printer
PENGENALAN
Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (ACKHT 1976) telah diperkenalkan pada 07 November 1975 untuk menggantikan Akta Cukai Spekulasi Tanah 1974. Kedua-dua akta tersebut telah diperkenalkan untuk mengawal aktiviti spekulasi harta tanah yang telah mengakibatkan kenaikan harga harta tanah secara mendadak. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dikenakan atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah di Malaysia dan juga saham Syarikat Harta Tanah (SHT). Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) adalah satu-satunya cukai atas keuntungan modal di Malaysia.

ASAS PERCUKAIAN
Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) adalah cukai yang dikenakan atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah (rumah pangsa, rumah, kondominium, pangsapuri, ladang, tanah kosong dan lain-lain). Mulai 21 Oktober 1988, cukai ini telah diperluaskan kepada keuntungan daripada pelupusan saham dalam Syarikat Harta Tanah. Menerusi Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2007 [P.U. (A) 146/2007] Menteri Kewangan telah mengecualikan mana-mana orang daripada semua peruntukan Akta CKHT 1976 (ACKHT ) bagi pelupusan aset selepas 31 Mac 2007. Perintah pengecualian tersebut telah dibatalkan mulai 01 Januari 2010 melalui Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2009 (No.2) [P.U. (A) 486/2009]. Ini bermakna pelupusan aset-aset yang boleh dikenakan cukai mulai 01 April 2007 sehingga 31 Disember 2009 adalah dikecualikan daripada CKHT.