- Mangsa menerima mesej, panggilan telefon, surat atau e-mel daripada sindiket yang memaklumkan bahawa terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan. Mangsa dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDNM;
- Mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai LHDNM atau pegawai polis memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan siasatan;
SCAM ALERT!
WASPADA TERHADAP SINDIKET PENIPUAN PERCUKAIAN
Berdasarkan maklumat yang diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), LHDNM ingin menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan modus operandi sindiket scam seperti berikut:
Modus Operandi Penipuan Mengaitkan Nama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)
Kes Tunggakan Cukai / Pelarian Cukai
Pelarian Cukai, Kegiatan Jenayah dan Pengubahan Wang Haram
- Mangsa dihubungi kononnya mangsa terlibat dengan pelarian cukai, jenayah dan pengubahan wang haram. Sehubungan itu akaun bank milik mangsa akan disekat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan 'pegawai polis' atau 'pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)' atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa bertujuan untuk menimbulkan perasaan panik dalam kalangan mangsa. Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun milik mangsa dibekukan, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang tersebut ke akaun bank pihak ketiga yang kononnya akan dipindahkan semula ke akaun milik mangsa apabila 'kes jenayah' mangsa telah selesai.
Lawatan Pungutan / Audit / Siasatan Cukai
- Mangsa menerima kunjungan 'pegawai LHDNM' kononnya untuk memungut cukai atau melakukan audit dan siasatan cukai. Sindiket akan meminta dokumen pendapatan atau perniagaan mangsa dan memaklumkan kononnya mangsa telah salah lapor cukai pendapatan. Mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran 'baki cukai tambahan' yang ditaksirkan ke dalam akaun bukan milik LHDNM.
Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar
Mangsa menerima e-mel memaklumkan bahawa mangsa mempunyai cukai terlebih bayar yang akan dipulangkan semula oleh LHDNM. Mangsa diminta untuk klik pada pautan yang disediakan di dalam e-mel palsu tersebut dan arahan akan diberikan agar mangsa mendedahkan butiran akaun bank termasuklah kata laluan perbankan internet mangsa kononnya bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dapat dibuat oleh LHDNM.