🌐 BM | ENG

Pengenalan Cukai Pendapatan Individu

Apa Itu Cukai Pendapatan?

Cukai pendapatan ialah cukai yang dikenakan pada setiap tahun terhadap seseorang yang menerima pendapatan bersifat hasil seperti:

  • Laba / keuntungan daripada sesuatu perniagaan;
  • Laba / keuntungan daripada penggajian;
  • Dividen, faedah atau diskaun;
  • Sewa, royalti atau premium;
  • Pencen, anuiti atau bayaran berkala lain; dan
  • Laba / keuntungan yang tidak termasuk dalam mana-mana butiran di atas.

Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) menguatkuasakan hal-ehwal pentadbiran dan kutipan cukai pendapatan ke atas orang dan pendapatan yang layak dikenakan cukai.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) pula merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab memungut dan mentadbir cukai langsung negara.

Siapa Kena Cukai?

Cukai pendapatan dikenakan terhadap setiap individu bagi pendapatan yang terakru atau terbit di Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar Malaysia bagi setiap tahun taksiran.

Seseorang individu yang mempunyai jumlah pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan, yang boleh dikenakan cukai perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

Skop pengenaan cukai seseorang individu adalah bergantung kepada taraf mastautinnya.

Individu bermastautin dikenakan cukai mengikut kadar cukai berskala serta layak menuntut potongan menurut seksyen 45A ACP hingga seksyen 49 ACP. Manakala individu bukan pemastautin dikenakan cukai pada kadar tetap 30% dan tidak layak menikmati sebarang potongan.

Sebarang punca pendapatan daripada luar Malaysia yang dibawa masuk ke Malaysia adalah dikecualikan cukai.

Bila Dikenakan Cukai?
Individu: Pendapatan Penggajian

Individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM 37,333 dan mereka yang mempunyai Potongan Cukai Bulanan layak dikenakan cukai.

Pengiraan ambang jumlah pendapatan individu yang tidak dikenakan cukai adalah mengambil kira pendapatan kasar tahunan ditolak dengan pelepasan asas individu dan rebat cukai yang layak. Pelepasan asas yang diambil kira adalah pelepasan individu dan saudara tanggungan serta pelepasan suami / isteri dan anak (di bawah umur 18 tahun) bagi individu yang telah berkahwin. Manakala tolakan rebat individu (RM400) serta pasangan (RM400 jika berkenaan) dibenarkan sekiranya pendapatan bercukai individu tersebut tidak melebihi RM35,000.

Berikut merupakan ambang jumlah pendapatan individu tidak dikenakan cukai mengikut jenis taksiran :

Jenis TaksiranPendapatan Tahunan
(RM)
Pendapatan Bulanan
(RM)
Diri Sendiri
(Bujang / janda / balu / duda / pasangan tiada punca pendapatan)
37,3333,111
Berasingan
1. Berkahwin + 0 Anak37,3333,111
2. Berkahwin + 1 Anak  
3. Berkahwin + 2 Anak41,3333,444
Bersama
1. Berkahwin + 0 Anak48,0004,000
2. Berkahwin + 1 Anak50,0004,167
3. Berkahwin + 2 Anak52,0004,333

Nota:

  • Jumlah pelepasan individu dan saudara tanggungan adalah RM9,000
  • Jumlah pelepasan anak di bawah umur 18 tahun adalah RM2,000 bagi seorang anak
  • Jumlah kelayakan rebat (diri sendiri dan suami / isteri) terhad kepada pendapatan bercukai individu sehingga RM35,000

Keuntungan yang diperolehi daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion adalah merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai (termasuk sebarang bentuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa (Ekonomi Bayangan).

Perniagaan terdiri daripada:

  • Milikan Tunggal / Bekerja Sendiri
    • Individu yang menjalankan perniagaan secara perseorangan
  • Perkongsian
    • Meliputi sebarang bentuk kerjasama antara dua atau lebih pihak bagi menyatukan hak, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan dan mewujudkan perkongsian keuntungan. Perkongsian mungkin wujud di antara :
      • Individu-individu
      • Dua syarikat
      • Individu dan syarikat
      • Individu dan pemegang amanah bagi sesuatu penyelesaian

Contoh Perniagaan: 

  • Perniagaan Runcit
  • Perniagaan Pasar Malam / Gerai
  • Perniagaan Melalui Internet (Ekonomi Digital)
  • Bidang Lakonan / Nyanyian / Duta Produk / Ulasan Produk
  • Komisen / Kelas Tuisyen / Penceramah
  • Perniagaan Jualan Langsung / Stokis
  • Bidang Penulisan / Youtuber / Blogger
  • Pertanian dan Penternakan
  • Klinik, Firma Guaman atau Lain-Lain Pengamal Profesional
  • Pemandu Teksi / e-hailing

 

Bagaimana Nak Lapor?
1. Sistem Taksir Sendiri

Sistem Taksir Sendiri adalah satu konsep Bayar, Taksir Sendiri dan Fail.

Taksiran sendiri bermaksud pembayar cukai dikehendaki oleh undang-undang untuk menentukan pendapatan yang dikenakan cukai, mengira cukai pendapatan yang dikenakan dan menghantar borang cukai pendapatan serta membuat bayaran cukai bagi tahun taksiran yang berkenaan.
Tiada notis taksiran akan dikeluarkan di bawah sistem ini. Borang cukai pendapatan yang dihantar oleh pembayar cukai merupakan notis taksiran

Borang berikut digunakan bagi melaporkan pendapatan:

  1. Borang BE : borang pelaporan cukai bagi individu pemastautin dengan punca pendapatan penggajian dan pendapatan lain (tidak termasuk perniagaan)
  2. Borang B : borang pelaporan cukai bagi individu pemastautin dengan punca pendapatan perniagaan, penggajian dan pendapatan lain
  3. Borang M : borang pelaporan cukai bagi individu bukan pemastautin dengan punca pendapatan perniagaan, penggajian dan pendapatan lain

Taraf mastautin merujuk kepada status individu seperti tertakluk kepada Seksyen 7, ACP 1967

Pembayar cukai yang mempunyai pendapatan penggajian dan Potongan Cukai Bulanan (PCB) boleh memilih untuk tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada LHDNM. Jika pilihan telah dibuat, iaitu tidak mengemukakan BNCP, maka PCB yang telah dipotong oleh majikan adalah dianggap sebagai Cukai Muktamad. Layanan Cukai Muktamad ini berkuatkuasa mulai Tahun Taksiran 2014.

Kelayakan Pembayar Cukai:

  • Bekerja hanya dengan satu majikan.
  • Suami atau isteri tidak membuat pilihan untuk ditaksir bersama di bawah seksyen 45 ACP.
  • PCB dipotong mengikut Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994 (KKCP) atau tiada PCB dipotong kerana pendapatan di bawah tahap dikenakan potongan (PCB kosong). Majikan diwajibkan membuat PCB atas MBB dan NTK.
  • Berkhidmat dengan majikan yang sama untuk tempoh kurang daripada 12 bulan.
  • Pekerja yang baru memulakan penggajian dan kurang 12 bulan dalam tahun taksiran berkenaan
  • Semua pendapatan penggajian yang diterima bagi tempoh tertentu dalam tahun semasa termasuk apa-apa pendapatan penggajian tahun kebelakangan yang dikenakan cukai dalam tahun ianya diterima sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 25(1) ACP. seperti :
    • gaji,
    • upah,
    • tip,
    • elaun,
    • komisen,
    • kerja lebih masa,
    • bonus/insentif,
    • perkuisit,
    • skim opsyen saham pekerja,
    • cukai yang ditanggung oleh majikan,
    • yuran pengarah,
    • ganjaran termasuk bayaran tertunda di atas pemberhentian penggajian (tidak mendapat pengecualian di bawah mana-mana peruntukan akta),
    • gaji cuti yang diterima sebagai pendahuluan dalam kes pemberhentian,
    • saraan lain berkaitan penggajian.
  • Seseorang individu berhenti kerja dan meninggalkan Malaysia yang mana beliau bukan pemastautin pada tahun berikutnya, pendapatan penggajian yang boleh diterima dalam tahun berikutnya sama ada telah diterima atau tidak, akan dicukai dalam tahun di mana individu tersebut meninggalkan Malaysia selama-lamanya sebagaimana yang diperuntukan di bawah subseksyen 25(6) ACP.
  • Kriteria Individu:
    • Berhenti kerja
    • Meninggalkan Malaysia
    • Bukan pemastautin pada tahun yang berikutnya, boleh membuat pilihan:
      • Peruntukan di bawah subseksyen 25(6) ACP pendapatan penggajian yang boleh diterima dalam tahun berikutnya sama ada telah diterima atau tidak, akan dicukai dalam tahun di mana individu meninggalkan Malaysia
      • Peruntukan di bawah subseksyen 25(1) ACP
      • pendapatan penggajian akan dikenakan cukai dalam tahun ianya diterima.
Kenapa Kena Bayar Cukai?
  1. Hasil daripada cukai ini digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara dan juga bagi digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.
  2. Kerajaan memperuntukkan cukai yang dikutip dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Di Mana Nak Lapor?
Borang Nyata boleh dikemukakan melalui dua (2) kaedah:
  1. Melalui penghantaran Borang Nyata secara manual ke Seksyen Pengurusan Rekod & Maklumat Percukaian, HASiL
    • Anda disarankan untuk merujuk kepada buku panduan / nota penerangan sebelum mengisi Borang Nyata.
    • Borang Nyata dan buku panduan / nota penerangan boleh diakses di portal rasmi HASiL, www.hasil.gov.my > Borang > Muat Turun > Individu > pilih Tahun Taksiran. Seterusnya, rujuk Buku Panduan / Nota Penerangan mengikut jenis borang yang berkaitan.
  2. Melalui penghantaran Borang Nyata secara dalam talian melalui platform e-Filing dalam sistem MyTax, https://mytax.hasil.gov.my.