Persediaan Untuk Memohon Kelulusan KPHDN

Persediaan Permohonan

Institusi/Organisasi/Tabung Yang Tidak Bertujuan Untuk Keuntungan Dan Ingin Memohon Kelulusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN). Apa Yang Anda Perlu Tahu?

  1. Nota ini bertujuan memberikan penjelasan berkenaan dengan persoalan apakah yang perlu diketahui oleh pemohon daripada institusi/organisasi/tabung tahu sebelum membuat permohonan kelulusan KPHDN . Semoga nota ini dapat membantu memberikan kefahaman dan penjelasan kepada pembayar cukai, ejen cukai, pegawai LHDNM dan rakyat berkaitan dengan persoalan ini.
  2. Tujuan dan objektif penubuhan adalah apa yang institusi/organisasi/tabung hendak capai dan menentukan jenis aktiviti yang hendak dilaksanakan. Untuk memenuhi syarat kelulusan, institusi/organisasi/tabung mestilah mempunyai tujuan dan objektif yang merangkumi aktiviti membasmi kemiskinan, kesihatan, pendidikan atau kebajikan atau pun lain-lain yang sampingan seperti yang dinyatakan di dalam subseksyen 44(7) ACP 1967.
  3. Di dalam mendrafkan tujuan dan objektif , institusi/organisasi/tabung perlu pertimbangkan persoalan-persoalan berikut:
    • Apakah katagori institusi/organisasi/tabung dan adakah ianya entiti yang sah di bawah mana-mana undang-undang bertulis?
    • Apakah hasrat utama penubuhan institusi/organisasi/tabung?
    • Apakah aktiviti utama institusi/organisasi/tabung anda? o Apakah program atau perkhidmatan yang akan disediakan?
    • Siapakah kumpulan sasaran?
    • Siapa yang akan dapat manfaat daripada aktiviti dan program institusi/organisasi/tabung
    • Mengapa institusi/organisasi/tabung penting kepada umum?
    • Berapa lamakah jangkaan tempoh institusi/organisasi/tabung akan beroperasi?
    • Bagaimanakah dana untuk melaksanakan aktiviti dapat dijana?
    • Bagaimana struktur institusi/organisasi/tabung akan dibentuk ?
  4. Daripada persoalan-persoalan ini, institusi/organisasi/tabung dapat menilai kedudukan masing-masing dan menentukan samada mereka layak untuk memohon kelulusan KPHDN di bawah peruntukan subseksyen 44(6).