logolhdn
Portal Rasmi
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Utama / Anggaran Cukai

Pengemukaan Borang CP204

Menurut subseksyen 107C(7A) ACP:

  • Syarikat diwajibkan untuk mengemukakan Borang CP204 secara e-Filing mulai Tahun Taksiran 2018.
  • Badan amanah, koperasi dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) diwajibkan untuk mengemukakan Borang CP204 secara e-Filing mulai Tahun Taksiran 2019.


Tempoh pengemukaan e-CP204

Syarikat sedang beroperasi:
Di bawah subseksyen 107C(2) ACP 1967, syarikat, koperasi, badan amanah dan PLT yang sedang beroperasi hendaklah mengemukakan e-CP204 tidak lewat daripada 30 hari sebelum bermulanya tempoh asas bagi suatu tahun taksiran.

Syarikat baharu beroperasi:
Di bawah perenggan 107C(4)(a) ACP 1967, bagi syarikat, koperasi, badan amanah dan PLT yang baru memulakan operasi dan mempunyai tempoh asas pertama untuk suatu tahun taksiran tidak kurang daripada enam (6) bulan, e-CP204 hendaklah dikemukakan dalam tempoh tiga (3) bulan daripada tarikh permulaan operasi syarikat, koperasi, badan amanah dan PLT.

Contoh:
Tempoh asas bagi perniagaan baru beroperasi tidak kurang daripada enam (6) bulan

  1. Syarikat ABC Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 25.2.2019 dan memulakan operasi perniagaan pada 1.4.2019. Tempoh perakaunan pertama berakhir pada 31.12.2019 (9 bulan). Syarikat perlu mengemukakan e-CP204 untuk Tahun Taksiran 2019 tidak lewat daripada 30.6.2019, iaitu tiga (3) bulan daripada tarikh permulaan operasi perniagaannya.
    Bayaran ansuran bulanan akan bermula pada bulan ke-6 dalam tempoh asas bagi Tahun Taksiran 2019, iaitu mulai ansuran bulan September 2019 hingga Mei 2020.

  2. Syarikat DEF Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 25.2.2019 dan memulakan operasi perniagaan pada 1.4.2019. Tempoh perakaunan pertama berakhir pada 30.11.2019 (8 bulan). Syarikat perlu mengemukakan e-CP204 untuk Tahun Taksiran 2019 tidak lewat daripada 30.6.2019, iaitu tiga (3) bulan daripada tarikh permulaan operasi perniagaannya.
    Bayaran ansuran bulanan akan bermula pada bulan ke-6 dalam tempoh asas bagi Tahun Taksiran 2019, iaitu mulai ansuran bulan September 2019 hingga Mei 2020.

  3. Syarikat XYZ Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 30.1.2019 dan memulakan operasi perniagaan pada 1.2.2019. Tempoh perakaunan pertama berakhir pada 30.9.2019 (8 bulan). Syarikat perlu mengemukakan e-CP204 untuk Tahun Taksiran 2019 tidak lewat daripada 30.4.2019, iaitu tiga (3) bulan daripada tarikh permulaan operasi perniagaannya.
    Bayaran ansuran bulanan bermula pada bulan ke-6 dalam tempoh asas bagi Tahun Taksiran 2019, iaitu mulai ansuran bulan Julai 2019 hingga Februari 2020.


Amaun minimum anggaran Cukai

Subseksyen 107C(3) ACP memperuntukkan bahawa amaun minimum anggaran cukai bagi suatu tahun taksiran hendaklah tidak kurang daripada 85% amaun daripada pindaan anggaran cukai atau amaun anggaran cukai (jika tiada pindaan anggaran cukai dikemukakan) bagi tahun taksiran sebelumnya.

Syarikat, badan amanah, koperasi dan PLT yang baru memulakan operasi boleh menentukan anggaran cukai yang kena dibayar bagi tahun taksiran pertama mengikut anggaran keuntungan syarikat. Anggaran cukai yang kena dibayar bagi tahun taksiran pertama tersebut akan menjadi asas kepada penentuan anggaran cukai bagi tahun taksiran berikutnya.


Pindaan anggaran cukai yang kena dibayar (Borang CP204A)

Syarikat, koperasi, badan amanah dan PLT dibenarkan untuk membuat pindaan anggaran cukai yang kena dibayar dengan mengemukakan e-CP204A.

Borang CP204 bagi suatu tahun taksiran boleh dipinda dalam bulan ke-6 atau ke-9 atau kedua-duanya dalam tempoh asas untuk suatu tahun taksiran:

  1. Sekiranya pindaan dibuat dalam bulan ke-6, ansuran pindaan berkuat kuasa boleh dipilih bermula ansuran ke-5 atau ke-6.
  2. Sekiranya pindaan dibuat dalam bulan ke-9, ansuran pindaan berkuat kuasa boleh dipilih bermula ansuran ke-8 atau ke-9.


Penentuan amaun ansuran yang dipinda

Baki ansuran cukai yang kena dibayar selepas pindaan akan dilaraskan dengan menggunakan pendekatan berikut:

  1. Jika pindaan anggaran cukai melebihi amaun ansuran yang sepatutnya dibayar, baki anggaran cukai yang kena dibayar mestilah dibayar secara ansuran mengikut baki bilangan ansuran yang ada.
  2. Jika pindaan anggaran cukai kurang daripada amaun ansuran yang sepatutnya dibayar, pemberhentian bayaran ansuran bagi bulan seterusnya boleh dilakukan.


Pemberitahuan Pertukaran Tempoh Perakaunan (Borang CP204B)

Mulai Tahun Taksiran 2019, peruntukan subseksyen 21A(3A) ACP menghendaki supaya syarikat, koperasi, badan amanah dan PLT memaklumkan kepada KPHDN mengenai sebarang pertukaran tempoh perakaunan melalui borang yang ditetapkan iaitu Borang CP204B dalam tempoh berikut:

  1. Tempoh perakaunan dipendekkan

    30 hari sebelum berakhirnya tempoh perakaunan yang baharu jika akaun baharu disediakan untuk tempoh kurang daripada 12 bulan dan ditutup sebelum berakhirnya tempoh perakaunan asal.

    Contoh:
    Tempoh Perakaunan Tahun Taksiran Tempoh Asas Tarikh Pengemukaan CP204B
    Asal
    Akaun berakhir 31 Disember
    1.1.2019 – 31.12.2019 2019 1.1.2019 – 31.12.2019
    Baharu
    Akaun berakhir 30 September
    1.1.2019 – 30.9.2019
    (akaun baharu)
    2019 1.1.2019 – 30.9.2019 Selewat-lewatnya pada 30.8.2019

  2. Tempoh perakaunan dipanjangkan

    30 hari sebelum tarikh akhir tempoh perakaunan asal jika akaun baharu disediakan untuk tempoh melebihi 12 bulan dan ditutup selepas berakhirnya tempoh perakaunan asal.

    Contoh:
    Tempoh Perakaunan Tahun Taksiran Tempoh Asas Tarikh Pengemukaan CP204B
    Asal
    Akaun berakhir 31 Mac
    1.4.2018 – 31.3.2019 2019 1.4.2018 – 31.3.2019
    Baharu
    Akaun berakhir 31 Disember
    1.4.2018 – 31.12.2019
    (akaun baharu)
    2019 1.4.2018 – 31.12.2019 Selewat-lewatnya pada 28.2.2019


Pertanyaan Lanjut

Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan CP204/204A/204B, sila hubungi Bahagian Pengurusan Rekod Dan Maklumat Percukaian melalui emel anggarancukai@hasil.gov.my.


Di lawati : 298,171
Kemaskini : : 2021-10-22 17:10:37

.Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Menara Hasil, Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, 63000 Cyberjaya Selangor. .

150 jata mof msc anm kastam bnm lada spr
Tarikh Kemaskini : 2 Dis 2021
Pengunjung : MALAYSIA Flag 84 Online : 84
Paparan terbaik menggunakan pelayar Chrome,Internet Explorer(Versi Terkini) atau Mozilla Firefox dengan resolusi skrin 1280x800. Hak Cipta Terpelihara 2015 © LHDNM
PENAFIAN : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Pengguna Hari Ini: 17,964
Jumlah Pengguna Bulan : ( 12 / 2021 ) 351,440
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2021 ) 24,286,128
Jumlah Keseluruhan Pengguna : 273,500,289
Jumlah Pengguna Bulan :( 11 / 2021 ) 2,917,664
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2020 ) 24,046,897