printer

Taksiran Cukai

  1. S : Saya tidak menerima Borang Cukai Pendapatan. Bagaimana saya boleh mendapatkan salinan borang cukai berkenaan?

    J : Hubungi Cawangan Penaksiran di mana fail cukai pendapatan anda didaftarkan atau pejabat Hasil Dalam Negeri yang terdekat dan dapatkan borang yang berkenaan.

  2. S : Bagaimanakah cara untuk mendaftar nombor rujukan cukai individu?

    J : Terdapat 2 kaedah untuk mendaftar nombor rujukan cukai :
    i) Tuan boleh membuat pendaftaran secara manual di Cawangan LHDNM berhampiran.
    (sila bawa bersama salinan dokumen pengenalan, penyata pendapatan & pendaftaran perniagaan untuk kes perniagaan)
    ii) Tuan boleh mendaftar secara online melalui e-daftar. Sila layari http://ekl.hasil.gov.my/

  3. S : Saya telah berpindah kerja dari Kuantan dan pada masa ini saya bekerja di Shah Alam tetapi fail cukai pendapatan saya masih di Cawangan Hasil Dalam Negeri Kuantan. Bolehkah fail cukai pendapatan saya dipindahkan ke Shah Alam ?

    J : Anda boleh menghubungi Cawangan Hasil Dalam Negeri Kuantan melalui telefon atau surat untuk meminta fail cukai anda dipindahkan ke Cawangan Hasil Dalam Negeri Shah Alam. Anda mesti memberitahu Cawangan terbaru (dalam kes ini Cawangan Shah Alam) bagi pertukaran alamat anda di masa akan datang.

  4. S : Bolehkah saya menuntut perbelanjaan perubatan yang dibelanjakan atas diri saya sendiri ?

    J : Anda boleh menuntut perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius yang dibelanjakan atas diri anda, isteri/suami atau anak sehingga maksimum RM5,000.00 setahun dan perbelanjaan perubatan bagi ibubapa anda sehingga RM5,000.00 setahun.

    Tuntutan anda hendaklah disokong dengan resit asal yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan.

  5. S : Perlukah saya mendaftar fail cukai syarikat sekiranya syarikat masih belum memulakan operasi ?

    J : Pendaftaran fail cukai syarikat perlu dibuat hanya sekiranya syarikat telahmemulakan operasi/perniagaan.

  6. S : Apakah syarat kelayakan bagi menuntut potongan faedah pinjaman perumahan?

    J : Pelepasan cukai bagi faedah pinjaman perumahan terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar. Syarat kelayakan:
    (i) pemastautin warganegara Malaysia;
    (ii) pembelian rumah kediaman terhad kepada satu unit sahaja;
    (iii) perjanjian jual beli ditandatangani dalam tempoh 10 Mac 2009 sehingga 31 Disember 2010; dan
    (iv) rumah kediaman tersebut tidak disewakan.

  7. S : Majikan saya telah membuat potongan cukai berjadual (seperti yang lebih dikenali sebagai PCB) bermula daripada Januari hingga Disember 2011. Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Taksiran 2011 yang telah saya hantar menunjukkan cukai yang perlu dibayar ialah RM1,200.00. Perlukah saya membayar cukai yang telah dibangkitkan? Potongan PCB daripada Januari - Disember 2011 berjumlah RM1,000.00

    J : Jika anda di bawah Skim PCB, anda tidak perlu membayar cukai secara berasingan. Dalam kes ini, anda hanya perlu membayar baki RM200.00.

  8. S : Mengikut perkiraan saya, saya tidak dikenakan cukai bagi Tahun Taksiran 2011. Apa perlu saya buat untuk membolehkan majikan saya menghentikan / membatalkan potongan PCB ?

    J : Anda boleh menghubungi terus Cawangan Penaksiran untuk mengesahkan anda tidak dikenakan cukai, kemudian berhubung dengan Cawangan Pungutan dan memohon pengeluaran surat kepada Majikan anda untuk menghentikan potongan PCB.

  9. S : Potongan bulanan PCB saya adalah terlalu rendah berbanding dengan cukai sebenarnya yang perlu saya bayar. Bagaimana saya boleh menambahkan potongan untuk menjelaskan cukai yang kena dibayar ?

    J : Anda boleh meminta majikan anda menambahkan potongan bulanan anda untuk menjelaskan cukai yang kena dibayar. Majikan anda tidak perlu menunggu arahan dari Cawangan Pungutan untuk menambahkan potongan bulanan bagi maksud menjelas cukai.

  10. S : Potongan bulanan saya adalah melebihi jumlah cukai yang ditaksir. Bagaimana saya memohon untuk menamatkan potongan bulanan selanjutnya dan mendapatkan bayaran cukai yang terlebih bayar?

    J : Anda boleh terus menghubungi Cawangan Pungutan untuk mendapatkan surat pemberhentian potongan. Anda boleh memohon bayaran balik kredit anda dengan syarat semua taksiran terkini telah diselesaikan.

  11. S : Adakah jumlah anak yang layak bagi pelepasan dihadkan di bawah Akta Cukai Pendapatan ?

    J : Tiada had jumlah anak, bagaimanapun pelepasan hanya diberi bagi anak di bawah tanggungan yang belum berkahwin di mana mereka adalah :

    i. berumur kurang daripada 18 tahun;
    ii. jika melebihi umur 18 tahun, hendaklah masih belajar sepenuh masa atau masih di bawah latihan (articleship) atau ikatan dalam perusahaan atau profesion; atau
    iii. kurang upaya secara fisikal atau mental (pelepasan bagi anak kurang upaya secara fisikal atau mental adalah RM5,000.00).

  12. S : Saya akan bersara daripada perkhidmatan awam, bagaimana saya mendapatkan sijil penyelesaian cukai pendapatan saya ?

    J : Anda boleh hubungi Cawangan Penaksiran di mana fail cukai pendapatan anda didaftarkan dan bawa bersama Borang CP22B (Notis Pemberhentian Pekerjaan) yang telah diisikan oleh majikan anda. Sila pastikan bahawa majikan anda mengemukakan Borang CP22B ke Cawangan Penaksiran LHDN yang berkenaan, 6 bulan sebelum anda bersara.

  13. S : Saya menjalankan perniagaan kedai runcit dan dari semasa ke semasa saya menjual barang runcit di pasar malam. Bolehkah saya membayar cukai pendapatan melalui Skim Potongan Cukai Berjadual (PCB)?

    J : Tidak, PCB dikhaskan hanya untuk seseorang yang tertakluk di bawah kontrak penggajian. Jika anda menjalankan perniagaan atau bekerja sendiri, anda boleh membayar cukai anda melalui skim bayaran ansuran dwibulanan. Jika anda memilih untuk tidak membayar melalui skim ansuran berkenaan, anda hendaklah menyelesaikan cukai yang anda kena bayar dalam tempoh 30 hari dari tarikh Notis Taksiran (Borang J).

  14. S : Adakah penalti dikenakan jika saya lewat mengemukakan Borang Cukai Pendapatan?

    J : Ya, penalti akan dikenakan jika lambat mengemukakan Borang Cukai. Semua Borang Cukai Pendapatan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh yang dinyatakan pada Borang tersebut atau tempoh yang telah ditetapkan.

  15. S : Jika saya membayar zakat atau fitrah, bolehkah saya menuntut potongan daripada cukai yang kena bayar?

    J : Ya, jika anda seorang muslim. Anda hendaklah mengemukakan resit asal untuk menyokong tuntutan. Resit-resit berkenaan hendaklah di atas nama pembayar cukai.

  16. S : Jika saya membuat derma ke tabung masjid, bolehkah saya menuntut potongan daripada cukai saya ?

    J : Anda boleh membuat tuntutan potongan bagi derma yang telah dibuat, bagaimanapun derma itu hendaklah dibuat ke badan atau tabung yang diluluskan oleh Ketua Pengarah. Selalunya kelulusan (pemberitahu menerusi warta) berkenaan dinyatakan atas resit derma.



Pembayaran Cukai

  1. S :Dimanakah saya boleh membuat bayaran cukai pendapatan individu?

    J: Bayaran cukai pendapatan boleh dibuat di :

    i) Kaunter bayaran LHDNM ( Jalan Duta, Kota Kinabalu, Kuching)
    ii) Kaunter ( CIMB Bank, Public Bank, Maybank, Eon Bank, Pos Malaysia )
    iii) E-Bayaran . Sila layari https://epayment.hasil.gov.my
    iv) Perbankan Internet (CIMB Bank, Public Bank, Maybank, Eon Bank, Pos Malaysia)

  2. S : Apa itu PCB?

    J : Berkuat kuasa dari 1 Januari 1995, Potongan Cukai Berjadual (PCB) merupakan satu kaedah baru bagi pungutan cukai di mana majikan membuat potongan daripada saraan pekerja yang layak pada setiap bulan berdasarkan Jadual PCB. PCB merupakan satu kewajipan ke atas pekerja dan majikan. Sebarang perbezaan dari perkara yang telah ditetapkan dalam Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Dari Saraan) 1994, memerlukan kelulusan secara bertulis daripada LHDNM.

  3. S : Apakah perbezaan bayaran PCB dan potongan CP 38?

    J : PCB merupakan potongan cukai berdasarkan Jadual PCB ke atas saraan pekerja yang layak dan diremitkan ke LHDNM setiap bulan, manakala potongan CP 38 pula hanya boleh dilakukan sekiranya LHDNM telah mengeluarkan arahan khusus kepada majikan supaya membuat potongan untuk amaun tertentu dalam bulan-bulan yang tertentu. Potongan CP 38 adalah untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak manakala PCB adalah untuk cukai bagi tahun taksiran semasa. Tarikh akhir bayaran CP 38 perlu dikemukakan kepada LHDNM adalah sama seperti potongan PCB.

  4. S : Sekiranya arahan potongan gaji (Borang CP 38) dikeluarkan kepada majikan untuk pekerjanya, adakah majikan masih perlu membuat potongan cukai di bawah skim PCB untuk pekerja berkenaan?

    J : Ya. Arahan potongan gaji (Borang CP 38) yang dikeluarkan kepada majikan adalah bertujuan untuk menyelesaikan cukai yang masih tertunggak di akaun cukai pendapatan pekerja, manakala PCB adalah untuk menjelaskan cukai bagi tahun taksiran semasa pekerja tersebut.

  5. S : Adakah bayaran PCB dan CP 38 perlu menggunakan borang yang berlainan?

    J : Tidak perlu, akan tetapi majikan hendaklah mengasingkan jumlah bayaran mengikut ruangan PCB dan CP 38 yang disediakan.

  6. S : Apakah jenis pendapatan yang layak dikenakan potongan PCB?

    J : PCB hanya dikenakan ke atas pendapatan penggajian iaitu saraan yang didapati daripada pekerjaan, termasuk semua bayaran selain daripada manfaat yang bukan berbentuk wang (Sek. 13(1)(b)), manfaat kediaman (Sek. 13(1)(c)) dan pembayaran ganti kepada pekerja. Pendapatan penggajian yang layak dikenakan cukai termasuklah gaji, upah, komisen, kerja lebih masa, elaun, yuran pengarah, tip, bonus yang didapati berkaitan dengan pekerjaan yang dilakukan dan sebagainya.

    Majikan dikehendaki menjumlahkan kesemua pendapatan yang telah dinyatakan dan menolak caruman pekerja ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhad kepada RM 500 sebulan atau RM 6,000 setahun. Seterusnya potongan PCB ditentukan berdasarkan kepada Jadual PCB. Namun begitu, di mana sesuatu bayaran merupakan satu bayaran bonus atau sekaligus, formula khusus hendaklah digunakan untuk menentukan amaun PCB.

  7. S : Apakah yang dimaksudkan dengan saraan di bawah Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994 dan Pindaan 1998?

    J : J6: Saraan bermakna pendapatan berkenaan dengan perolehan atau keuntungan daripada sesuatu pekerjaan di bawah Seksyen 13 (1) (a), (d) dan (e) ACP 1967 selain daripada faedah-faedah dalam bentuk barangan di bawah Seksyen 13(1)(b) dan 13(1)(c) ACP 1967 dan sentiasa diterima pada setiap bulan walaupun amaunnya berbeza.

  8. S : Bagaimana untuk mengira PCB bagi yuran pengarah?

    J : Terdapat beberapa cara untuk pengiraan yuran pengarah, bergantung kepada situasi seperti berikut:-

    Dalam kes-kes di mana yuran pengarah adalah dibayar secara bulanan bersama-sama dengan saraan bulanan, kedua-dua amaun hendaklah dijumlahkan dan potongan PCB yang perlu dipotong adalah merujuk kepada Jadual PCB.

    Dalam kes-kes di mana hanya yuran pengarah sahaja dibayar secara bulanan, maka PCB ditentukan sebagaimana mengira PCB untuk saraan bulanan.

    Di mana seseorang pengarah dibayar saraan bulanan dan juga menerima yuran pengarah secara sekaligus, pengiraan PCB untuk yuran pengarah adalah mengikut Formula Bonus

    Di mana seseorang pengarah hanya menerima yuran pengarah secara sekaligus, bayaran berkenaan hendaklah dibahagikan kepada tempoh bulan yang berkaitan dan potongan PCB hendaklah dibuat mengikut jadual yang ditetapkan dan didarabkan dengan jumlah bulan tersebut. (Formula Bonus-langkah B-D adalah terpakai).

    Contoh:
    Seseorang pengarah menerima yuran pengarah untuk tempoh setahun berjumlah RM36,000.00 tanpa sebarang bayaran saraan bulanan. Oleh yang demikian, jumlah yang diambilkira untuk sebulan adalah RM3,000.00. Bayaran PCB untuk jumlah RM3,000 hendaklah ditentukan mengikut jadual dan kemudiannya didarabkan dengan jumlah bulan dalam setahun .

    Sekiranya yuran pengarah dibayar untuk tahun yang berbeza dengan tahun semasa, pihak majikan perlu mengasingkan bayaran yuran pengarah dan juga bayaran PCB bulan semasa dengan menggunakan dua borang CP 39 yang berasingan.

  9. S : Dalam mesyuarat tahunan, yuran pengarah telah diisytihar dan akan dibayar pada 1 Oktober 2005. Memandangkan selepas itu syarikat mengalami masalah kewangan, yuran pengarah tidak dapat dibayar pada tarikh yang telah ditetapkan. Adakah PCB untuk yuran pengarah tersebut masih perlu dipotong pada tarikh ia diisytiharkan?

    J : Tidak perlu. Potongan PCB hanya perlu dibuat pada tarikh ia dibayar.

  10. S : Potongan PCB yang berlebihan telah dibuat ke atas seseorang pekerja untuk sesuatu bulan. Adakah bayaran balik lebihan PCB tersebut akan dibuat kepada pihak majikan?

    J : Tidak. Potongan PCB bulanan yang berlebihan hanya akan dibuat pembayaran balik sekiranya ada permohonan daripada pekerja berkenaan dan hanya akan dibayar kepada pekerja tersebut bukan kepada pihak majikan.

  11. S : Pemotongan jumlah yang berlebihan daripada Jadual PCB telah dikesan. Bolehkan pindaan PCB dibuat melalui potongan bagi bulan yang berikutnya?

    J : Pindaan PCB boleh dibuat dengan syarat surat penjelasan dikepilkan bersama-sama potongan pindaan yang dikemukakan. Pindaan PCB tidak dibenarkan bagi tahun yang berbeza.

    Contoh:
    Kesilapan potongan PCB yang dibuat dalam bulan Disember 2006 tidak boleh dibuat pindaan dalam bulan Januari 2007.

  12. S : Seseorang pekerja akan bersara wajib. Adakah potongan cukai bagi pekerja berkenaan perlu dibuat?

    J : Ya. Selain daripada mematuhi skim potongan cukai bulanan, majikan juga perlu mematuhi perkara-perkara berikut:

    Semua wang saraan terakhir pekerja hendaklah ditahan.

    Pemberitahuan mengenai perberhentian pekerja melalui borang CP 22 A (Borang CP 22 B untuk pekerja di sektor awam) hendaklah dikemukakan dengan segera ke cawangan LHDNM yang berkenaan.

    Jumlah sebenar cukai yang kena dibayar (sekiranya ada) hendaklah dibayar ke LHDNM dengan segera. Seterusnya Surat Penyelesaian Cukai akan dikeluarkan kepada pekerja berkenaan.

  13. S : Jika seseorang pekerja diberhentikan atau berhenti bekerja, adakah potongan PCB perlu dibuat?

    J : Ya. Selain daripada mematuhi skim potongan cukai bulanan, majikan juga perlu mematuhi perkara-perkara berikut sekiranya pekerja tiada potongan PCB dibuat setiap bulan dan gaji atau saraan bulanan tersebut layak dikenakan cukai. Tindakan berikut hendaklah di diambil:-

    Semua wang saraan terakhir pekerja hendaklah ditahan.

    Pemberitahuan mengenai pemberhentian pekerja melalui Borang CP 22A (untuk pekerja di sektor swasta) atau CP 22B (untuk pekerja di sektor awam) hendaklah dikemukakan dengan segera ke cawangan LHDNM yang berkenaan.

    Jumlah sebenar cukai yang kena dibayar (sekiranya ada) hendaklah dibayar ke LHDNM dengan segera.

  14. S : Seseorang pekerja mempunyai pendapatan lebih daripada satu majikan. Bagaimanakah potongan cukai pekerja tersebut dikira?

    A13 : Setiap majikan hanya perlu memotong cukai mengikut jumlah saraan yang dibayar oleh mereka sahaja. Majikan yang lain adalah bertanggungjawab untuk membuat potongan cukai dari saraan yang dibayar oleh mereka ke atas pekerja yang sama.

  15. S : Seseorang pekerja sering mendapat bayaran balik kredit daripada LHDNM dan ingin memohon kepada majikan untuk memberhentikan potongan cukai. Adakah ini dibenarkan?

    J : Permohonan adalah berdasarkan kes-kes tertentu atau `case-by-case basis`. Sekiranya pekerja ingin mendapatkan pengurangan/pemberhentian PCB, permohonan perlu dibuat secara bertulis kepada cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan pekerja tersebut.

    Majikan hanya boleh memberhentikan potongan cukai setelah mendapat arahan bertulis daripada LHDNM.

  16. S : Seseorang pekerja ingin memohon pengurangan potongan cukai yang lebih rendah daripada kadar yang telah ditetapkan mengikut jadual PCB atau pemberhentian potongan PCB. Adakah ini dibenarkan?

    J : Permohonan adalah berdasarkan kes-kes tertentu atau `case-by-case basis`. Sekiranya pekerja ingin mendapatkan pengurangan/pemberhentian PCB, permohonan perlu dibuat secara bertulis kepada cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan pekerja tersebut.

    Majikan hanya boleh memberhentikan potongan cukai setelah mendapat arahan bertulis daripada LHDNM.

  17. S : Seseorang pekerja memerlukan potongan cukai yang lebih tinggi daripada kadar yang telah ditetapkan mengikut jadual PCB. Bolehkah ini dibenarkan?

    J : Boleh. Cukai sebenar pekerja yang kena dibayar mungkin lebih tinggi daripada jumlah PCB disebabkan pendapatan dari lain-lain punca. Potongan yang lebih tinggi boleh dibuat sekiranya pekerja itu sendiri yang membuat permohonan.

    Permohonan adalah secara bertulis kepada majikan untuk membuat potongan tambahan kepada bayaran PCB sekiranya bayaran tersebut tidak mencukupi untuk menampung cukai tahunan. Ini bagi mengelakkan masalah timbul di kemudian hari di mana majikan akan dianggap tidak memotong pada kadar yang sepatutnya.

  18. S : Adakah Potongan PCB boleh diselaraskan dengan potongan zakat?

    J : Dibenarkan. Di mana seseorang pekerja membayar zakat secara potongan gaji, majikan boleh mengurangkan amaun bayaran zakat dari potongan PCB untuk bulan yang berkenaan. Namun begitu, sekiranya zakat dibayar bukan secara potongan gaji, pekerja berkenaan perlu menghubungi cawangan LHDNM yang berkenaan untuk penjelasan selanjutnya.

Bayaran Balik

  1. S: Bilakah saya akan menerima bayaran balik lebihan kredit cukai tahun semasa saya ?

    J: Tuan akan menerima bayaran balik dalam tempoh:
    i) 30 hari dari tarikh penghantaran borang sekiranya borang dikemukakan pada atau sebelum tarikh akhir pengemukaan bagi penghantaran melalui e-filing.
    ii) 3 bulan dari tarikh penghantaran borang sekiranya borang dikemukakan pada atau sebelum tarikh akhir pengemukaan bagi penghantaran borang kertas.

  2. S: Saya telah membuat penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan sebelum tarikh akhir dan layak menuntut bayaran balik. Perlukah saya membuat permohonan bagi menuntut bayaran balik tersebut.

    J: Tidak perlu. Bayaran balik akan diproses dalam tempoh 30 hari bekerja baki kes penghantaran secara e-Filing atau 90 hari bekerja baki kes penghantaran secara pos atau serahan tangan.

  3. S: Mengapa saya masih belum menerima bayaran balik dalam tempoh seperti yang dinyatakan di dalam Piagam Pelanggan LHDNM?

    J: Kelewatan bayaran balik diproses mungkin disebabkan oleh pihak LHDNM perlu membuat pengauditan terhadap Borang Nyata Cukai Pendapatan yang dikemukakan oleh tuan. Walaubagaimanapun, tuan dinasihatkan untuk menghubungi Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail tuan atau Pusat Khidmat Pelanggan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

  4. S: Saya membuat penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan selepas tarikh akhir penghantaran borang, bilakah saya akan memperolehi bayaran balik?

    J: Pembayaran balik akan diproses setelah penalti lewat hantar dikenakan ke atas tuan.

  5. S: Saya masih belum menerima bayaran balik walaupun sudah lebih daripada 3 bulan dari tarikh penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan.

    J: Tuan boleh menghubungi Cawangan dimana fail tuan dikendalikan atau Pegawai Perhubungan Awam Cawangan berkenaan atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian tanpa tol 1-800-88-LHDN (5436) bagi membuat semakan status bayaran balik tuan.

  6. S: Saya layak mendapat bayaran balik (dividen), perlukah saya membuat penghantaran baucer dividen saya ke Cawangan LHDN?

    J: Baucer dividen tidak perlu dihantar kecuali jika diminta oleh pegawai LHDNM yang mengendalikan fail tuan.

  7. S: Saya ada menerima surat memaklumkan bayaran balik saya telah diluluskan, tetapi saya masih tidak merima cek bayaran balik tersebut.

    J: Cek tersebut akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh bayaran bayaran balik diluluskan. Jika tuan masih tidak menerimanya selepas tempoh tersebut, sila hubungi Cawangan LHDN yang mengendalikan fail tuan atau Pusat Khidmat Pelanggan untuk membuat semakan.

  8. S: Cek yang saya terima telah luput tarikh, apa yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan cek gantian?

    J: Tuan diminta menghubungi Cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan tuan atau Pusat Khidmat Pelanggan di talian tanpa tol 1-800-88-LHDN (5436) bagi tindakan pengeluaran cek gantian.


PCB Sebagai Cukai Muktamad

PCB

Borang BE

Borang B

Borang CP204

Borang C

Borang R

Borang E

Borang M

Borang P