Portal Rasmi
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
 Bersama Membangun Negara     Jum, 21 Jul 2017    Eng | Mal
Utama / Kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah

Pindaan Peruntukan ACKHT 1976

Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) (No.2) 2009 [P.U. (A) 486]

Menteri mengecualikan mana-mana orang daripada pemakaian Jadual 5 Akta bagi pembayaran cukai ke atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai berkenaan dengan pelupusan apa-apa aset yang boleh dikenakan cukai pada atau selepas 01 Januari 2010 jika pelupusan itu dibuat selepas lima tahun dari tarikh pemerolehan aset yang boleh dikenakan cukai.
ii. Jika pelupusan aset yang boleh dikenakan cukai dibuat dalam tempoh 5 tahun dari tarikh pemerolehan aset yang boleh dikenakan cukai, Menteri mengecualikan mana-mana orang daripada pemakaian Jadual 5 Akta bagi pembayaran cukai ke atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai berkenaan dengan pelupusan yang boleh dikenakan cukai itu pada atau selepas 01Januari 2010 dengan syarat bahawa amaun keuntungan yang boleh dikenakan cukai itu hendaklah ditentukan mengikut formula yang berikut:

A X C
B

A ialah amaun cukai yang dikenakan di atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai ke atas orang itu mengikut kadar cukai yang berkenaan yang dikurangkan sebanyak amaun cukai yang dikenakan ke atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai itu pada kadar lima peratus;

B ialah amaun cukai yang dikenakan ke atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai itu mengikut kadar cukai yang berkenaan;

C ialah amaun keuntungan yang boleh dikenakan cukai itu.

Contoh:

ZZ Sdn Bhd membeli rumah kedai pada 24.02.2007 dengan harga RM240,000 dan menjual rumah kedai tersebut pada 04.02.2010 pada harga RM300,000. Tempoh pegangan harta tanah adalah 3 tahun, maka pelupusan tersebut tertakluk kepada kadar cukai 20%. Pendapatan yang dikenakan cukai dengan menggunakan formula di atas adalah seperti di bawah:

RM
Nilai balasan 300,000
Tolak: Harga perolehan 240,000
Keuntungan daripada pelupusan 60,000

Keuntungan yang dikecualikan:

(60,000 x 20%) - ( 60,000 x 5%) X 60,000 = 45,000
(60,000 x 20%)
Keuntungan yang boleh dikenakan cukai :

(60,000-45,000) = 15,000
Cukai yang dikenakan: 15,000 x 20% = 3,000

Nota:

Kadar cukai secara efektif dikenakan pada kadar 5% ke atas keuntungan pelupusan aset (60,000 x 5% = 3,000).

Kadar Cukai

Berkuat kuasa mulai 01.01.2014 kadar cukai yang dikenakan bergantung kepada tempoh pegangan aset dari tarikh pemerolehan iaitu seperti berikut:-

TEMPOH PELUPUSAN

SYARIKAT
(%)

INDIVIDU /PEMASTAUTIN TETAP
(%)

INDIVIDU BUKAN WARGANEGARA
(%)

Dalam tempoh 3 tahun

30

30

30

Dalam tahun ke-4

20

20

30

Dalam tahun ke-5

15

15

30

Dalam tahun ke-6 dan seterusnya

5

0

5

Individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap adalah tertakluk kepada kadar berikut:-

TEMPOH PELUPUSAN

KADAR CUKAI (%)

Dalam tempoh 5 tahun

30

Dalam tahun ke-6 dan seterusnya

5

Kadar cukai secara efektif berdasarkan Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) (No.2) 2009 [P.U. (A) 486] adalah 5%.

Pegangan dan Remitan Wang Oleh Pemeroleh

Amaun pegangan oleh pemeroleh adalah 2% daripada harga balasan atau kesemua wang balasan, yang mana lebih rendah. Pemeroleh dikehendaki meremitkan amaun tersebut kepada KPHDN dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pelupusan. Amaun wang yang diremitkan akan digunakan bagi membayar keseluruhan atau sebahagian cukai dikenakan ke atas pelupus. Dalam keadaan tertentu, KPHDN boleh melanjutkan tempoh masa bagi peremitan tesebut.

Jika pemeroleh gagal meremitkan amaun berkenaan, kenaikan 10% dikenakan. Amaun sepatutnya diremit dan kenaikan tersebut merupakan hutang kepada kerajaan dan hendaklah dibayar kepada KPHDN. Walau bagaimanapun KPHDN boleh menggunakan budi bicara untuk meremitkan amaun kenaikan dan membayar balik amaun berkenaan sekiranya telah dibayar.

Kerugian Dibenarkan

Kerugian boleh dibenarkan (allowable loss) bagi pelupusan aset (pelupusan harta tanah sahaja) dalam tempoh lima tahun dari tarikh pemilikan adalah dibenarkan sebagai tolakan daripada keuntungan boleh dikenakan cukai (chargeable gain) dalam sesuatu tahun taksiran. Kerugian daripada pelupusan yang tidak dapat diserap hendaklah ditolak daripada keuntungan boleh dikenakan cukai dari pelupusan aset (pelupusan harta tanah sahaja) lain dalam tahun tersebut atau tahun-tahun berikut sehingga habis diserap. Kerugian tersebut juga hendaklah ditolak daripada keuntungan boleh dikenakan cukai atas pelupusan aset (pelupusan harta tanah sahaja) selepas lima tahun dari tarikh pemilikan dalam tahun tersebut atau tahun-tahun berikut. Bagi pelupusan harta tanah oleh individu, tolakan pengecualian di bawah perenggan 2 Jadual 4 hendaklah dibenarkan terlebih dahulu sebelum membenarkan tolakan kerugian boleh dibenarkan.

Kerugian Atas Pelupusan Aset Yang Berlaku Selepas Tempoh 5 Tahun Daripada Tarikh Pemilikan.

Kerugian atas pelupusan aset yang berlaku selepas tempoh lima tahun daripada tarikh pemilikan tidak boleh ditolak daripada keuntungan boleh dikenakan cukai dalam tahun tersebut dan kerugian tersebut juga tidak boleh di hantar hadapan untuk ditolak daripada keuntungan boleh dikenakan cukai dari pelupusan aset lain dalam tahun-tahun berikutnya [peruntukan di bawah perenggan 33(b) Jadual 2 ACKHT 1976]. Peraturan ini hanya terpakai kepada pelupusan harta tanah sahaja.

Kos Sampingan Dalam Pengiraan Keuntungan/Kerugian

Perbelanjaan faedah ke atas pinjaman bagi pembelian aset tidak lagi dianggap sebagai kos sampingan dalam pemerolehan aset dan seterusnya perbelanjaan tersebut tidak dibenarkan sebagai potongan.

Pengecualian


Bagi pelupusan aset oleh individu, amaun pengecualian ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 atau 10% daripada keuntungan, yang mana lebih besar. Ini terpakai hanya untuk pelupusan harta tanah.

Pengecualian di bawah perenggan 2 Jadual 4 ACKHT ini tidak boleh dibenarkan tolakan terhadap keuntungan daripada pelupusan pertama (pelupusan sebahagian daripada keseluruhan tanah) tetapi dibenarkan tolakan daripada pelupusan kedua apabila kesemua tanah telah dilupus.

Peruntukan Peralihan

Relif cukai berkaitan dengan kerugian pelupusan aset yang berlaku sebelum 31.03.2007 dan belum diserap sepenuhnya sebelum pindaan kepada peruntukan seksyen 7 ACKHT, layak dibenarkan di bawa ke hadapan. Relif cukai tersebut dibenarkan ditolak daripada amaun cukai dikenakan daripada pelupusan yang berlaku pada dan selepas tahun taksiran 2010 sehingga diserap sepenuhnya.

Penentuan Syarikat Harta Tanah (SHT)

SHT adalah suatu syarikat terkawal yang mana Nilai Tertentu (NT) tidak kurang daripada 75% daripada Jumlah Aset Ketara (JAK).

NT adalah:
a. Nilai pasaran harta tanah; atau
b. Harga perolehan syer dalam SHT; atau
c. Nilai pasaran harta tanah dan harga perolehan syer dalam SHT.

JAK adalah agregat:
a. Nilai tertentu harta tanah dan syer dalam SHT; dan
b. Nilai harta tanah ketara yang lain seperti loji dan jentera, stok, perdagangan, syer selain daripada syer SHT, wang tunai, bank dan penghutang. Semua ini boleh berdasarkan kepada nilai buku bagi maksud menentukan sama ada sebuah syarikat terkawal ialah SHT atau tidak.

Kerugian Atas Pelupusan Syer Dalam SHT

Kerugian atas pelupusan syer dalam SHT tidak boleh ditolak daripada keuntungan boleh dikenakan cukai daripada pelupusan syer dalam SHT dan harta tanah dalam tahun tersebut dan juga tidak boleh dihantar hadapan untuk ditolak daripada keuntungan boleh dikenakan cukai dari pelupusan syer dalam SHT dan harta tanah lain dalam tahun-tahun berikutnya [peruntukan di bawah perenggan 33(d) Jadual 2 ACKHT 1976].

Di lawati : 49,729
Kemaskini : : 2015-02-06 12:26:46

.Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Menara Hasil, Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, 63000 Cyberjaya Selangor. 03-83138888 .

4 1mal jata mof msc anm kastam bnm lada spr 1akses
Selamat Datang Welcome United States
  Tarikh Kemaskini : 20 Jul 2017
Pengunjung : Hong Kong
 Flag 1 United States
 Flag 10 Online : 11
Paparan terbaik menggunakan pelayar Chrome,Internet Explorer(Versi Terkini) atau Mozilla Firefox dengan resolusi skrin 1280x800. Hak Cipta Terpelihara 2015 © LHDNM
PENAFIAN : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Pengguna Hari Ini: 6,096
Jumlah Pengguna Bulan : ( 07 / 2017 ) 1,491,335
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2017 ) 20,176,386
Jumlah Keseluruhan Pengguna : 163,959,894
Jumlah Pengguna Bulan :( 06 / 2017 ) 1,109,042
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2016 ) 30,962,414