🌐 BM | ENG

Pelantikan Ejen Cukai Secara Dalam Talian

Pembayar cukai boleh melantik ejen cukai bagi menguruskan hal ehwal percukaian bagi pihak pembayar cukai. Pembayar cukai bertanggungjawab memastikan ejen cukai yang dilantik adalah ejen cukai yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan masih di dalam tempoh kelulusan. Semakan nama ejen cukai yang mendapat kelulusan boleh disemak melalui pautan berikut:

Semak Senarai Ejen Cukai Yang Diluluskan

Kemudahan pelantikan ejen cukai melalui MyTax mengikut terma baharu tersedia mulai 2 November 2026. Pembayar cukai boleh melantik sehingga dua orang ejen cukai pada satu-satu masa, sama ada daripada firma yang sama atau firma yang berbeza.

Bagi pemberian kuasa secara manual sebelum 1 Januari 2027, pembayar cukai hendaklah menandatangani Borang CP55 untuk memberi kuasa kepada ejen cukai mengemukakan borang nyata secara elektronik. Ejen cukai hendaklah menyimpan borang yang ditandatangani untuk semakan dan rujukan pegawai HASiL apabila diperlukan.

Mulai 1 Januari 2027, selaras dengan pindaan subseksyen 152A(3) Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai hendaklah melantik ejen cukai dan memberikan kuasa melalui MyTax. Kuasa ini membolehkan ejen cukai mengemukakan borang nyata dan melaksanakan transaksi percukaian secara elektronik bagi pihak pembayar cukai.

Kaedah pemberian kuasa pemfailan elektronik melalui Borang CP55 secara manual dihentikan mulai tarikh tersebut. Pelantikan ejen cukai, pengemaskinian kuasa dan pembatalan pelantikan hendaklah dibuat melalui MyTax.