tahun yang mendatang.

Sekian, terima kasih dan Selamat Tahun Baharu 2023.


Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia