Makluman Pekerja Baru
Setiap majikan yang mula menggaji individu yang boleh atau mungkin boleh dikenakan cukai pendapatan hendaklah memaklumkan kepada Cawangan Penaksiran yang berhampiran berkenaan pekerja itu dalam tempoh satu bulan dari tarikh permulaan pekerjaannya [Seksyen 83(2), Akta Cukai Pendapatan 1967]. Makluman berkenaan pekerja baru tersebut perlu dibuat dengan menggunakan Borang CP22. Sila lengkapkan borang tersebut dan serahkan kepada cawangan LHDNM yang berdekatan. Antara maklumat pekerja baru yang perlu diberi ialah nama, nombor kad pengenalan, alamat, nombor fail cukai pendapatan (jika ada), tarikh permulaan pekerjaan dan jenis serta syarat-syarat penggajian. Borang CP22 boleh dimuat turun melalui laman web utama dan klik pada ikon Borang. Kegagalan majikan memaklumkan kepada LHDNM adalah boleh menjadi satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang dari RM200 dan tidak melebihi RM2000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali [Seksyen 120(1), Akta Cukai Pendapatan, 1967].