🌐 BM | ENG

Panduan Pelantikan Ejen Cukai Melalui MyTax

Berkuatkuasa 1 Januari 2027, selaras dengan pindaan Seksyen 152A(3) ACP 1967, pembayar cukai yang ingin melantik ejen cukai dikehendaki untuk membuat pelantikan dan pemberian kuasa kepada ejen cukai secara dalam talian melalui MyTax bagi membolehkan ejen cukai menfailkan atau melaksanakan transaksi percukaian secara elektronik bagi pihak pembayar cukai.

Terma Pelantikan dan Pemberian Kuasa

Terma pelantikan dan pemberian kuasa pemfailan elektronik dinyatakan dalam Borang CP55 (226.80 KB) yang baharu. Terma tersebut merangkumi perkara berikut:

  1. Pembayar cukai boleh memilih untuk menggunakan alamat surat-menyurat firma ejen cukai sebagai alamat surat-menyurat mereka. Hanya satu alamat firma boleh dipilih pada satu-satu masa. Semua surat, notis dan penyata janaan automatik HASiL akan dihantar ke alamat yang dipilih.
  2. Pembayar cukai boleh membenarkan ejen cukai mengakses maklumat profil dan status dalam MyTax, termasuk e-Lejar, Potongan Cukai Bulanan (PCB), status bayaran balik, ansuran cukai dan peti mel.
  3. Kebenaran untuk mengendalikan urusan percukaian fail Majikan yang berdaftar di bawah Nombor pengenalan Cukai (TIN) cukai pendapatan pembayar cukai. Fail pembayar cukai yang boleh dikendalikan oleh ejen cukai adalah berdasarkan peranan MyTax yang digunakan sewaktu membuat lantikan ejen cukai seperti panduan di bawah:

    Peranan MyTax Yang DigunakanKategori Pembayar CukaiJenis Fail Yang Boleh Dikendalikan Oleh Ejen Cukai
    IndividuIndividu BiasaIG dan E (Jika ada)
    Pengarah Syarikat / Pentadbir OrganisasiSyarikat / Koperasi /  Perkongsian Liabiliti Terhad / Amanah / Pertubuhan / Perkongsian / Keluarga Sekutu Hindu / Petroleum / Entiti Labuan.C / CS / PT / TA / TC / TR / F / P / TJ / PP / LE dan E (Jika ada)
    Pentadbir Harta PusakaHarta PusakaTP dan E (Jika ada)
    Wakil Orang Tidak Berupaya (OTB)Individu Kategori OTBIG dan E (Jika ada)
    Majikan (Kerajaan / khas)Majikan Kategori Kerajaan atau KhasE
  4. Kebenaran yang diberikan adalah dipanjangkan kepada pekerja firma yang ditetapkan oleh ejen cukai bagi melaksanakan fungsi percukaian yang dibenarkan.
  5. Kebenaran kepada ejen cukai untuk berunding atau mengendalikan kes audit / siasatan / rayuan atau lain-lain urusan percukaian dengan pihak LHDNM.
  6. Kebenaran kepada firma yang dilantik untuk menetapkan semula ejen cukai yang akan mengendalikan urusan percukaian di bawah firma yang sama serta bersetuju untuk memanjangkan lantikan dan pemberian kuasa yang yang telah diberikan kepada ejen cukai baharu yang ditetapkan oleh firma.

Cara Melantik Ejen Cukai

  1. Mulai 2 November 2026, pembayar cukai dibenarkan melantik maksimum dua (2) orang ejen cukai sahaja dalam satu-satu masa sama ada dari firma yang sama atau firma yang berbeza.
  2. Hubungi firma untuk mendapatkan maklumat nama, TIN firma dan nama ejen cukai yang ingin dilantik. Pastikan ejen cukai yang hendak dilantik adalah ejen cukai yang berlesen dengan MOF dan telah mengaktifkan peranan sebagai ejen cukai dalam Sistem e-Filing Ejen Cukai (TAeF) di Portal MyTax.
  3. Surat lantikan dan persetujuan skop tugasan ejen cukai hendaklah dipersetujui bersama-sama terlebih dahulu sebelum meneruskan lantikan secara dalam talian.
  4. Aktifkan ID pengguna MyTax dan mohon peranan MyTax yang berkenaan terlebih dahulu sekiranya belum. Log masuk ke MyTax , Klik Profil dan buka Tab Lantikan Ejen Cukai untuk melantik ejen cukai.
  5. Gunakan maklumat firma dan ejen cukai yang telah diperolehi untuk mengisi butiran lantikan. Semak terma lantikan dan pemberikan kuasa yang dipaparkan sebelum menghantar lantikan melalui MyTax.
  6. Lantikan ejen cukai yang dilakukan tertakluk kepada penerimaan lantikan oleh ejen cukai yang dipilih.

Semakan dan Pembatalan Pelantikan

Pembayar cukai boleh menyemak pelantikan dari semasa ke semasa. Jika perkhidmatan ejen cukai ditamatkan, batalkan pelantikan dengan segera melalui MyTax. HASiL tidak bertanggungjawab atas risiko atau kerugian yang timbul akibat kegagalan pembayar cukai atau orang yang diberi kuasa untuk berbuat demikan.