Dalam menentukan pendapatan larasan sesuatu perniagaan bagi suatu tempoh asas, tiada potongan diberi untuk perbelanjaan modal atau susutnilai bagi aset yang digunakan dalam menghasilkan pendapatan tersebut. Walau bagaimanapun, Jadual 3, Akta Cukai Pendapatan 1967 telah memperuntukkan potongan berupa elaun untuk perbelanjaan modal tertentu yang telah dilakukan.
Elaun modal hanya diberi kepada perniagaan. Hanya orang yang membelanjakan perbelanjaan pemerolehan aset yang digunakan di dalam perniagaan beliau sahaja yang layak menuntut elaun tersebut. Contoh aset yang digunakan di dalam perniagaan adalah kereta, mesin, alat pejabat, perabot dan lain-lain lagi.
Jumlah Elaun Modal hendaklah diisikan dalam ruangan berkaitan yang terdapat dalam Borang Cukai Pendapatan.
Jenis dan kadar Elaun Modal
JENIS ASET
Elaun Permulaan (%)
Elaun Tahunan (%)
Jentera Berat / Kenderaan Bermotor
20
20
Loji dan Jentera
20
14
Komputer dan Peralatan ICT
20
40
Lain-Lain
20
10
Nota :
Jentera Berat - Jentolak, kren, penarik, jengkaut, jemparas, pengangkut, riper rola, pencabut akar, pencakar, penyodok, jentarik, vibrator wagon dan sebagainya.
Kenderaan Bermotor - semua jenis kenderaan yang beroperasi dengan motor seperti kereta, motorsikal, kapal terbang, kapal dan sebagainya.
Loji dan Jentera - Loji dan jentera am yang tidak termasuk dalam jentera berat seperti penyaman udara, pemampat, lif, peralatan perubatan dan makmal, ketuhar dan sebagainya.
Lain-Lain - Peralatan pejabat, perabot, dan kelengkapan.
Bagi kenderaan yang tidak dilesenkan untuk tujuan komersial, perbelanjaan modal layak untuk tuntutan elaun modal adalah terhad kepada maksimum RM 50,000 sahaja.
Kenderaan yang dilesenkan untuk pengangkutan barang atau penumpang secara komersial seperti lori, trak, bas, bas mini, van, teksi atau kereta sewa tidak termasuk dalam sekatan tersebut.
Walau bagaimanapun, mulai tahun taksiran 2001, had maksimum perbelanjaan modal layak untuk tuntutan (selain dari kenderaan yang dilesenkan untuk kegunaan komersial) yang dibeli pada atau selepas 28/10/2000, telah dinaikkan dari RM50,000 kepada maksimum RM100,000 dengan syarat :-
Kenderaan yang dibeli adalah kenderaan baru
Harga atas jalan kenderaan baru dibeli tersebut adalah tidak lebih dari RM150,000.