printer

Dimaklumkan bahawa pihak LHDNM menerima beberapa pertanyaan berhubung bayaran potongan cukai berjadual (PCB) dan cukai yang dilakukan secara dalam talian oleh majikan dan pembayar cukai tetapi masih belum dikemaskini di lejar pembayar cukai.
Ianya disebabkan oleh peningkatan penerimaan bayaran dalam talian pada bulan September yang memerlukan semakan dan pengesahan lanjut bagi melengkapkan pemprosesan penerimaan bayaran melibatkan beberapa pihak.
Semakan yang dilakukan terhadap maklumat dan data bayaran diterima mendapati terdapat banyak kes di mana majikan tidak mematuhi sepenuhnya panduan dan peraturan yang ditetapkan ketika melakukan bayaran seperti menggunakan nombor slip penerimaan PCB (virtual account) lebih dari sekali dan membuat bayaran yang berbeza dari amaun dinyatakan. Ini menyebabkan tindakan penyesuaian terpaksa dilakukan oleh LHDNM yang mengganggu kelancaran proses kemaskini maklumat bayaran ke lejar pekerja.
Walau bagaimanapun, majikan tidak perlu bimbang terhadap kelewatan berkenaan kerana dokumen pemakluman bayaran yang dikeluarkan pada akhir proses pembayaran tetap diterima oleh LHDNM sebagai bukti penerimaan bayaran.
LHDNM berusaha melakukan tindakan penambahbaikan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan maklumat disamping memastikan majikan mengikuti panduan bayaran secara betul dan teratur agar masalah tersebut tidak berulang di masa hadapan demi memudahkan seluruh pembayar cukai dan majikan.
Sebarang kesulitan adalah amat dikesali.