Pengurusan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (KKP) merupakan elemen penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif kepada warga LHDNM, kontraktor, pelanggan serta orang awam di premis LHDNM. Pelaksanaan KKP yang sistematik, menyeluruh dan berkesan dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan, kecederaan serta penyakit pekerjaan selaras dengan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Dasar KKP Negara dan Dasar KKP LHDNM.
Pengurusan Atasan LHDNM sentiasa komited dalam memperkukuh budaya kerja selamat dan sihat melalui pembudayaan amalan kerja yang berkualiti, selamat dan kondusif bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan serta produktiviti warga HASiL sentiasa terpelihara dan dipertingkatkan.
Objektif KKP Di LHDNM
- Melindungi pekerja, pelanggan, kontraktor/vendor serta orang awam daripada risiko keselamatan, kesihatan dan persekitaran pekerjaan di premis LHDNM.
- Memastikan pematuhan terhadap keperluan perundangan, peraturan serta garis panduan berkaitan KKP bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
- Menyediakan persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan sejahtera kepada seluruh warga LHDNM.
Skop Tugas KKP
Skop KKP di LHDNM merangkumi pengurusan yang komprehensif, sistematik dan berterusan bagi memastikan aspek keselamatan, kesihatan, kebajikan serta kesejahteraan pekerja dan pihak berkepentingan sentiasa terpelihara di semua premis organisasi.
- Pengurusan Keselamatan Tempat Kerja
Memastikan persekitaran kerja sentiasa selamat, teratur, kondusif dan bebas daripada hazard yang boleh menyebabkan kemalangan, kecederaan atau kerosakan harta benda. - Pengurusan Kesihatan Pekerjaan
Melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan yang berkesan bagi melindungi kesihatan fizikal, mental serta kesejahteraan warga HASiL daripada risiko berkaitan pekerjaan. - Pengurusan Hazard dan Risiko
Mengenal pasti hazard, menilai tahap risiko serta melaksanakan langkah kawalan yang bersesuaian melalui penaksiran seperti HIRARC, CHRA, NRA, IAQ, ERA dan kaedah berkaitan yang lain. - Pematuhan Perundangan
Memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, peraturan, kod amalan serta garis panduan berkaitan KKP sentiasa dipatuhi. - Pengurusan Latihan dan Kompetensi
Memperkasa pengetahuan, kesedaran dan kompetensi pekerja melalui pelaksanaan latihan, kursus, taklimat serta program pembudayaan kerja selamat dan sihat. - Pengurusan Insiden dan Pelaporan
Menyelaras penyiasatan, perekodan dan pelaporan kemalangan, penyakit pekerjaan, near miss serta kemalangan perjalanan bagi tujuan analisis dan penambahbaikan berterusan. - Penglibatan dan Perundingan Pekerja
Menggalakkan penglibatan aktif pekerja dalam pelaksanaan KKP melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan serta sesi perundingan bersama pekerja. - Pengurusan Mesyuarat JKKL dan JKOSHE
Mengurus dan menyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan LHDNM (JKKL) serta Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (JKOSHE) secara terancang, sistematik dan berkesan. - Pengurusan Persekitaran Kerja
Memastikan persekitaran kerja yang bersih, selesa, ergonomik dan kondusif bagi menyokong kesejahteraan serta meningkatkan produktiviti pekerja. - Pengurusan Kontraktor dan Pelawat
Memastikan kontraktor, vendor dan pelawat mematuhi keperluan keselamatan dan kesihatan semasa berada di premis LHDNM.
Fungsi Seksyen Keselamatan, Kesihatan Dan Persekitaran Pekerjaan (OSHE)
- Menasihati majikan dan mana-mana individu yang bertanggungjawab berkaitan langkah-langkah KKP bagi memastikan tempat kerja yang selamat, sihat dan kondusif.
- Menyelaras penyediaan dasar, prosedur, garis panduan serta arahan berkaitan KKP secara menyeluruh dan berkesan.
- Melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan KKP secara menyeluruh, sistematik dan berterusan di semua premis LHDNM.
- Melaksanakan penaksiran risiko KKP seperti HIRARC, CHRA, NRA, OSHWA, IAQ dan ERA serta kaedah lain yang bersesuaian bagi mengenal pasti hazard, menilai tahap risiko dan menentukan langkah kawalan yang efektif.
- Memperkasa penyampaian hebahan, latihan serta peningkatan kompetensi KKP dalam kalangan pekerja.
- Menyemak, menyiasat dan merekod kes kemalangan, penyakit pekerjaan serta kemalangan perjalanan termasuk melaksanakan analisis dan tindakan penambahbaikan secara berterusan.
- Melaksanakan kerjasama strategik bersama agensi luar bagi memperkukuh kecemerlangan pengurusan KKP di LHDNM.
- Mengurus dan menyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan LHDNM (JKKL) serta Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (JKOSHE) secara teratur dan berkesan.
Pegawai Rujukan KKP LHDNM
- Orang Yang Kompeten (OYK) Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SHO).
- Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Terlatih (OSH-C) di semua lokaliti yang mempunyai lebih daripada lima (5) pegawai.
- Orang Yang Terlatih Ergonomik (Ergonomic Trained Person).
- Wakil Majikan dan Wakil Pekerja yang dilantik di bawah Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan di peringkat Ibu Pejabat, Negeri dan Cawangan Khas.
- Sebarang pertanyaan atau maklum balas berkaitan KKP LHDNM, sila e-mel kepada: