Skim Ansuran CP204

Syarikat, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan koperasi yang belum memulakan operasi tidak perlu mengemukakan Borang CP204.

Bagi syarikat yang telah sedia beroperasi, anggaran cukai hendaklah dibayar secara ansuran yang sama banyak mulai bulan ke 2 tempoh asas bagi sesuatu tahun taksiran.

Contoh:

Jumlah bulan dalam tempoh asas = 12 bulan    
Anggaran cukai = RM12,000    
Ansuran bulanan = RM12,000    
  = RM12,000 / 12 = RM1,000

Bagi syarikat yang baru beroperasi, bayaran ansuran bermula pada bulan ke 6 dalam tempoh asas sesuatu tahun taksiran misalnya dibayar pada bulan ke 6 selepas syarikat memulakan perniagaan.

Syarikat hendaklah membayar ansuran cukai yang telah dianggarkan selewat-lewatnya pada hari ke 15 setiap bulan.

Bayaran Baki Cukai

Apabila cukai sebenar bagi sesuatu tahun taksiran telah ditentukan, baki cukai iaitu cukai sebenar setelah menolak bayaran ansuran (jika ada) hendaklah dibayar tidak lewat daripada hari terakhir 7 bulan selepas tarikh penutupan akaun.

Denda Di Bawah Skim Ansuran

Denda dalam bentuk kenaikan cukai akan dikenakan jika:

  1. Syarikat yang gagal membuat bayaran ansuran bulanan sepenuhnya dalam tempoh ditetapkan, bayaran ansuran bulanan yang tidak dijelaskan akan dinaikkan sebanyak 10% tanpa sebarang notis diperlukan dari HASiL.
  2. Jika perbezaan di antara cukai sebenar dan anggaran cukai dipinda anggaran asal cukai (jika tiada anggaran cukai dipinda dikemukakan) melebihi 30% dari cukai kena dibayar, cukai akan dinaikkan sebanyak 10% ke atas perbezaan melebihi 30% tanpa sebarang notis tambahan. Formula pengenaan denda ialah:

    Formula pengiraan amaun cukai yang dinaikkan seperti berikut;

    KENAIKAN CUKAI = [ ( AT - ET ) - ( 30% x AT ) ] x 10%
    Di mana: AT: Cukai sebenar yang kena dibayar
    ET: Anggaran cukai dipinda atau anggaran cukai asal (jika tiada anggaran cukai dipinda dikemukakan).

Penalti Lewat Bayaran Baki Cukai

Jika baki cukai tidak dibayar pada tarikh ditetapkan, penalti sebanyak 10% akan dikenakan ke atas baki cukai.

Rayuan Ke Atas Penalti

Rayuan secara bertulis dalam tempoh 30 hari dari tarikh Notis Taksiran dikeluarkan perlu dikemukakan kepada Pejabat HASiL berkenaan (Unit Pungutan), jika syarikat tidak bersetuju terhadap penalti lewat bayar yang dikenakan.

Syarikat perlu menjelaskan tanggungan cukai walaupun rayuan dibuat.