logolhdn
Portal Rasmi
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Utama / Soalan Lazim (Individu)

KATEGORI AM

TANGGUNGJAWAB PEMBAYAR CUKAI

Setiap individu yang boleh dikenakan cukai dikehendaki melaporkan kesemua pendapatan kepada LHDNM.  Individu tersebut adalah bertanggungjawab untuk :

a. Daftar Nombor Cukai Pendapatan / Kemaskini Maklumat
b. Lapor Pendapatan Tahunan
c. Bayar Cukai Pendapatan
 

Adakah Anda Individu Tersebut? Sekiranya YA, sila rujuk tiga (3) langkah seperti di bawah :

 

LANGKAH 1 : DAFTAR NOMBOR CUKAI PENDAPATAN / KEMASKINI MAKLUMAT

1. Adakah saya perlu mendaftar nombor cukai pendapatan?

Ya, tuan perlu mendaftar nombor cukai pendapatan sekiranya tuan adalah seorang :

  • Individu berstatus bujang yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM34,001 setahun (selepas potongan KWSP)
  • Individu berkahwin dan pasangan tidak bekerja yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM46,001 setahun
  • Individu yang menjalankan perniagaan (walaupun perniagaan mengalami kerugian)
  • Pekerja baharu yang dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB)
  • Individu yang mempunyai pendapatan yang boleh dikenakan cukai
  • Individu yang menjual/membeli hartanah
 
2. Bagaimanakah cara mendaftar nombor cukai pendapatan?

Pendaftaran nombor cukai pendapatan boleh dibuat secara :

  • atas talian (online) melalui aplikasi e-Daftar di http://edaftar.hasil.gov.my ; atau
  • manual di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang berdekatan.
 
3. Apakah dokumen sokongan yang diperlukan semasa pendaftaran nombor cukai pendapatan?

Dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti berikut :

Pendaftaran secara e-Daftar :

  • Paspot bagi bukan warganegara Malaysia
  • Sijil Pendaftaran Perniagaan (bagi individu menjalankan perniagaan)

Pendaftaran secara manual :

  • Borang CP600
  • Kad pengenalan (kad pengenalan baharu, tentera, polis atau paspot)
  • Sijil Pendaftaran Perniagaan (bagi individu menjalankan perniagaan)
  • Penyata pendapatan/slip gaji
 
4. Saya dapat tahu saya mempunyai dua fail cukai pendapatan. Apakah yang perlu saya lakukan?

Sekiranya tuan mempunyai lebih daripada satu fail cukai pendapatan, tuan dinasihatkan untuk merujuk ke cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan tuan bagi tujuan pengemaskinian status fail tersebut.

 
5. Mengapa saya tidak pernah menerima apa-apa makluman berhubung percukaian daripada LHDNM?

Keadaan ini berlaku berkemungkinan disebabkan maklumat perhubungan dalam rekod LHDNM adalah berbeza. Sebagai contoh, alamat surat-menyurat yang digunakan adalah alamat majikan (majikan lama) atau alamat surat-menyurat telah berubah (tidak dikemaskini).Tuan juga boleh hadir ke cawangan LHDNM yang berdekatan untuk urusan percukaian tuan.

 

KEMASKINI MAKLUMAT

6. Sekiranya alamat surat-menyurat dalam rekod LHDNM adalah berbeza dengan alamat saya, bagaimanakah cara untuk saya mengemaskini maklumat tersebut?

Tuan dinasihatkan memaklumkan kepada pihak LHDNM dengan kadar segera apabila terdapat perubahan ke atas sebarang maklumat peribadi tuan. Pengemaskinian  maklumat peribadi boleh dibuat secara :

Antara maklumat yang perlu dikemaskini sekiranya terdapat perubahan adalah:

  • Alamat surat-menyurat/alamat kediaman
  • Alamat perniagaan (jika berkenaan)
  • Alamat e-mel peribadi
  • Nombor telefon untuk dihubungi
  • Nombor paspot (bagi individu bukan warganegara Malaysia)
  • Nama dan nombor akaun bank (jika berkenaan)
  • Taraf perkahwinan
  • Maklumat ejen cukai (jika berkenaan)

Bagi pengemaskinian alamat surat menyurat, alamat e-mel peribadi dan nombor telefon; sila gunakan Borang Permohonan Pertukaran Alamat (CP600B) dan salinan dokumen pengenalan untuk tujuan tersebut.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan mengemaskini maklumat peribadi yang lain, tuan dikehendaki untuk mengemukakan satu surat pemberitahuan beserta dokumen sokongan yang berkaitan.

 

KATEGORI PENAKSIRAN

LANGKAH 2 : LAPOR PENDAPATAN TAHUNAN

7. Saya telah daftar nombor cukai pendapatan. Apa yang perlu saya buat?

Tuan sebagai pembayar cukai adalah bertanggungjawab untuk:

  • Mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) sama ada menggunakan borang kertas atau melalui aplikasi e-Filing;
  • Melaporkan pendapatan dan perbelanjaan, termasuk potongan dan rebat;
  • Mengira cukai pendapatan; dan
  • Menyimpan rekod, dokumen dan helaian kerja selama tujuh (7) tahun bagi tujuan pengauditan.
 
8. Adakah saya perlu mengemukakan rekod, dokumen dan helaian kerja bersama BNCP?

Pembayar cukai tidak perlu menghantar rekod, dokumen dan helaian kerja bersama dengan BNCP; tetapi ianya hendaklah disimpan selama tujuh (7) tahun. Pengiraan tempoh tujuh tahun adalah bermula dari akhir tahun dalam mana BNCP tersebut telah dikemukakan.

 
9. Apakah contoh rekod, dokumen dan helaian kerja tersebut?
  • Borang EA/EC
  • Baucar dividen
  • Resit premium insurans
  • Resit pembelian buku
  • Resit perubatan
  • Resit derma
  • Resit pembayaran zakat
  • Sijil kelahiran anak
  • Sijil nikah
  • Dokumen-dokumen sokongan lain
  • Helaian kerja (jika ada)
 
10. Apakah tindakan yang akan diambil oleh LHDNM sekiranya saya tidak menyimpan rekod–rekod perniagaan saya?

Sekiranya tuan tidak menyimpan rekod–rekod perniagaan tuan, di bawah seksyen 119A, ACP 1967, tuan boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, tuan boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak kurang satu tahun atau kedua-duanya sekali.

 
11. Apakah jenis borang yang perlu saya isi?

Sekiranya tuan adalah :

Individu tidak menjalankan perniagaan, sila lengkapkan :
  • Borang BE - Pendapatan Penggajian dan Pendapatan Lain (Tidak Menjalankan Perniagaan) Bagi Individu Pemastautin
  • Borang M - Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain Bagi Individu Tidak Pemastautin
  • Borang BT - Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain (Pekerja Berpengetahuan / Pekerja Berkepakaran) Bagi Individu Pemastautin
  • Borang MT - Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain (Pekerja Berpengetahuan) Bagi Individu Tidak Pemastautin

Individu menjalankan perniagaan, sila lengkapkan :

  • Borang B - Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain Bagi Individu Pemastautin
  • Borang M - Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain Bagi Individu Tidak Pemastautin
  • Borang BT - Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain (Pekerja Berpengetahuan / Pekerja Berkepakaran) Bagi Individu Pemastautin
  • Borang MT - Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain (Pekerja Berpengetahuan) Bagi Individu Tidak Pemastautin
 
12. Bilakah tarikh akhir penghantaran borang cukai?

Tarikh akhir penghantaran BNCP adalah :

  • Individu tidak menjalankan perniagaan : sebelum atau pada 30 April
  • Individu menjalankan perniagaan : sebelum atau pada 30 Jun
 
13. Adakah penalti akan dikenakan jika saya lewat mengemukakan BNCP?

Ya, kegagalan menghantar BNCP dalam tempoh yang ditetapkan adalah menjadi kesalahan dan boleh dikenakan penalti / kenaikan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

 
14. Saya akan bekerja di luar negara. Apakah yang perlu saya buat?

Sekiranya tuan akan bekerja di luar negara, tindakan berikut perlu diambil :

Majikan :

Majikan tuan bertanggungjawab memaklumkan kepada LHDNM dalam tempoh tiga puluh (30) hari sebelum tarikh pemberhentian. Majikan juga perlu melengkapkan Borang CP21 (Pemberitahuan Oleh Majikan Bagi Pekerja Yang Hendak Meninggalkan Malaysia) dan menghantar ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan tuan. Majikan perlu menahan apa-apa bayaran yang kena dibayar kepada tuan  sehingga Surat Penyelesaian Cukai (SPC) diterima.

Pekerja :

Tuan perlu memaklumkan secara bertulis (surat) berserta dokumen sokongan yang berkaitan kepada  cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan tuan berhubung status tuan yang tidak mempunyai apa-apa pendapatan di Malaysia disebabkan akan/telah bekerja di luar negara.

 
15. Sekiranya saya telah bekerja di luar negara, adakah pendapatan tersebut dikenakan cukai di Malaysia?

Pada amnya, pendapatan daripada penggajian sepatutnya dikenakan cukai di negara di mana perkhidmatan dilakukan tanpa mengira tempat di mana kontrak ditanda tangan atau di mana saraan dibayar.

Mulai Tahun Taksiran 2004, pendapatan yang diterima di Malaysia dari luar Malaysia adalah dikecualikan daripada cukai. Oleh itu, pembayar cukai sama ada yang bermastautin atau yang tidak bermastautin di Malaysia dikenakan cukai atas pendapatan yang diperoleh dari Malaysia sahaja (Perenggan 28(1), Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967).

Sekiranya tuan telah bekerja di luar negara dan pekerjaan yang dijalankan berkaitan dengan penggajian yang dijalankan di Malaysia, maka pendapatan penggajian yang diperolehi akan dikenakan cukai di Malaysia.

Tuan boleh melayari Portal Rasmi LHDNM, www.hasil.gov.my >> Pautan Dalaman >> Ketetapan Umum >> No.1/2011 – Percukaian Pekerja Malaysia Yang Dihantar Bertugas Di Luar Negara untuk semakan lanjut.

 
16. Saya telah berhenti kerja pada tahun 2015 dan bekerja semula pada pertengahan tahun 2016 di mana, pendapatan tahunan saya kurang daripada RM 34,000. Adakah saya perlu mengemukakan BNCP bagi tahun taksiran 2016?

Mengikut peruntukan seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 setiap orang (selain daripada syarikat, badan amanah dan koperasi) adalah dikehendaki mengemukakan BNCP yang ditetapkan kepada Ketua Pengarah:-

  • Individu yang menjalankan suatu Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain sebelum atau pada 30 Jun
  • Individu yang menerima Pendapatan Penggajian dan Pendapatan Lain (tidak menjalankan perniagaan) sebelum atau pada 30 April

dalam tahun berikutan sesuatu tahun taksiran.
Dengan syarat:

  • Mempunyai pendapatan boleh dikenakan cukai bagi tahun taksiran itu; atau
  • Tidak mempunyai pendapatan boleh dikenakan cukai bagi tahun taksiran itu tetapi mempunyai pendapatan boleh dikenakan cukai atau telah mengemukakan BNCP atau telah dikehendaki mengemukakan BNCP bagi tahun taksiran sebelum tahun taksiran tersebut.
 
17. Bagaimanakah saya ingin mengetahui BNCP yang dihantar secara e-filing, telah berjaya dikemukakan?

BNCP akan dianggap berjaya dihantar apabila paparan Pengesahan Penerimaan e-Borang bagi tahun taksiran berkenaan dipaparkan.

 
18. Selepas menghantar borang cukai pendapatan, saya menyedari bahawa pendapatan yang dilaporkan adalah tidak tepat. Perlukah saya mengisi borang yang baru dan menghantar semula ke Pusat Pemprosesan Maklumat LHDNM?

Tuan tidak dibenarkan menghantar borang cukai pendapatan lebih daripada sekali bagi sesuatu tahun taksiran. Walaubagaimanapun, tuan dinasihatkan menghantar surat rayuan (yang menyatakan kesilapan yang telah dibuat), dokumen sokongan dan membuat pengiraan semula ke cawangan yang mengendalikan fail tuan. Namun, sekiranya pindaan tersebut melibatkan pendapatan terkurang lapor atau pelepasan terlebih lapor yang mengakibatkan cukai atau cukai tambahan dikenakan, tuan perlu mengisi Borang Nyata Terpinda BE/B. Borang Nyata Terpinda yang telah dilengkapkan hendaklah dikemukakan ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan tuan.

 
19. Majikan saya telah membuat Potongan Cukai Bulanan (PCB). Perlukah saya menghantar borang cukai?

Ya, tuan perlu menghantar borang cukai dengan melaporkan pendapatan tahunan yang diisi dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) sama ada secara manual atau melalui aplikasi e-Filing sekiranya tuan tidak tertakluk di bawah PCB sebagai Cukai Muktamad.

 
20. Bagaimanakah cara untuk pengisian borang cukai pendapatan secara manual?
Tuan perlu merujuk kepada Buku Panduan mengisi borang cukai pendapatan.Sila rujuk portal rasmi www.hasil.gov.my > Muat Turun > Borang/Info > Individu > pilih Tahun Taksiran > Buku Panduan / Nota Penerangan .
 
21. Saya telah berpindah kerja dari Kuantan dan pada masa ini saya bekerja di Shah Alam tetapi fail cukai pendapatan saya masih di LHDN Cawangan Kuantan. Bolehkah fail cukai pendapatan saya dipindahkan ke Shah Alam ?

Anda boleh menghubungi LHDNM Cawangan Kuantan untuk meminta fail cukai anda dipindahkan ke LHDNM Cawangan Shah Alam. Anda mesti memberitahu Cawangan terbaru (dalam kes ini Cawangan Shah Alam) bagi pertukaran alamat anda di masa akan datang.

 
22. Bolehkah saya menuntut perbelanjaan perubatan yang dibelanjakan atas diri saya sendiri ?

Anda boleh menuntut perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius yang dibelanjakan atas diri anda, isteri/suami atau anak sehingga maksimum RM6,000.00 setahun dan perbelanjaan perubatan bagi ibubapa anda sehingga RM5,000.00 setahun. Tuntutan anda hendaklah disokong dengan resit asal yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan.

 
23. Adakah jumlah anak yang layak bagi pelepasan dihadkan di bawah Akta Cukai Pendapatan ?
Tiada had jumlah anak, bagaimanapun pelepasan hanya diberi bagi anak di bawah tanggungan yang belum berkahwin di mana mereka adalah :
  • berumur kurang daripada 18 tahun;
  • jika melebihi umur 18 tahun, hendaklah masih belajar sepenuh masa atau masih di bawah latihan (articleship) atau ikatan dalam perusahaan atau profesion; atau
  • kurang upaya secara fizikal atau mental yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (pelepasan bagi anak kurang upaya secara fizikal atau mental adalah RM6,000.00).
 
24. Saya akan bersara daripada perkhidmatan awam, bagaimana saya mendapatkan sijil penyelesaian cukai pendapatan saya ?

Anda boleh hubungi Cawangan Penaksiran di mana fail cukai pendapatan anda didaftarkan dan bawa bersama Borang CP22B (Notis Pemberhentian Pekerjaan) yang telah diisikan oleh majikan anda. Sila pastikan bahawa majikan anda mengemukakan Borang CP22B ke Cawangan Penaksiran LHDN yang berkenaan, 6 bulan sebelum anda bersara.

 
25. Jika saya membuat derma ke tabung masjid, bolehkah saya menuntut potongan daripada cukai saya ?

Anda boleh membuat tuntutan potongan bagi derma yang telah dibuat, bagaimanapun derma itu hendaklah dibuat ke badan atau tabung yang diluluskan oleh Ketua Pengarah. Selalunya kelulusan (pemberitahu menerusi warta) berkenaan dinyatakan atas resit derma.

 
26. Bagaimana hendak mengetahui derma yang dibuat adalah kepada badan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Malaysia?

Anda boleh menyemak di portal rasmi LHDNM> Pautan Dalaman > Senarai Institusi Atau Organisasi Yang Diluluskan Dibawah Subseksyen 44(6) ACP 1967. Resit derma mesti menunjukkan frasa “Derma ini adalah di bawah Subseksyen 44(6) ACP 1967”.

 
27. Sekiranya saya telah membuat pembayaran zakat ke Pusat Pungutan Zakat, adakah ianya diambil kira dalam pengiraan cukai?

Ya kerana individu bermastautin di Malaysia yang mempunyai pendapatan bercukai layak menuntut rebat cukai atas bayaran zakat, fitrah atau lain-lain yang diwajibkan oleh agama Islam kepada pihak berkuasa agama yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis. Jumlah rebat yang dibenarkan kepada individu adalah dihadkan kepada jumlah cukai pendapatan yang dikenakan untuk suatu tahun taksiran.

  • “Pihak berkuasa agama yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis” adalah termasuk Pusat Pungutan Zakat dan Majlis Ugama Islam Negeri.
  • “Undang-undang bertulis” bermaksud enakmen perundangan atau instrumen perundangan yang berkuatkuasa di Malaysia.
 
28. Adakah zakat yang dimaksudkan zakat pendapatan atau zakat harta?

Zakat yang dimaksudkan adalah semua jenis bayaran zakat yang dibuat dalam sesuatu tahun kalendar tersebut.

 
29. Bagaimana saya boleh menuntut pelepasan cukai Seksyen 132 dan 133?

Seksyen 132 - Merujuk kepada tolakan cukai berhubung pendapatan dari Malaysia yang dikenakan cukai di Malaysia dan juga di luar Malaysia. Rujuk Buku Panduan Borang BE untuk menentukan negara-negara yang membuat perjanjian pengelakan percukaian dua kali dengan Malaysia. Pengiraan boleh dibuat di HK-8 Buku Panduan Borang BE.

Seksyen 133 - Merujuk kepada potongan cukai bagi satu pihak sahaja iaitu negara-negara yang tidak memeterai perjanjian pengelakan percukaian dua kali dengan Malaysia dan pengiraan boleh dibuat di HK-9 Buku Panduan Borang BE.

 
30. Apakah yang dimaksudkan dengan PCB sebagai Cukai Muktamad?

PCB sebagai Cukai Muktamad membenarkan pembayar cukai yang layak memilih untuk tidak menghantar BNCP secara e-Filing atau manual yang berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran 2014. Pembayar cukai yang mempunyai pendapatan penggajian sahaja dan mempunyai PCB boleh memilih untuk tidak mengisi dan menghantar BNCP mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

 
31. Apakah syarat-syarat PCB sebagai Cukai Muktamad?
Syarat-syarat PCB sebagai Cukai Muktamad adalah :
  • Mempunyai satu punca pendapatan penggajian sahaja di bawah seksyen 13 ACP 1967, termasuk Manfaat Berupa Barangan (MBB) dan Nilai Tempat Kediaman (NTK);
  • PCB dipotong mengikut Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994 atau tiada PCB dipotong kerana pendapatan di bawah tahap dikenakan potongan (PCB sifar);
  • Berkhidmat dengan majikan yang sama;
  • Cukai tidak ditanggung oleh majikan; dan
  • Suami atau isteri membuat pilihan taksiran berasingan.
 
32. Saya seorang jurutera dan ada membayar yuran professional kepada Persatuan Jurutera-Jurutera. Di mana saya boleh tuntut bayaran ini?

Sila tolak dari Penggajian kasar (seperti di dalam EA). Amaun perlu diisi dalam ruangan Pendapatan berkanun penggajian (amaun penggajian bersih yang telah ditolak yuran professional).

 
33. Saya mempunyai pendapatan sewa dari sebuah rumah dan mempunyai perbelanjaan berkaitan sewa. Bagaimana saya mengira pendapatan dan menuntut perbelanjaan ini?

Anda boleh membuat pengiraan seperti di HK-4 (Butir-Butir Harta / Aset dan Jumlah Sewa) di Buku Panduan Borang BE untuk mendapatkan sewa bersih dan jumlah ini dipindahkan ke ruangan pendapatan berkanun sewa . Selain itu, anda boleh menolak perbelanjaan tersebut daripada jumlah sewa kasar. Sila pastikan perbelanjaan tersebut adalah perbelanjaan dibenarkan.

 
34. Saya ada menerima pencen. Perlukah saya laporkan pendapatan pencen saya. Bagaimana saya perlu isi dalam Borang BE?

Pendapatan pencen perlu dilaporkan apabila:

  • Bersara sebelum umur 55 tahun
  • Sekiranya anda bersara sebelum umur 55 tahun, pencen anda layak dikenakan cukai pendapatan sehingga anda berumur 55 tahun. Sila isikan pendapatan pencen tersebut di ruangan Pencen, anuiti dan bayaran berkala lain.

  • Jika seseorang yang menerima lebih dari satu pencen, jumlah pencen yang tertinggi sahaja yang dikecualikan cukai. Rujuk Perenggan 16 Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967.

  • Pencen terbitan
    Pencen terbitan yang diterima tidak dikenakan cukai.
    Contoh: Isteri/suami terima pencen (terbitan) di atas kematian pasangan. Pencen ini tidak dikenakan cukai.
 
35. Pada awal tahun pendapatan saya hanyalah daripada gaji sahaja, namun pada pertengahan tahun saya mula berniaga secara kecil-kecilan. Adakah saya perlu mengisi kedua-dua Borang B dan BE?

Anda hanya perlu mengisi Borang B sahaja jika anda mempunyai pendapatan perniagaan dan juga anda perlu mengembalikan Borang B selewat–lewatnya pada 30 Jun. Sila isikan pendapatan penggajian anda dalam borang B yang sama.

 

PENERANGAN RINGKAS:

SKIM PERSARAAN SWASTA (Private Retirement Scheme)

36. Saya mula mencarum kepada skim persaraan swasta (private retirement scheme) pada Oktober 2012. Adakah saya layak mendapat pelepasan bagi caruman ini?

Ya, anda layak. Pelepasan cukai bagi caruman skim ini berkuatkuasa selama 10 tahun mulai Tahun Taksiran 2012 sehingga Tahun Taksiran 2021. Pelepasan terhad kepada tuntutan maksimum RM 3000 bagi setiap Tahun Taksiran.Pelepasan boleh dibuat di ruangan SKIM PERSARAAN SWASTA DAN ANUITI TERTUNDA (DEFERRED ANNUITY).

 
37. Gaji kasar saya pada November 2012 adalah RM 4,000. Majikan membuat potongan gaji saya untuk skim persaraan swasta (private retirement scheme) sebanyak RM 450 setiap bulan dan caruman majikan adalah RM 760. Apakah amaun layak saya tuntut?

Anda layak tuntut RM 450 x 2 bulan = RM 900 sahaja bagi Tahun Taksiran 2012. Mulai Tahun Taksiran 2013, amaun caruman setahun adalah RM 5400 (RM 450 x12 bulan) tetapi tuntutan terhad kepada RM 3000 sahaja. Amaun caruman oleh pihak majikan tidak diambilkira dalam menentukan amaun pelepasan.

 
38. Adakah pendapatan diterima oleh skim persaraan swasta (private retirement scheme) dikenakan cukai?

Pendapatan yang diterima oleh skim persaraan swasta ini dikecualikan daripada cukai di bawah perenggan 20, Jadual 6 ACP 1967.

 
39. Bagaimana jika saya mengeluarkan caruman skim persaraan swasta (private retirement scheme) sebelum mencapai umur 55 tahun?

Berkuatkuasa 01 Januari 2013, pencarum akan dikenakan cukai muktamad pada kadar 8% jika membuat pengeluaran awal sebelum mencapai umur 55 tahun. Peruntukan ini tidak terpakai bagi pengeluaran yang disebabkan kematian atau pencarum meninggalkan Malaysia selama-lamanya (leaving permanently).

 
40. Saya ingin mengeluarkan caruman skim persaraan swasta berjumlah RM 30,000 sebelum mencapai umur 55 tahun. Berapakah cukai muktamad perlu dibayar?

Pencarum akan dikenakan cukai muktamad sebanyak RM 2400 (RM 30000 x 8%).

 
41. Saya ingin mengeluarkan caruman skim persaraan swasta (private retirement scheme) pada umur 45 tahun. Siapakah bertanggungjawab untuk membuat bayaran cukai muktamad 8% tersebut?

Penyedia PRS (private retirement scheme) perlu memotong cukai sebanyak 8% dan meremitkan kepada KPHDN dalam tempoh 1 bulan selepas membuat bayaran kepada tuan.

 
42. Jika penyedia PRS tersebut tidak membuat bayaran cukai muktamad 8%?

Sekiranya penyedia PRS telah membuat bayaran kepada penerima tanpa memotong cukai muktamad 8% dan sanggup membayar cukai muktamad tersebut sendiri kepada KPHDN, maka penyedia PRS boleh mendapatkan kembali amaun cukai muktamad tersebut daripada tuan.

 
43. Siapakah penyedia skim persaraan swasta (private retirement scheme) ini?

Penyedia PRS merujuk kepada penyedia yang diluluskan di bawah seksyen 139Q, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Sila rujuk laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk maklumat lanjut.

 

KATEGORI PUNGUTAN

LANGKAH 3 : BAYAR CUKAI PENDAPATAN

44. Sekiranya saya dikenakan cukai, berapakah amaun cukai sebenar yang perlu saya bayar?

Untuk mengetahui amaun cukai sebenar, perbandingan hendaklah dibuat antara jumlah Potongan Cukai Bulanan (PCB) yang telah dipotong dan cukai kena dibayar. Jika PCB yang dibayar tidak mencukupi, maka amaun perbezaan (iaitu antara jumlah PCB dengan cukai kena dibayar) hendaklah dibayar kepada LHDNM.

 
45. Bagaimanakah saya hendak menjelaskan bayaran baki cukai?

Terdapat tiga (3) kaedah pembayaran iaitu:-

a) Secara atas talian (online) melalui aplikasi ByrHasil : https://byrhasil.hasil.gov.my/
  • Bayaran melalui perbankan internet dengan bank-bank ahli FPX.
    Perkhidmatan ini menggunakan FPX sebagai Gateway untuk pengguna membayar cukai. Pengguna perlu mempunyai akaun perbankan internet dengan mana-mana bank yang menyertai FPX.

  • Bayaran melalui kad kredit VISA, Mastercard dan American Express yang dikeluarkan di Malaysia.
    b) Melalui ejen-ejen kutipan LHDNM
    • Bayaran di Kaunter Ejen
    • Bayaran Melalui Internet
    • Bayaran Melalui ATM
    • Bayaran Melalui Tele-Perbankan
    • Bayaran Melalui Mesin Deposit Cek (Cheque Deposit Machine)
    • Bayaran Melalui Mesin Deposit Wang (Cash Deposit Machine)

c) Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu LHDNM
    Bayaran boleh dibuat secara :

  • Terus ke Kaunter Bayaran LHDNM :

          Semenanjung Malaysia :  PUSAT BAYARAN KUALA LUMPUR
                                                        KAUNTER BAYARAN
                                                        ARAS TANAH, BLOK 8A
                                                        KOMPLEKS BANGUNAN KERAJAAN
                                                        JALAN TUANKU ABDUL HALIM
                                                        50600 KUALA LUMPUR

          Sabah dan WP Labuan : KAUNTER BAYARAN
                                                     CAWANGAN KOTA KINABALU
                                                     TINGKAT BAWAH MENARA HASIL,
                                                     JALAN TUANKU ABDUL RAHMAN,
                                                     88600 KOTA KINABALU, SABAH

                               Sarawak :  KAUNTER BAYARAN
                                                  CAWANGAN KUCHING
                                                  ARAS 1, MENARA HASIL,
                                                  NO. 1, JALAN PADUNGAN,
                                                  93100 KUCHING, SARAWAK

  • Melalui pos ke Pusat Bayaran LHDNM :

          Semenanjung Malaysia :  LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA
                                                        PUSAT BAYARAN KUALA LUMPUR
                                                        UNIT OPERASI KUTIPAN HASIL (KAUNTER BAYARAN)
                                                        TINGKAT 2 KIRI, BLOK 8A
                                                        KOMPLEKS BANGUNAN KERAJAAN
                                                        JALAN TUANKU ABDUL HALIM
                                                        50600 KUALA LUMPUR

          Sabah dan WP Labuan : LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA
                                                     CAWANGAN KOTA KINABALU
                                                     TINGKAT BAWAH MENARA HASIL,
                                                     JALAN TUANKU ABDUL RAHMAN,
                                                     88600 KOTA KINABALU, SABAH

                               Sarawak :  LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA
                                                  CAWANGAN KUCHING
                                                  ARAS 1, MENARA HASIL,
                                                  NO. 1, JALAN PADUNGAN,
                                                  93100 KUCHING, SARAWAK

 
46. Apakah maklumat yang perlu dikemukakan semasa membayar cukai?

Maklumat bayaran yang diperlukan adalah :

  • Nombor cukai pendapatan
  • Nama dan nombor pengenalan
  • Tahun taksiran
  • Kod bayaran
  • Nombor ansuran
  • Jumlah bayaran

Resit pembayaran dan slip bank hendaklah disimpan untuk rekod serta rujukan.

 
47. Bilakah tarikh akhir bayaran baki cukai bagi individu?

Tarikh akhir bayaran baki cukai bagi individu yang:

  • Tidak menjalankan perniagaan : sebelum atau pada 30 April
  • Menjalankan perniagaan : sebelum atau pada 30 Jun
 
48. Saya hendak membuat pembayaran cukai individu, apakah kod bayaran yang perlu digunakan?

Kod bayaran cukai individu adalah 084 atau 095.

 
49. Bagaimanakah bayaran baki cukai boleh dibuat sekiranya saya berada di luar negara?

Bayaran cukai pendapatan melalui pindahan wang dari luar Negara boleh dilakukan dengan dua cara iaitu :

  • Melalui Telegraphic Transfer (TT)/ Interbank Transfer Giro(IBG)/ Electronic Fund Transfer (EFT)
  • Melalui Bank Draft
 
50. Saya menerima surat Arahan Potongan Gaji CP38 sedangkan majikan telah memotong PCB dalam gaji bulanan saya. Apakah maksud CP38?

PCB merupakan potongan cukai berdasarkan Jadual PCB ke atas saraan pekerja yang layak dan diremitkan ke LHDNM setiap bulan, manakala potongan CP38 pula hanya boleh dilakukan sekiranya LHDNM telah mengeluarkan arahan khusus kepada majikan supaya membuat potongan untuk amaun tertentu dalam bulan-bulan yang tertentu. Potongan CP38 adalah untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak manakala PCB adalah untuk cukai bagi tahun taksiran semasa.

 
51. Bagaimanakah saya hendak membuat bayaran Arahan Potongan CP38?

Majikan adalah bertanggungjawab untuk membuat bayaran Arahan Potongan CP38. Pembayaran hendaklah dibuat bersama-sama dengan PCB tetapi majikan perlu mengasingkan jumlah bayaran mengikut ruangan PCB dan CP38 yang disediakan di dalam Borang CP39.

 
52. Bagaimana saya boleh merayu untuk meminda jumlah bayaran ansuran CP500?

Sila hantar borang CP502 yang dilampirkan bersama notis CP500 yang telah dihantar kepada pembayar cukai. Permohonan pindaan bayaran ansuran ini hendaklah dibuat tidak lewat dari 30 Jun bagi tahun yang berkenaan. Sila hantar permohonan ke cawangan LHDNM di mana fail cukai pendapatan anda dikendalikan.

 
53. Adakah penalti akan dikenakan jika bayaran lewat?

Penalti lewat bayaran baki cukai sebanyak 10% akan dikenakan bagi amaun yang tidak dibayar selepas 30 April tahun berikutan tahun taksiran. Jika masih gagal membayar cukai dan penalti yang dikenakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh penalti dikenakan, penalti tambahan sebanyak 5% akan dikenakan ke atas amaun yang masih terhutang.

 

BAYARAN BALIK

54. Bilakah saya akan menerima bayaran balik lebihan kredit cukai tahun semasa saya ?

Tuan akan menerima bayaran balik dalam tempoh:

  • 30 hari bekerja dari tarikh penghantaran borang sekiranya borang dikemukakan pada atau sebelum tarikh akhir pengemukaan bagi penghantaran melalui e-filing.
  • 90 hari bekerja dari tarikh penghantaran borang sekiranya borang dikemukakan pada atau sebelum tarikh akhir pengemukaan bagi penghantaran borang kertas.
 
55. Saya telah membuat penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) sebelum tarikh akhir dan layak menuntut bayaran balik. Perlukah saya membuat permohonan bagi menuntut bayaran balik tersebut.

Tidak perlu. Bayaran balik akan diproses dalam tempoh 30 hari bekerja baki kes penghantaran secara e-Filing atau 90 hari bekerja baki kes penghantaran secara pos atau serahan tangan.

 
56. Mengapa saya masih belum menerima bayaran balik dalam tempoh seperti yang dinyatakan di dalam Piagam Pelanggan LHDNM?

Kelewatan bayaran balik diproses mungkin disebabkan oleh pihak LHDNM perlu membuat pengauditan terhadap Borang Nyata Cukai Pendapatan yang dikemukakan oleh tuan. Walaubagaimanapun, tuan dinasihatkan untuk menghubungi Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail tuan atau Hasil Care Line bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 
57. Saya membuat penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan selepas tarikh akhir penghantaran borang, bilakah saya akan memperolehi bayaran balik?

Pembayaran balik akan diproses setelah penalti lewat hantar dikenakan ke atas tuan.

 
58. Saya masih belum menerima bayaran balik walaupun sudah lebih daripada 3 bulan dari tarikh penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan.

Tuan boleh menghubungi Cawangan dimana fail tuan dikendalikan atau Pegawai Perhubungan Awam Cawangan berkenaan atau hubungi Hasil Care Line di talian tanpa tol 1-800-88-5436 (LHDN ) bagi membuat semakan status bayaran balik tuan.

 
59. Saya layak mendapat bayaran balik (dividen), perlukah saya membuat penghantaran baucer dividen saya ke Cawangan LHDN?

Baucer dividen tidak perlu dihantar kecuali jika diminta oleh pegawai LHDNM yang mengendalikan fail tuan.

 
60. Saya ada menerima surat memaklumkan bayaran balik saya telah diluluskan, tetapi saya masih tidak merima cek bayaran balik tersebut.

Cek tersebut akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh bayaran bayaran balik diluluskan. Jika tuan masih tidak menerimanya selepas tempoh tersebut, sila hubungi Cawangan LHDN yang mengendalikan fail tuan atau Hasil Care Line di talian tanpa tol 1-800-88-5436 (LHDN) untuk membuat semakan.

 
61. Cek yang saya terima telah luput tarikh, apa yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan cek gantian?

Tuan diminta menghubungi Cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan tuan atau Hasil Care Line di talian tanpa tol 1-800-88-5436 (LHDN) bagi tindakan pengeluaran cek gantian.

 
 
Di lawati : 1,201,713
Kemaskini : : 2018-04-17 12:51:02

.Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Menara Hasil, Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, 63000 Cyberjaya Selangor. .

83 jata mof msc anm kastam bnm lada spr
Tarikh Kemaskini : 17 Ogos 2018
Pengunjung : Malaysia
 Flag 5 United States
 Flag 8 Online : 13
Paparan terbaik menggunakan pelayar Chrome,Internet Explorer(Versi Terkini) atau Mozilla Firefox dengan resolusi skrin 1280x800. Hak Cipta Terpelihara 2015 © LHDNM
PENAFIAN : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Pengguna Hari Ini: 18,662
Jumlah Pengguna Bulan : ( 08 / 2018 ) 1,202,562
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2018 ) 27,818,336
Jumlah Keseluruhan Pengguna : 194,130,818
Jumlah Pengguna Bulan :( 07 / 2018 ) 2,341,253
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2017 ) 33,518,994