Logo_LHDN
Portal Rasmi
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Bersama Membangun Negara
Jata_Negara
Utama » Pengecualian Cukai
print text arrowdown Menu
Tambang Perjalanan

Tambang percutian dalam Malaysia yang tidak melebihi tiga kali dalam satu tahun kalendar, atau

Tambang percutian ke luar Malaysia yang tidak melebihi sekali dalam mana-mana tahun kalendar, terhad kepada amaun maksimum RM3,000.

Harap maklum bahawa tambang percutian yang dimaksudkan adalah kos tambang sahaja. Kos-kos lain tidak dianggap sebagai kos tambang.(Rujuk Ketetapan Umum 1/2003)

Manfaat Perubatan & Pergigian

Mulai tahun taksiran 2008, manfaat perubatan yang dikecualikan cukai diperluaskan untuk meliputi perbelanjaan materniti dan perubatan tradisional seperti ayurvedic dan akupuntur. Pengecualian cukai bagi manfaat ini tiada had limit.

Ganjaran Persaraan

  1. Ganjaran Persaraan

    Bayaran ganjaran persaraan yang diterima oleh pekerja pada masa persaraan dikecualikan sepenuhnya daripada cukai jika:

    1. Ketua Pengarah berpuas hati bahawa persaraan daripada penggajian adalah disebabkan oleh keuzuran.

    2. Persaraan itu berlaku pada atau selepas seseorang itu mencapai umur 55 tahun atau mencapai umur wajib bersara dari penggajian dan telah berkhidmat berturutan selama 10 tahun dengan majikan yang sama atau dengan syarikat di dalam kumpulan yang sama.

    3. Persaraan itu berlaku apabila mencapai umur wajib bersara di bawah satu kontrak penggajian atau perjanjian kolektif pada umur 50 tahun tetapi sebelum 55 tahun dan telah berkhidmat selama 10 tahun dengan majikan yang sama atau dengan syarikat dalam kumpulan yang sama.

  2. Ganjaran yang dibayar kepada pekerja dari kumpulan wang awam

    Ganjaran yang dibayar kepada pekerja dari kumpulan wang awam apabila bersara daripada penggajian di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

  3. Ganjaran yang dibayar kepada pegawai kontrak

    Ganjaran yang dibayar daripada kumpulan wang awam kepada pegawai kontrak apabila perkhidmatan kontraknya tamat (walaupun kontraknya diperbaharui).

Pendapatan Pampasan

Pampasan adalah bayaran yang diterima oleh seseorang pekerja daripada majikannya akibat diberhentikan kerja dan bayaran ini mungkin dibayar sebelum atau selepas pekerja diberhentikan.

Pampasan yang dikecualikan :

  1. Pampasan yang diterima kerana keuzuran atau gangguan kesihatan dikecualikan sepenuhnya.

  2. Pampasan yang diterima kerana sebab-sebab lain:

    1. Pemberhentian kerja sebelum 1 Julai 2008. Pengecualian RM6,000 diberikan bagi setiap tahun lengkap perkhidmatan dengan majikan yang sama atau syarikat-syarikat dalam kumpulan sama.

    2. Pemberhentian kerja pada atau selepas 1 Julai 2008. Pengecualian RM10,000 diberikan bagi setiap tahun lengkap perkhidmatan dengan majikan yang sama atau syarikat-syarikat dalam kumpulan yang sama.

Pampasan yang dikenakan cukai sepenuhnya:

Pampasan yang diterima oleh pengarah (bukan pengarah urusan) sebuah syarikat terkawal.

Pencen (persaraan wajib umur atau atas sebab kesihatan)

Pencen yang diterima dari Malaysia oleh seseorang itu dikecualikan daripada cukai pendapatan dengan syarat:

  1. Orang yang berkenaan bersara pada umur 55 tahun atau pada umur wajib untuk bersara daripada penggajian seperti yang ditetapkan oleh mana-mana undang-undang bertulis,

  2. Orang yang bersara kerana keuzuran dan pencen tersebut diterima daripada kerajaan atau skim pencen yang diluluskan.

  3. Bagi pekerja sektor awam yang memilih persaraan pilihan, bayaran pencen yang diterima akan ditaksir dan dikenakan cukai sehingga mencapai umur 55 tahun atau umur wajib bersara di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

  4. Bagi individu yang menerima lebih daripada satu pencen, hanya bayaran pencen yang tertinggi akan dikecualikan daripada cukai.

Ganjaran Kematian

Wang yang diterima sebagai ganjaran kematian adalah dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Biasiswa

Apa-apa jumlah wang yang dibayar dengan cara biasiswa kepada seseorang individu, sama ada atau tidak berkaitan dengan suatu pekerjaan individu tersebut, adalah dikecualikan dari cukai pendapatan.

Pendapatan Individu Yang Bermastautin di Malaysia Berhubung Dengan Penampilan Dalam Persembahan Kebudayaan Yang Diluluskan Oleh Menteri

Wang yang diterima di bawah kategori ini adalah dikecualikan cukai sepenuhnya dengan syarat ianya adalah diluluskan oleh Menteri.

Faedah

Pendapatan faedah yang diterima oleh individu bermastautin daripada wang yang didepositkan dalam institusi berikut dikecualikan cukai mulai 30 Ogos 2008.

  1. Bank atau syarikat kewangan yang dilesenkan atau disifatkan dilesenkan dibawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

  2. Bank yang dilesenkan di bawah Akta Perbankan Islam 1983.

  3. Institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

  4. Lembaga Tabung Haji yang ditubuhkan di bawah Akta Tabung Haji 1995.

  5. Malaysia Building Society Berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.

  6. Borneo Housing Finance Berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.

Dividen

Antara bayaran dividen yang diterima yang dikecualikan daripada cukai pendapatan termasuklah:

  1. Dividen yang diterima daripada syarikat yang mengagihkan dividen daripada pendapatan syarikat yang dikecualikan daripada cukai.

  2. Dividen yang diterima daripada syarikat kerjasama (koperasi).

  3. Dividen yang diterima daripada amanah saham yang diluluskan oleh Menteri Kewangan, seperti dividen Amanah Saham Bumiputera.

  4. Dividen yang diterima daripada unit amanah yang diluluskan oleh Menteri Kewangan yang melaburkan 90% atau lebih daripada unit amanah tersebut dalam sekuriti kerajaan

Royalti

Individu yang bermastautin di Malaysia dikecualikan daripada cukai atas pendapatan royaltinya seperti berikut :

    No.

    Jenis khidmat/hasil kerja yang dibayar setahun

    Amaun dikecualikan (RM)

    1
    Penerimaan dari penerbitan hasil seni/rakaman pita/cakera
    10,000
    2
    Penerimaan hasil penterjemahan buku/karya kesusasteraan
    12,000
    3
    Penerimaan hasil penerbitan karya kesusasteraan /lukisan asli/penggubahan muzik
    20,000

    Walau bagaimanapun, pengecualian di atas tidak terpakai jika bayaran yang diterima menjadi sebahagian daripada gaji yang diterima oleh individu itu dalam menjalankan tugas rasmi.

    Pendapatan Diremit Dari Luar Malaysia

    Mulai tahun taksiran 2004, pendapatan yang diperoleh dari luar Malaysia dan diterima di Malaysia oleh seseorang individu yang bermastautin dan diremitkan ke Malaysia dikecualikan daripada cukai pendapatan.

    Yuran Atau Honorarium Khidmat Pakar

    Mulai Tahun Taksiran 2004, yuran atau honorarium yang diterima oleh seseorang berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikannya untuk tujuan validasi, moderasi atau akreditasi program pendidikan francais di institusi pengajian tinggi diberi pengecualian cukai pendapatan.

    Perkhidmatan yang diberikan oleh individu tersebut hendaklah ditentu sahkan atau diperaku oleh Agensi Kelayakan Malaysia (AKM). Walau bagaimanapun, pengecualian cukai pendapatan ini tidak akan dibenarkan jika bayaran yang diterima menjadi sebahagian daripada gaji yang timbul dalam menjalankan tugas rasmi.

    Pendapatan Daripada Hasil Penyelidikan

    Mulai Tahun Taksiran 2004, pendapatan yang diterima oleh seseorang individu daripada hasil penyelidikan saintifik yang dikomersialkan, diberi pengecualian cukai sebanyak 50% daripada pendapatan statutori dalam tahun asas bagi tahun taksiran, untuk tempoh lima (5) tahun dari tarikh bayaran pertama.

    Saintis yang menerima bayaran tersebut hendaklah warganegara dan bermastautin di Malaysia. Manakala hasil penyelidikan yang dikomersialkan itu hendaklah ditentu sahkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.



    Kemaskini(Updated) : 13 Jun,2011Dilawati / Hit(s) : 217,597
    Pengunjung Online: 27    China Flag 2    MALAYSIA Flag 9    Singapore Flag 2    Slovakia Flag 1    United States Flag 13   
    Pengunjung: 73,946,175 Hari Ini : 4,044 Pengunjung Bulan Ini (10/2014) : 0Pengunjung Bulan Lepas (09/2014) : 1,142,816
    Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Keselamatan Online | Webmaster
    PENAFIAN: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
    Terjemahan ke bahasa ketiga merupakan terjemahan terus dari laman web LHDNM versi Bahasa Melayu. Ia bertujuan memberi kemudahan kepada pengguna bahasa lain menggunakan laman web ini.
    Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Explorer 8.0 atau Mozilla Firefox dengan resolusi skrin 1280x800.
    Hak Cipta Terpelihara 2009 © LHDNM2