logolhdn
Portal Rasmi
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Utama / Soalan Lazim (Syarikat )
Syarikat : PENAKSIRAN

a) Pendapatan Kasar Perniagaan

1. Apakah maksud pendapatan kasar perniagaan?

Pendapatan kasar perniagaan adalah penerimaan atau bayaran yang diterima daripada suatu urus niaga yang melibatkan jualan stok perdagangan atau pemberian perkhidmatan. Dalam menentukan penerimaan yang boleh dianggap atau diambil kira sebagai pendapatan kasar perniagaan, Seksyen 12 (Peruntukan Seksyen 12 juga perlu dibaca bersama dengan Seksyen 3), Seksyen 22, Seksyen 24, Seksyen 28 dan Seksyen 30 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) memberi panduan berkaitan dengan maksud dan kriteria penerimaan tersebut.

 
2. Adakah cukai dikenakan atas pendapatan kasar perniagaan?
Pengenaan cukai bagi perniagaan bukan ke atas pendapatan kasar perniagaan tetapi adalah ke atas keuntungan atau laba yang diperoleh seperti yang ditetapkan oleh Perenggan 4(a) ACP 1967. Keuntungan atau laba daripada perniagaan merujuk kepada lebihan amaun setelah perbelanjaan yang dibenarkan ditolak daripada pendapatan kasar perniagaan.
 
3. Apakah maksud perniagaan?

Interpretasi perniagaan mengikut Seksyen 2 ACP 1967 adalah termasuk profesion, pencarian dan perdagangan dan setiap pengilangan, usaha atau urusan yang bercorak perdagangan tetapi tidak termasuk penggajian. Subseksyen 2(1) memberi makna perniagaan secara meluas yang mana setiap satu transaksi perlu dilihat kepada tujuan atau motif transaksi tersebut dijalankan. Sesuatu transaksi boleh dianggap sebagai perniagaan sekiranya transaksi tersebut mempunyai ciri-ciri perdagangan atau wujud usaha bercorak perdagangan dalam transaksi itu:

 

b) Perbelanjaan Praoperasi Perniagaan

4. Adakah perbelanjaan praoperasi atau prapermulaan perniagaan yang dilakukan oleh syarikat, dibenarkan potongan daripada pendapatan kasar perniagaan?

Pada amnya, perbelanjaan praoperasi atau prapermulaan perniagaan yang dilakukan oleh seseorang tidak dibenarkan sebagai potongan daripada pendapatan kasar perniagaan kerana perbelanjaan itu tidak kesemua dan semata-mata dilakukan dalam menghasilkan pendapatan itu.
Walaubagaimanapun, Jadual 4B ACP 1967 dan Kaedah-Kaedah yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan iaitu P.U.(A) 61/1992, P.U.(A) 111/1995, P.U.(A) 160/1996, P.U.(A) 475/2003, P.U.(A) 472/2005, P.U.(A) 135/2006, P.U.(A) 65/2007, P.U.(A) 361/2008, P.U.(A) 401/2009 dan P.U.(A). 76/2012 membenarkan potongan bagi perbelanjaan tertentu yang dilakukan sebelum permulaan operasi atau perniagaan.

 
5. Di manakah syarikat boleh merujuk selanjutnya berkenaan dengan perbelanjaan praoperasi dan prapermulaan perniagaan yang boleh dibenarkan?

Syarikat boleh merujuk di Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > Pautan Dalaman > Ketetapan Umum > No. 11/2013 : Perbelanjaan Praoperasi Perniagaan untuk semakan lanjut berhubung dengan garis panduan secara am berkaitan dengan perbelanjaan praoperasi dan prapermulaan perniagaan yang boleh dibenarkan kepada syarikat sebagai potongan daripada:

  • Perbelanjaan yang dibenarkan mengikut peruntukan am iaitu mengikut peruntukan Sekseyn 33 ACP 1967
  • Perbelanjaan yang dibenarkan mengikut peruntukan atau potongan khusus seperti Seksyen 34, Seksyen 34A, Seksyen 34B Seksyen 34C, Seksyen 35 ACP 1967; dan
  • Perbelanjaan yang dibenarkan melalui Kaedah Cukai PEndapatan atau perintah Menteri Kewangan atau peruntukan lain
Subseksyen 33(1) ACP 1967, memperuntukkan perbelanjaan yang kesemua dan semata-mata dilakukan dalam menghasilkan pendapatan kasar daripada suatu punca boleh dibenarkan sebagai potongan daripada pendapatan kasar punca tersebut. Peruntukan Subseksyen 33(1) ACP 1967 perlu dibaca bersama dengan peruntukan Subseksyen 39(1) ACP 1967 dalam menentukan pendapatan larasan.
 
d) Perbelanjaan Yang Tidak Dibenarkan
7. Apakah maksud Seksyen 39 ACP 1967
Seksyen 39 ACP 1967 adalah satu seksyen yang menerangkan secara spesifik perbelanjaan yang tidak dibenarkan sebagai potongan daripada pendapatan kasar suatu punca.
 
e) Tuntutan Elaun

i. Elaun Modal (EM)

8. Apakah maksud Elaun Modal?
Dalam menentukan pendapatan larasan perniagaan, tiada potongan dibenarkan bagi perbelanjaan yang dilakukan ke atas aset atau susut nilai aset.
Potongan cukai diberikan dalam bentuk Elaun Modal sebagai ganti kepada perbelanjaan susut nilai bagi pembelian asetyang digunakan di dalam perniagaan, dalam menentukan pendapatan statutori bagi suatu punca perniagaan.
Elaun Modal hanya diberikan kepada orang yang melakukan Perbelanjaan Yang Layak (PYL) ke atas aset yang digunakan untuk tujuan perniagaannya seperti yang diperuntukkan di bawah JAdual 3 ACP 1967 dan hanya diberikan potongan jika dituntut.
Elaun Modal diberi dalam bentuk Elaun Permulaan (EP dan Elaun Tahunan (ET)
 
9. Apakah syarat-syarat kelayakan tuntutan Elaun Permulaan dan Elaun Tahunan?
Syarat-syarat kelayakan tuntutan Elaun Permulaan dan Elaun Tahunan berhubung dengan sesuatu aset bagi suatu tahun taksiran: :

Elaun Permulaan (EP) :

  • Menjalankan perniagaan dalam tempoh asas
  • Melakukan PYL dalam tempoh asas
  • Aset itu digunakan bagi tujuan perniagaannya, dan
  • Pada akhir tempoh asas (atau jika aset itu dilupuskan, pasda masa pelupusan) beliau adalah pemilik aset itu.

Elaun Tahunan (ET) :

  • Menjalankan perniagaan dalam tempoh asas
  • Melakukan PYL dalam tempoh asas
  • Aset itu digunakan bagi tujuan perniagaannya, dan
  • Pada akhir tempoh asas, beliau adalah pemilik aset dan aset itu masih digunakan dalam perniagaannya
 
10. Di manakah syarikat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan Elaun Modal (EM)?

Syarikat boleh merujuk di Portal Rasmi LHDNM : www.hasil.gov.my > Pautan Dalaman >Ketetapan Umum :

  • No. 5/2014 : Pemilikan Dan Penggunaan Aset Bagi Tujuan Tuntutan EM
  • No. 12/2014 : Loji Dan Jentera Yang Layak Bagi Tuntutan EM
  • No. 6/2015 : Perbelanjaan Yang Layak Dan Pengiraan EM
 
ii. Elaun Pertanian (EP)
11. Apakah maksud Elaun Pertanian?
Merujuk kepada Perenggan 7, Jadual 3 ACP1967, Elaun Pertanian adalah salah satu insentif atau galakan yang disediakan kepada orang yang menjalankan aktiviti perniagaan dalam industri asas tani.
 
12. Siapakah yang layak menuntut Elaun Pertanian?
Seseorang yang telah melakukan perbelanjaan pertanian yang layak berhubung dengan suatu aset dan perniagaannya adalah berhak untuk menuntut Elaun Pertanian bagi suatu tahun taksiran jika dia adalah tuan punya aset pada akhir tempoh asas dan aset itu digunakan dalam perniagaan kebun atau ladang.
 
13. Di manakah syarikat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan Elaun Pertanian?

Syarikat boleh merujuk di Portal Rasmi LHDNM : www.hasil.gov.my > Pautan Dalaman > Ketetapan Umum > No. 1/2016 : Elaun Pertanian.

 

iii. Elaun Hutan

14. Apakah maksud Elaun Hutan?
Merujuk kepada Perenggan 8, Jadual 3 ACP 1967, Elaun Hutan adalah salah satu insentif atau galakan yang disediakan kepada orang yang menjalankan aktiviti perniagaan pengeluaran balak.
 
15. Siapakah yang layak menuntut Elaun Hutan?

Seseorang yang telah diberi konsesi (hak yang diberikan oleh kerajaan kepada seseorang untuk menjalankan suatu aktiviti tertentu di kawasan tertentu) atau lesen dan menjalankan perniagaan mengeluarkan balak layak menuntut Elaun Hutan keatas perbelanjaan yang dilakukan di dalam hutan untuk membina:

  • Jalan atau bangunan yang digunakan bagi maksud perniagaan mengeluarkan balak. Sebagai kelonggaran, jambatan atau jeti yang dibina untuk perniagaan tersebut juga layak untuk elaun yang ditetapkan; atau
  • Bangunan yang disediakan bagi tujuan kebajikan atau tempat kediaman pekerja yang digaji untuk mengeluarkan balak.
 

16. Di manakah syarikat boleh mendapatkan nmaklumat lanjut berhubung dengan Elaun Hutan?

Syarikat boleh merujuk di Portal Rasmi LHDNM : www.hasil.gov.my > Pautan Dalaman > Ketetapan Umum > No. 11/2014 : Elaun Hutan Dan Perbelanjaan Berhubung Dengan Pengeluaran Balak.
 

iv. Elaun Bangunan Industri (EBI)

17. Apakah maksud Elaun Bangunan Industri?

Elaun Bangunan Industri adalah elaun yang diperuntukkan mengikut Jadual 3 ACP 1967 dan diberikan atas perbelanjaan bangunan yang layak sama ada untuk membina atau membeli bangunan tersebut.
 
18. Apakah jenis bangunan yang layak sebagai Bangunan Industri?
Jenis bangunan yang layak sebagai Bangunan Industri boleh dirujuk sebagai Perenggan 63 hingga 66 Jadual 3 ACP 1967 memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk menetapkan jenis bangunan yang layak sebagai bangunan industri dan menentukan kadarnya melalui Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (KKCP) yang dibuat di bawah Subseksyen 154(1) ACP 1967.
 

19. Di manakah syarikat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan Elaun Bangunan Industri?

Syarikat boleh merujuk di Portal Rasmi LHDNM : www.hasil.gov.my > Pautan Dalaman > Ketetapan Umum :
  • No. 8/2016 : Bangunan Industri Bahagian I
  • No. 10/2016 : Bangunan Industri Bahagian II
 

v) Elaun Pelaburan Semula (EPS)

20. Apakah maksud Elaun Pleaburan Semula?
Elaun Pelaburan Semula (Jadual 7A ACP 1967) adalah merupakan suatu insentif khas untuk menggalakkan syarikat yang bermastautin di Malaysia melabur semula keuntungan perniagaan dengan melakukan perbelanjaan layak bagi membesarkan , memodenkan atau mengautomasikan perniagaan sedia ada atau mempelbagaikan perniagaan sedia ada kepada apa-apa produk berkaitan dalam industri yang sama bagi meningkatkan hasil pengeluaran produk syarikat.
 
21. Di manakah syarikat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan Elaun Pelaburan Semula?

Syarikat boleh merujuk di Portal Rasmi LHDNM : www.hasil.gov.my > Pautan Dalaman > Ketetapan Umum :

  • No. 6/2012 : Elaun Pelaburan Semula
  • No. 9/2017 : Elaun Pelaburan Semual Bahagian I - Aktiviti Pengilangan
  • No. 10/2017 : Elaun Pelaburan Semula Bahagian II - Aktiviti Pertanian Dan Bersepadu
 
vi) Elaun Cukai Pelaburan (ECP)
22. Apakah maksud Elaun Cukai Pelaburan?

Elaun Cukai Pelaburan adalah merupakan satu insentif atau galakan percukaian yang diberi atas perbelanjaan modal yang dilakukan dalam suatu tempoh asas oleh syarikat yang menyertai atau bercadang untuk menyertai dalam aktiviti digalakkan atau menhasilkan keluaran / produk digalakkan. Galakan Elaun Cukai Pelaburan dan Taraf Perintis adalah "mutually exclusive" yang mana syarikat tidak boleh menikmati kedua-dua galakan ini pada masa yang sama dan untuk aktiviti yang sama.

 
23. Dimanakah permohonan Elaun Cukai Pelaburan perlu dikemukakan?
Permohonan dan pemberian ECP adalah dalam bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri / Ministry Of International Trade And Industry (MITI)
 
24. Di manakah syarikat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan Elaun Cukai Pelaburan?
Syarikat boleh merujuk di Seksyen 26 hingga Seksyen 31, Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (APP 1986) untuk semakan lanjut.
 
f) Taraf Perintis?
25. Apakah maksud Taraf Perintis?
Taraf Perintis adalah salah satu insentif dalam peruntukan Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (APP 1986). Insentif ini memberi pengecualian cukai atas sebahagian atau kesemua pendapatan berkanun perniagaan yang berkaitan diberi kepada syarikat yang merancang untuk menjalankan aktiviti yang digalakkan atau keluaran yang digalakkan di Malaysia. Galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan adalah "mutually exclusive" yang mana syarikat tidak boleh menikmati kedua-dua galakan ini pada masa yang sama dan untuk aktiviti yang sama.
 
26. Di manakah permohonan Taraf Perintis perlu dikemukakan?
Permohonan dan pemberian Taraf Perintis adalah dalam bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri / Ministry Of International Trade And Industry (MITI)
 
27. Di manakah syarikat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung Taraf Perintis?
Syarikat boleh merujuk di Seksyen 5 hingga Seksyen 25 Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (APP 1986) untuk semakan lanjut.
 
g) Pindahan Harga
28. Apakah maksud Pindahan Harga?
Harga Pindahan merupakan sistem penetapan harga yang berkaitan dengan pemindahan barangan, perkhidmatan dan aset tidak ketara antara syarikat perniagaan dalam satu kumpulan syarikat multinasional. Transaksi harga pindahan ini boleh berlaku di antara syarikat multinasional dan syarikat subsidiary sama ada di dalam negera sendiri (local transfer pricing) atau merentasi sempadan di luar negara (cross border). Transaksi ini dipanggil transaksi terkawal (controlled transactions) atau transaksi berkaitan (related party transactions).
Harga jualan sesuatu produk yang dikenakan oleh syarikat induk kepada syarikat subsidiari mungkin berbeza dangan harga jualan dengan pihak ketiga (independent party). Penetapan harga jualan ini bo;eh disebut sebagai harga pindahan.
Artikel 9, OECD Model Tax Convention On Income and On Capital - OECD mendefinisikan perusahaan berkaitan adalah:
  • Perusahaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan, kawalan atau modal sesuatu perusahaan; atau
  • Kedua-dua perusahaan di bawah kawalan yang sama
Seksyen 139 ACP 1967 telah memperuntukkan bahawa kawalan adalah kuasa mengendalikan syarikat (secara langsung atau tidak langsung). Kuasa itu diperoleh dengan cara pegangan syer, kuasa mengundi, kuasa termaktub dalam tatacara syarikat atau dokumen lain berkaitan dengan syarikat.
 
29. Bilakah Garis Panduan Harga Pindahan boleh digunapakai?

Garis Panduan Harga Pindahan LHDNM adalah terpakai apabila wujud transaksi antara syarikat multinasional yang berkaitan iaitu satu perniagaan tertakluk kepada cukai Malaysia dan satu lagi tertakluk kepada cukai luar negara. Garis panduan yang dikeluarkan adalah berdasarkan kepada Prinsip Selengan (Arm's Length Principle) seperti yang ditetapkan dalam Transfer Pricing Guidelines for Multinational Enterprises and Tax Administrations - OECD.

 
30. Apakah maksud Prinsip Sekengan (Arm's Length Principle)?
Prinsip Selengan (Arm's Length Principle) merupakan satu piawaian antarabangsa bagi mengendalikan isu harga pindahan, Prinsip ini dijelaskan dalam Article 9, OECD Model Tax Convention. Artikel ini menjelaskan prinsip asas bahawa perusahaan yang mempunyai kaitan (associate enterprises) hendaklah menganggap setiap perniagaan di bawah kawalannya sebagai syarikat yang berasingan.
 
31. Di manakah syarikat boleh mendapatkan Garis Panduan Harga Pindahan dan Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Penentuan Harga Pindahan) 2012?
Garis Panduan Harga Pindahan boleh diperolehi dari Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > Pautan Dalaman > Garis Panduan Teknikal > Garis Panduan Pindahan Harga (versi Bahasa Inggeris sahaja) dan Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Penentuan Harga Pindahan) 2012.
 
g) Syarikat Pemegang Pelaburan (SPP)
32. Apakah maksud Syarikat Pemegang Pelaburan?
Syarikat Pemegang Pelaburan (SPP) bermaksud suatu syarikat yang aktiviti utamanya adalah dalam pemegangan pelaburan dan tidak kurang 80% daripada pendapatan kasarnya selain daripada pendapatan kasar daripada punca perniagaan pemegangan pelaburan (sama ada dikeacualikan atau tidak) adalah diperoleh daripada pemegangan pelaburan tersebut.
 
33. Apakah maksud Perniagaan Pemegangan Pelaburan?
Perniagaan Pemegangan Pelaburan bermaksud suatu perniagaan penyewaan harta tanah di mana suatu syarikat dalam mana-mana tahun taksiran menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan atau perkhidmatan sokongan (disediakan secara komprehensif dan aktif) berhubungan dengan harta tanah tersebut.
 
34. Bagaimanakah layanan percukaian bagi Syarikat Pemegang Pelaburan?
Layanan percukaian bagi Syarikat Pemegang Pelaburan bergantung kepada sama ada Syarikat Pemegang Pelaburan tersenarai atau tidak tersenarai di Bursa Malaysia. Layanan cukai khusus bagi Syarikat Pemegang Pelaburan adalah diperuntukkan di bawah :
  • Seksyen 60F ACP 1967 bagi Syarikat Pemegang Pelaburan yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia; dan
  • Seksyen 60FA ACP 1967 bagi Syarikat Pemegang PElaburan yang tersenarai di Bursa Malaysia
 
35. Di manakah syarikat boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan Syarikat Pemegang Pelaburan?
Syarikat boleh merujuk di Portal Rasmi LHDNM : www.hasil.gov.my > Pautan Dalaman > Ketetapan Umum > No. 10/2015 : Syarikat Pemegang Pelaburan.
Di lawati : 530,536
Kemaskini : : 2018-12-24 10:56:37

.Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Menara Hasil, Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, 63000 Cyberjaya Selangor. .

3 jata mof msc anm kastam bnm lada spr
Tarikh Kemaskini : 17 Mei 2019
Pengunjung : MALAYSIA Flag 27 Online : 27
Paparan terbaik menggunakan pelayar Chrome,Internet Explorer(Versi Terkini) atau Mozilla Firefox dengan resolusi skrin 1280x800. Hak Cipta Terpelihara 2015 © LHDNM
PENAFIAN : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Pengguna Hari Ini: 1,848
Jumlah Pengguna Bulan : ( 05 / 2019 ) 1,240,984
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2019 ) 17,689,264
Jumlah Keseluruhan Pengguna : 220,331,815
Jumlah Pengguna Bulan :( 04 / 2019 ) 4,703,635
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2018 ) 36,330,047