🌐 BM | ENG

Pengurusan Risiko Pematuhan Cukai (TCRM)

Amalan tadbir urus LHDNM turut diperluaskan kepada pihak berkepentingan luaran, termasuk komuniti pembayar cukai. Salah satu elemen penting dalam pemantapan tadbir urus korporat adalah melalui pelaksanaan Pengurusan Risiko Pematuhan Cukai. Inisiatif ini berperanan sebagai kerangka kawalan strategik yang memandu proses mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko yang berpotensi menjejaskan pematuhan oleh pembayar cukai terhadap perundangan serta peraturan percukaian negara.

Melalui Pelan Pengurusan Risiko Pematuhan Cukai, LHDNM menyelaras pengendalian risiko-risiko pematuhan cukai secara seragam dan sistematik, memastikan setiap risiko diurus secara proaktif dan bersepadu bagi meminimumkan kesan negatif terhadap organisasi.

Aktiviti utama di bawah Pengurusan Risiko Pematuhan Cukai LHDNM adalah:

  1. Pengelasan Risiko Utama
    Mengurus risiko pematuhan cukai berdasarkan empat kategori utama: Pendaftaran Fail Cukai, Pengemukaan Borang Nyata, Pelaporan Cukai dan Pembayaran Cukai.
  1. Panduan dan Peningkatan Keupayaan
    Memberikan panduan kepada Sektor, Jabatan dan Negeri dalam melaksanakan serta memperkukuh keupayaan pengurusan risiko pematuhan cukai.
  1. Penyelarasan Pelaksanaan
    Menyelaras pengendalian risiko secara seragam dan sistematik melalui Pelan Pengurusan Risiko Pematuhan Cukai.
  1. Pemantauan Kepatuhan
    Memantau tahap pematuhan pelaksanaan aktiviti pengurusan risiko oleh pemilik proses dan pemilik risiko.
  1. Pelaporan Berpiawai
    Memastikan laporan profil risiko disediakan mengikut piawaian dan kriteria yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan Pengurusan Risiko Pematuhan Cukai LHDNM dijangka memberikan impak kepada keberkesanan tadbir urus dan kecekapan operasi organisasi seperti berikut:

  1. Menyokong Keputusan Strategik Pengurusan Atasan
    Membantu pihak pengurusan mengenal pasti risiko pematuhan cukai yang memerlukan tindakan segera, sekali gus menjadi asas dalam pengagihan sumber secara optimum dan berkesan.
  1. Pendekatan Sistematik Dalam Pengurusan Risiko
    Membolehkan proses pengenalpastian, penilaian dan keutamaan risiko dilakukan secara tersusun, telus dan menyeluruh ke arah meningkatkan kecekapan kawalan dalaman.
  1. Pemantauan Risiko Secara Dinamik Dan Terkini
    Meningkatkan keupayaan LHDNM untuk memantau dan menilai risiko secara sistemik dan masa nyata menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan Maklumat Risiko (i-RIS) 2.0.
  1. Pematuhan kepada Amalan Piawaian Antarabangsa
    Menzahirkan komitmen berterusan LHDNM terhadap prinsip tatakelola percukaian yang baik, sejajar dengan saranan yang digariskan oleh badan antarabangsa seperti Organization for Economic Co-operation and Development (OECD) dan International Monetary Fund (IMF).
  1. Peningkatan Kepercayaan Dan Keyakinan Masyarakat
    Pendekatan sistematik dalam pengurusan risiko pematuhan cukai mengukuhkan kepercayaan orang awam terhadap ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti LHDNM.