Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Selamat Datang diucapkan kepada semua pengunjung Portal Rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Portal ini merupakan salah satu saluran rasmi yang disediakan oleh LHDNM sebagai saluran penyebaran maklumat serta perkhidmatan kami melalui medium teknologi maklumat.
Bertepatan dengan maksud peribahasa "Yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul", tanggungjawab membangunkan negara tercinta ini wajar dipikul oleh semua pihak. Walau pun tugas yang diamanahkan sebagai pentadbir cukai adalah suatu tugas yang amat berat, namun dengan kerjasama yang dimainkan oleh semua pihak khususnya para pembayar cukai yang budiman, tugas tersebut pastinya akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sehubungan itu, mewakili LHDNM dan seluruh warga kerjanya, saya merakamkan penghargaan atas kerjasama tersebut dan mengharapkan sumbangan anda menerusi cukai langsung dapat diteruskan demi melihat negara ini terus maju dan makmur.
Sebagai usaha meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela dan membantu anda dalam melaksanakan tanggungjawab percukaian anda, kami komited untuk terus berperanan sebagai pentadbir cukai yang kompeten melalui pendekatan berhemah, berkualiti, berinovasi dan berintegriti selaras dengan Hasrat Strategik dan Pelan Korporat LHDNM 2021 - 2025.
Justeru, adalah menjadi harapan saya agar masyarakat dapat memahami fungsi dan peranan LHDNM sebagai pentadbir dan penguatkuasa undang-undang berkaitan cukai langsung di negara ini.
Akhir kata, saya turut mengalu-alukan orang ramai mengemukakan sebarang cadangan bagi mempertingkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan kami dan keberkesanan portal rasmi ini. Cadangan atau maklum balas tersebut boleh disalurkan menerusi idea_desire@hasil.gov.my atau menerusi Borang Maklum Balas Pelanggan yang boleh diakses di www.hasil.gov.my.
Semoga maklumat yang dimuatkan dalam portal ini akan dapat membantu dan memberi manfaat kepada anda semua.
Terima kasih dan selamat melayari Portal Rasmi LHDNM.
Dato’ Sri Dr. Sabin bin Samitah Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia