🌐 BM | ENG

Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan (BCM)

Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan (BCM) memastikan kelangsungan sistem penyampaian perkhidmatan LHDNM sebagai barisan hadapan kerajaan kepada pelanggan agar operasi dapat diteruskan walaupun berlaku gangguan, bencana atau pandemik.

BCM juga membantu menguruskan kesinambungan perkhidmatan secara holistik berkaitan risiko dalam fungsi kritikal organisasi berdasarkan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 Garis Panduan Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan Dalam Perkhidmatan Awam [Business Continuity Management (BCM)] dan ISO 22301:2019 BCMS.

  1. Pengurusan Projek Bagi Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan
    Kajian dan semakan semula dijalankan ke atas polisi BCM, manual BCM, pelan tindakan kecemasan, pelan komunikasi krisis, pelan pemulihan bencana teknologi maklumat dan lain-lain adalah dikemaskini selaras dengan keperluan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 Garis Panduan Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan Dalam Perkhidmatan Awam [Business Continuity Management (BCM)] dan ISO 22301:2019 BCMS dan amalan terbaik antarabangsa.

  2. Analisis Impak Perkhidmatan (BIA) Dan Penilaian Risiko (RA)
    BIA adalah proses kritikal untuk mengenal pasti, menilai, dan mengukur kesan gangguan terhadap operasi organisasi. Proses ini memisahkan perkhidmatan yang kritikal daripada yang boleh ditangguhkan semasa krisis. Manakala RA adalah proses mengenal pasti, menganalisis, dan menilai ancaman yang boleh mencetuskan gangguan atau bencana terhadap operasi sesebuah organisasi.
    • Kajian BIA ke atas Sektor, Jabatan, Negeri, Cawangan Khas bagi fungsi kritikal perkhidmatan;
    • Kenal pasti impak ancaman ke atas perkhidmatan, premis, kakitangan dan sistem; dan
    • Membuat penganalisaan dan pengelasan risiko utama dan kenal pasti kawalan risiko.

  3. Strategi Dan Pelan Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan (BCM)
    Strategi kesinambungan perkhidmatan ialah pendekatan taktikal yang diguna pakai oleh sesebuah organisasi bagi memastikan fungsi paling kritikal dapat bertahan dan pulih daripada gangguan besar.

    Pelan kesinambungan perkhidmatan adalah dokumen rujukan komprehensif yang mengandungi prosedur langkah-demi-langkah untuk memandu organisasi bertindak balas, memulihkan, dan menyambung semula operasi kritikal dengan segera selepas berlakunya gangguan atau bencana. Pelan kesinambungan perkhidmatan ini dibina berasaskan input daripada Analisis Impak Perkhidmatan (BIA), Penilaian Risiko (RA), dan Strategi Pemulihan yang telah diluluskan oleh pihak pengurusan.

  4. Program Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan (BCM)
    Ia merupakan satu inisiatif yang perlu dijalankan bagi membina budaya responsif dan menguji keberkesanan pelan yang telah dirangka.
    • Pemerkasaan Kompetensi Business Continuity Coordinator (BCC) tentang pelaksanaan BCM di setiap Sektor, Jabatan, Negeri dan Cawangan Khas.
    • Kesedaran BCM melalui poster/artikel infografik.
    • Latihan dan bengkel BCM kepada Sektor, Jabatan, Negeri dan Cawangan Khas
    • Kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), CyberSecurity Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain.

  5. Simulasi Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan (BCM)
    Simulasi adalah satu latihan praktikal untuk menguji kesediaan sesebuah organisasi dalam menghadapi gangguan, krisis, atau bencana. Latihan ini memastikan fungsi teras organisasi boleh dipulihkan dengan cepat mengikut standard antarabangsa iaitu ISO22301:2019. Latihan yang dijalankan adalah seperti berikut;
    • Pengujian pelan kesinambungan perkhidmatan untuk kenalpasti kekurangan bagi tujuan penambahbaikan dan mengukur keupayaan untuk mencapai Recovery Time Objective (RTO) yang ditetapkan;
    • Simulasi tindakan kecemasan dan simulasi pemulihan bencana IT.

  6. Laporan Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan (BCM)
    Laporan Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan ialah dokumen rasmi yang membuktikan keberkesanan sistem pengurusan kesinambungan perkhidmatan kepada pihak pengurusan tertinggi, juruaudit, dan badan kawal selia.
    • Pelaporan dan pemakluman BCM kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Risiko (MJKPR);
    • Pelaporan insiden di seluruh LHDNM;
    • Kajian BCM seperti yang diarahkan oleh pihak pengurusan LHDNM.